Penjara Penor latih banduan berdikari

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanpahang@utusan.com.my
 

Dua banduan yang ditugaskan menjaga kolam kanvas sedang memberi makan anak ikan keli di Penjara Penor, Kuantan.

 


KUANTAN 18 Feb. – Isu bekas banduan kembali terlibat dalam kes-kes jenayah merupakan sesuatu yang sering diperkatakan dalam masyarakat.

Tidak hairanlah bekas banduan sering dipandang serong oleh masyarakat berikutan persepsi bahawa mereka akan kembali terlibat dalam kancah jenayah atau perilaku negatif.

Akibat pandangan serong itu, golongan terbabit sukar mendapat pekerjaan di syarikat-syarikat swasta atau milik persendirian.

Keadaan itu mengakibatkan golongan tersebut tertekan sedangkan tidak semua bekas banduan yang akan kembali melakukan perbuatan salah apabila keluar dari penjara.

Menyedari hakikat itu, Jabatan Penjara mengambil pelbagai inisiatif untuk menggalakkan banduan berdikari selepas keluar dari penjara.

Antara yang dijalankan termasuk Program Pemulihan Ternakan Ikan dan Pertanian (LATIF) yang disediakan di Penjara Penor di sini.

Program itu bertujuan memberi peluang kepada banduan yang berminat dalam bidang perikanan dan pertanian menceburi bidang tersebut apabila keluar dari ‘tembok besi’ itu nanti.

Program itu juga memberi pendedahan kepada bekas banduan mempelajari teknik yang betul dalam penternakan ikan dan lembu sekali gus dijadikan sumber rezeki selepas dibebaskan nanti.

Selain itu, projek tersebut dapat memanfaatkan kawasan tasik buatan di penjara itu sebagai lokasi ternakan ikan air tawar dalam sangkar.

Projek itu juga sekali mampu memberi pendapatan lumayan terutama kepada bekas banduan yang berani berhadapan cabaran untuk mengusahakannya.

Penyelia Projek, Abdul Razak Mohd. Said berkata, program tersebut tidak dihadkan kepada banduan baru atau lama, sebaliknya terbuka kepada sesiapa sahaja yang mempunyai minat mendalam dalam bidang berkenaan.

“Sehingga kini, kita mempunyai 12 orang banduan yang mengikuti program penternakan ikan. Melalui program ini, mereka diajar secara berperingkat supaya setiap banduan dapat menguasai teknik menternak dengan baik.

“Ini penting kerana jika mereka gagal untuk mengikut garis panduan yang betul, ternakan tersebut mungkin tidak berjaya kerana di peringkat awal, ikan-ikan sangat sensitif dan perlukan penjagaan rapi.

“Banyak perkara yang mereka perlu ketahui antaranya kualiti air serta kuantiti makanan yang perlu diberi supaya ikan-ikan tidak terlalu kenyang,” katanya ketika ditemui di Penjara Penor di sini, baru-baru ini.

Antara ikan yang diternak di penjara itu ialah keli, talapia dan patin.

Menurut Abdul Razak, kebanyakan anak ikan tersebut ditangkap menggunakan jaring dan diternak terlebih dahulu di dalam kolam kanvas sebelum dilepaskan ke dalam tasik.

“Setakat ini, kita mempunyai enam kolam kanvas untuk anak ikan dan satu kolam tanah untuk induk.

“Ikan-ikan yang sudah boleh dijual akan dilepaskan dalam sangkar di tasik tersebut,” jelasnya.

Selepas tiga hingga enam bulan, Abdul Razak memberitahu, ikan- ikan tersebut boleh dijual dan dipasarkan.

Katanya, sesemua ikan itu memberi pulangan lumayan apabila ia dijual di pasaran.

“Alhamdulillah, setakat ini kita mempunyai lebih 10,000 ekor ikan talapia, 5,000 ikan keli serta ikan patin masih lagi dalam tempoh percubaan,” katanya.

Abdul Razak memberitahu, biarpun baru setahun projek itu dijalankan namun hasilnya begitu memberangsangkan.

“Ramai juga yang datang membeli ikan-ikan di sini. Pembeli bukan sahaja di kalangan pengunjung yang datang ke penjara, malah ada juga orang luar yang datang semata-mata untuk membeli ikan di sini.

“Mungkin kerana harga yang dijual lebih murah berbanding harga di pasaran, jadi mereka memilih untuk membeli di sini,” katanya.

Tambah beliau, jika di pasaran biasa, ikan talapia dijual dengan harga RM13 sekilogram berbanding hanya RM7 sekilogram di Penjara Penor manakala ikan patin dan keli hanya RM8 sekilogram.

“Memang sangat murah dan berbaloi berbanding di tempat lain. Ikan-ikannya pula segar dan besar-besar belaka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Penor, Penolong Komisioner Abu Hasan Hussain berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan moral terhadap banduan yang berminat dengan program terbabit.

Kata beliau, golongan banduan perlu diberi ruang dan peluang untuk melakukan sesuatu bagi memantapkan diri mereka selain boleh dijadikan kerjaya setelah bebas kelak.

“Sekurang-kurangnya mereka berpeluang belajar sesuatu yang berfaedah di penjara di samping mendapat ilmu dan pengalaman berguna untuk mencari pendapatan tetap memandangkan peluang kerjaya kini sangat terhad.

“Mereka juga boleh hidup berdikari tanpa menyusahkan keluarga dan masyarakat. Oleh itu, kita harus membantu dan menyokong mereka demi mencapai matlamat itu,” katanya.

About these ads
This entry was posted in Pelbagai. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s