Ceburi industri makanan atasi makanan haram

Posted: Jun 17, 2009 in Suntingan Berita

 

Bab halalnya makan dan minum ini penting dalam Islam. Sebabnya, ia akan jadi darah daging kita. Firman Allah yang bermaksud: Wahai sekelian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168) 

Nidzamuddin Zakaria



Memakan makanan jangan hanya sekadar memastikannya dari jenis-jenis makanan yang dihalalkan oleh syarak sahaja.

Kita juga mesti pastikan sumber kewangan yang digunakan untuk mendapatkan makanan tersebut bukan dari sumber yang tidak halal seperti wang curi, tipu, judi, riba, rasuah dan lain-lain yang tidak halal. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada An-Nuqman bin Basyir r.a: Perkara yang halal itu jelas dan begitu juga perkara yang haram itu jelas. (riwayat al-Bukhari)

Dari Kahab bin Hujarat ia berkata: Sabda Rasulullah SAW: “Dan setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api neraka lebih utama untuk membakarnya”. (riwayat at-Tabrani)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia, Nidzamuddin Zakaria bagi mengupas isu ini.

 

Mega: Apakah konsep makanan halal dalam Islam?
NIZAMUDDIN: Islam telah pun menetapkan makanan yang halal dan yang haram. Makanan halal boleh dijelaskan sebagai sesuatu bahan makanan yang suci dan baik (halalan tayyiba) di samping ia tidak melanggari syariat Islam sewaktu mendapatkannya, menyediakannya dan menggunakannya.

Ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud: Maka makanlah makanan yang halal (suci) lagi baik daripada rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu dan bersyukurlah di atas nikmat Allah…(an-Nisa’: 14)

Arak, khinzir dan anjing adalah contoh makanan yang majoriti umat Islam mengetahuinya sebagai benda yang haram.

Namun begitu, al-Quran telah menggariskan beberapa garis panduan tambahan bagi menentukan sesuatu makanan itu haram atau dilarang Islam. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, yang mati tercekik, mati dipukul, mati jatuh, mati ditanduk, yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih dan yang disembelih atas nama berhala serta (diharamkan) kamu menilik nasib dengan anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. (al-Maaidah: 3)

Bab halal dan haram telah diperjelaskan dengan begitu nyata dalam al-Quran. Setiap sumber makanan, sumber pendapatan, bahan keperluan harian, cara penyediaan makanan dan sebagainya, wajib halal.

Dalam Islam tidak ada istilah ‘Separa Halal’, ‘Separuh Halal’ atau ‘Gred Halal dengan 3 Bintang’ atau sebagainya. Setiap bahan dan sumbernya perlulah 100% halal malah suci dan baik dan tidak menimbulkan rasa was-was atau keraguan mengenai status halalnya.

Ini kerana setiap sumber yang haram akan menjadi darah daging dan akan menjejaskan amalan, doa dan personaliti dalaman dan luaran seseorang.

Justeru, umat Islam juga perlu prihatin kepada aspek penyediaan makanan agar makanan tersebut dapat dipastikan halal sedari proses awalnya merangkumi penternakannya atau penanamannya, penyembelihan dan penyediaannya hinggalah ia dijamah ke mulut sebagai halalan tayyiba sepenuhnya.

Isu ikan keli ‘berzat’ babi seperti di Perak baru-baru ini adalah contoh bagaimana kita boleh terjebak dalam makan makanan yang tidak halal. Apa tindakan umat Islam dalam menangani hal ini?
NIZAMUDDIN: Jika kes ini benar-benar berlaku seperti yang dilaporkan, saya menganggap ini suatu kes yang menggemparkan. Ia benar-benar mencalar integriti dan obligasi umat Islam untuk mengingkari dan menghindarinya secara serius.

Tambahan pula di kala umat dunia sekarang jijik dan alergi dengan babi akibat berdepan dengan wabak yang menakutkan iaitu wabak Selesema Babi!

Islam memang ada memberi kelonggaran untuk tidak menyelidiki apakah sumber makanan ikan di lautan yang luas. Entah-entah yang dimakannya bangkaikah, mayat manusiakah dan sebagainya.

Namun begitu, ikan di lautan tetap dikira halal. Akan tetapi, berbeza pula dengan ikan di kolam penternakan ikan keli contohnya yang sengaja ‘diumpan’ atau ‘disuapkan’ dengan babi. Maka ia adalah jelas haram dan tidak boleh dimakan sama sekali oleh umat Islam.

Umat Islam perlu menanganinya dengan tegas. Pihak penguatkuasa atau berwajib perlu menyelidik dan menyiasat aduan orang ramai mengenai makanan-makanan yang haram seumpama ini.

