Pekasam keli untung berganda

Posted: Mei 11, 2009 in 1

 

 

PEKERJA mengisi ikan keli pekasam ke dalam bungkusan sebelum dipasarkan. – UTUSAN/FAIZAL ABU HASSAN



 

ARAU 23 Feb. – ‘Bakti disemai, bukti dituai’. Pepatah ini elok benar dipadankan dengan Pertubuhan Peladang Kawasan A1 (PPK A1), Guar Sanji, di sini.

Apa tidaknya, bakti yang ditabur oleh PPK itu kepada seluruh ahlinya menerusi projek ikan pekasam ternyata telah membuahkan hasil.

Mulai tahun 2006, PPK A1 melancarkan projek pekasam ikan talapia dan mulai Januari lalu pula maju setapak lagi dengan projek terkini sempena azam baru tahun 2009.

Kali ini, pekasam ikan keli pula yang dijuruskan setelah mendapati projek perintisnya iaitu pekasam talapia ternyata membawa pulangan berganda.

Projek ini terbukti bukan sahaja memberi ‘wang saku’ atau pendapatan sampingan kepada keluarga PPK, tetapi membuka satu lagi industri hiliran berasaskan bahan mentah tempatan di kawasan itu sendiri.

Pegawai Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Hasfa Azian Zakaria memberitahu, projek pekasam ikan keli itu bertujuan membantu ahli PPK A1 menokok pendapatan bulanan.

Projek itu katanya, dibuat selaras dengan matlamat PPK A1 yang memberi tumpuan kepada industri asas tani yang menjadikan ikan sebagai bahan mentah utama.

Di bawah projek tersebut, beliau menyatakan, sehingga kini pihaknya memproses kira-kira 100 hingga 200 kilogram ikan keli seminggu untuk pekasam.

”Bekalan ikan dibeli daripada tiga penternak yang terdiri daripada ahli PPK ini sendiri,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau memberi contoh, “Kami membelanjakan RM900 untuk menghasilkan 60 kilogram pekasam ikan keli yang dijual RM20 sekilogram.”

Hasfa Azian memberitahu lagi, setelah ditolak perbelanjaan berkaitan, PPK A1 mencatat keuntungan RM300 bagi setiap 100 kilogram ikan keli mentah.

Kata beliau lagi, selain pekasam ikan keli, pihaknya juga menghasilkan serunding ikan yang sama dan meraih keuntungan RM300 bagi setiap 100 kilogram ikan.

Beliau menyatakan, projek industri hiliran itu benar-benar berjaya kerana keuntungan diterima secara terus oleh keluarga PPK itu sendiri.

”Ini kerana, bekalan ikan kami peroleh daripada penternak yang terdiri daripada ahli PPK A1. Kerja-kerja menghasilkan pekasam dan serunding itu pula dibuat oleh isteri dan anak ahli PPK ini sendiri,” ujarnya.

Pendek kata, bermula dari bahan mentah, kemudian ke peringkat memproses dan memasarkannya, ia dilaksanakan tanpa khidmat orang tengah.

Wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia turut dihidangkan dengan juadah pekasam ikan keli semasa membuat liputan berita ini.

Hidangan yang disajikan berupa pulut yang dimakan bersama kelapa parut dan ikan keli pekasam goreng.

Rasanya selazat makanan yang cukup popular di Kelantan iaitu ‘pulut ikan kering’ (PIK).

Apabila Hasfa Azian ditanya berhubung resipi pekasam ikan keli itu pula, beliau secara berseloroh mengaitkannya dengan lagu Siti Nurhaliza iaitu Biarlah Rahsia.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s