Kua kor mengingati kehidupan silam

Posted: Jun 17, 2009 in Suntingan Berita

PERUT lembu salai atau kua kor.



 

KOTA BHARU 9 Jun – Deretan perut lembu salai yang menggelembung disangkut atas sebatang kayu hadapan rumah Sulaiman Ahmad, 65, di Kampung Bunga Emas, Penambang dekat sini tentunya menimbulkan tanda-tanya mereka yang pertama kali melihatnya.

Perut lembu yang dijadikan uncang itu dinamakan ‘kua kor’, diisi dengan nasi, daging dan garam, sebenarnya merupakan salah satu makanan kegemaran mereka yang berasal dari Kemboja dan setiap satu dijualnya dengan harga RM1.

Di kampung yang banyak dihuni oleh mereka yang berhijrah dari negara itu termasuk Sulaiman, kua kor sentiasa mengingatkan mereka dengan tradisi silam dan negara yang ditinggalkan sekian lama.

”Kua kor dijemur selama dua tiga hari dan disimpan dalam peti sejuk untuk tahan lama. Ia boleh digoreng dan atau lebih sedap dibakar, rasanya masam manis dan enak dimakan bersama nasi,” ujarnya.

Dia menjual 200 hingga 300 uncang sebulan yang dibawa masuk oleh pemborong untuk memenuhi keperluan bagi masyarakat Kemboja dan juga penduduk keturunan Siam sekitar jajahan ini dan Tumpat.

Menurut Sulaiman, lebih 300 penduduk asal Kemboja tinggal di situ dan mereka tidak pernah lupa makanan dari negara tumpah darah termasuk trendai’ iaitu ikan keli bakar, ‘chey’ atau pisang salai selain turut menjual ubat-ubatan serta majalah dari Kemboja di rumahnya.

”Walaupun sudah lama meninggalkan negara sendiri, rasa rindu akan terubat bila barangan sebegini ada di depan mata,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sulaiman yang berasal dari Kampung Luong dan pernah menjadi anggota tentera serta nelayan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan selain menjadikan jahitan baju Melayu sebagai punca pendapatan utama.

Dia yang tiba di Malaysia pada tahun 1990 bersama isteri, Aminah Abdullah, 55, dan empat orang anak pada awalnya ditempatkan di sebuah kem penempatan dekat Cherating, Pahang sebelum ke Kelantan pada 1992.

“Di Malaysia suasana Islam lebih terasa, senang nak cari barang makanan halal dan penduduk Melayu pun ramah tamah. Asalkan kita berbuat baik orang tidak ada masalah menerima kita,” katanya.

Sulaiman berbangga kerana anak bongsunya, Ilyani, 24, berjaya dalam pelajaran sehingga memperolehi ijazah dalam bidang Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hasil dari peluang pendidikan yang diperoleh di negara ini.

”Ilyani kini sedang menjalani praktikal di salah sebuah jabatan kerajaan di sini. Dua anak lelaki saya berniaga di pasar malam dan seorang lagi anak perempuan menjadi tukang jahit.

”Di sinilah hidup dan mati. Saya merasa amat terhutang budi. Saya tidak lagi berhasrat untuk balik. Malaysia sudah jadi ‘rumah’ buat diri dan keluarga,” ujarnya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s