Jika boleh, Sijil Halal yang ditauliahkan mengambil kira sumber pemakanan haiwan atau binatang ternakan itu melalui penggunaan peralatan yang terkini yang mampu mengenalpasti sumber pemakanan yang bersih seperti yang diamalkan oleh Bahagian Persijilan Halal di Thailand.

Pengusaha hotel juga nampaknya kurang berminat mendapatkan sijil halal di premis mereka apabila hanya 27 hotel di seluruh negara setakat ini memiliki sijil halal yang disahkan.

Adakah boleh kita mengajak umat Islam memboikot hotel-hotel tersebut?
NIZAMUDDIN: Hotel adalah tempat yang popular bagi masyarakat di Malaysia. Dalam konteks umat Islam di negara ini, hotel bukan sekadar laku dan laris di musim cuti sekolah untuk cuti-cuti Malaysia, bahkan di kalangan mereka juga menggunakan khidmat perhotelan ini untuk seminar, bengkel, majlis perkahwinan, kursus, sambutan hari keluarga dan sebagainya.

Pengunjungnya terdiri daripada pelbagai latarbelakang sama ada orang kenamaan, ahli korporat, ahli akademik, para agamawan hatta orang kampung dan orang awam. Namun berapa ramaikah yang mempersoalkan status halal sesebuah hotel dalam aktiviti mereka menyediakan makanan?

Pendedahan ini dibuat berdasarkan temu bual yang dijalankan oleh sebuah stesen radio iaitu Radio 24 yang menjemput dua orang chef yang pernah bekerja di hotel bertaraf lima bintang.

Atas rasa kesedaran dan keprihatinan mereka mendedahkan penyelewengan dalam masakan yang tidak menghiraukan sensiviti umat Islam. Ia berkenaan mencampuradukkan bahan makanan yang halal dan haram untuk sajian masyarakat Islam yang mengunjungi hotel-hotel seperti ini.

Antara pendedahan oleh chef tersebut ialah dapur yang dimasak bercampur antara masakan Melayu, Cina, India, Itali, Barat kerana berlainan eksekutif chef, mesin pengisar daging yang asalnya diasingkan untuk mengisar daging babi dan daging selainnya seringkali bercampur kegunaannya antara keduanya dan kek-kek dicampur dengan arak serta sos-sos pencicah dicampur dengan bahan tidak halal.

Dalam kes ini, para pengusaha hotel perlu diwajibkan mendapatkan persijilan halal demi memastikan makanan yang disajikan adalah halal dan baik. Kalau pun ada makanan yang dikatogerikan sebagai non halal food, maka ia dilabelkan dan diasingkan proses penyediaannya sama sekali peralatan dapurnya agar ia tidak menjejaskan makanan yang halal. Yang jelas, umat Islam adalah pengguna, mereka bertanggungjawab untuk memilih servis dan barang yang terbaik.

Justeru, menjadi tanggungjawab, hak dan pilihan mereka untuk memilih hotel yang ditauliahkan sijil halal demi memastikan kepatuhan kepada Islam dan meraih reda Allah SWT. Untuk itu, penguatkuasaan yang tegas perlu dilakukan secara berkala oleh pihak berwajib.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mempunyai kuasa dalam menguatkuasakan undang-undang tetapi ia perlu dimainkan oleh Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan disokong oleh Persatuan-persatuan Pengguna seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan sebagainya.

Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) juga seharusnya memainkan peranan yang sama. Pembaharuan sijil halal yang dikeluarkan oleh MAIN perlu disusuli pemeriksaan rapi dari semasa ke semasa.

Apakah peluang yang patut diambil oleh usahawan Muslim dalam membantu menunaikan tanggungjawab fardu kifayah ini?
NIZAMUDDIN: Inilah kelompangan dan ruangan yang perlu diisi oleh umat Islam. Kita tidak perlu menyalahkan orang bukan Islam dengan produk-produk yang tidak halal di pasaran.

Janganlah kita hanya bergelar sebagai pengguna sepanjang usia dan seumur hidup kita. Jangan pula kita hanya tahu merungut dan boikot barang-barang yang haram atau terlarang, namun kita tidak menyediakan alternatif dan bertindak mencipta peluang pembikinan dan pembekalan produk-produk halal ke dalam pasaran.

Di samping produk makanan, produk-produk lain ubat gigi, syampu, penyegar mulut, pencuci lantai, berus cat dan sebagainya perlulah diusahakan secara halal agar bahan-bahan yang berada atau melekat di rumah kita merupakan benda yang halalan tayyiba.

Inilah ruang fardu kifayah yang perlu diisi kembali dan diperkasakan oleh umat Islam. Cabaran dan ujian seumpamanya perlu ditangani secara positif oleh para usahawan muslim agar mereka menggunakan sepenuh kreativiti dan inovasi untuk mempertingkat ekonomi umat Islam. Sekali gus menyediakan bekalan produk-produk halal yang cukup untuk pasaran umat Islam di peringkat negara mahu pun antarabangsa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s