Banjir, tanah runtuh: Antara dahulu dan sekarang

Posted: Julai 24, 2009 in 1
 
A Kadir Jasin
Wed | Dec 10, 08 | 3:14:21 pm MYT
KUALA Terengganu banjir. Maka bergegaslah pasukan penyelamat dan bantuan dengan kelengkapan canggih mereka.

Iklan
 
   
   

Media massa pun menguar-uarkan pelbagai sudut kejadian alam itu. Maka termaklumlah seluruh negara.

Tanah runtuh di Ulu Klang. Empat orang mati tertimbus. Beberapa buah rumah mewah musnah.

Maka bergegaslah pasukan penyelamat dan bantuan dengan kelengkapan canggih mereka.

Riuh satu negeri

Media massa pun menguar-uarkan pelbagai sudut kejadian alam itu. Apatah lagi bila antara mangsa adalah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri. Maka termaklumlah seluruh negara.

Banjir bukan kejadian baru. Tanah runtuh pun begitu. Tetapi ada beza antara banjir sekarang dengan banjir dahulu. Banjir hari ini riuh satu negeri. Banjir dahulu tidak siapa pun peduli.

Saya membesar pada ketika banjir bukan tajuk berita atau satu mala petaka. Ia adalah kejadian biasa, putaran masa.

Maka tidaklah nampak polis dan tentera, penyelamat dan pelapor media massa. Kalau nampak pun polis dan tentera, ia hanyalah kebetulan. Mereka mengambil kesempatan daripada air bah untuk memburu pengganas di hutan rimba.

Buat satu jangka masa yang agak lama, kampung saya dikategorikan kawasan hitam atau “black area” iaitu kawasan yang diancam pengganas komunis.

Tetapi hari ini, ramai yang sudah lupa atau tidak tahu bahawa beribu anggota tentera dan polis dari Malaya dan negara-negara Komanwel terkorban melawan pasukan bersenjata Parti Komunis Malaya.

Banjir datang dan pergi. Ia tidak lebih daripada putaran masa. Musim datang dan pergi. Sawah dan dusun tenggelam. Sekali sekala, orang yang tidak tahu atau alpa menjadi mangsa. Itu pun tidak dihebohkan atau menjadi tajuk berita.

Pada waktu itu, kita sentiasa bersedia. Kita tahu banjir tetap berlaku dan kita tahu bila ia akan tiba. Rumah kita tinggi tiangnya. Kalau empat lima kaki banjir belum apa-apa.

Di bawah rumah ada perahu. Pada musim kemarau kita tambat di sungai atau kita terbalikkan di bawah rumah atau di bangsal bersama basikal buruk dan kelengkapan bendang.

Banjir bawa rezeki

Bila banjir, kita berdayung ke hulu hilir memancing, menjala, menahan lukah, memberi makan kerbau dan lembu di banggol atau mencari itik yang dihanyutkan arus.

Kita tidak ada pegawai kaji cuaca atau Jawatankuasa Bencana Alam. Daripada hujan yang mencurah dan deras air yang mengalir, kita sudah dapat mengagak bila banjir akan melanda dan kecil atau besarnya. Kita sentiasa bersiap sedia.

Dua, tiga hari banjir bermula, ikan keli, belida (ikan selat kata orang Kedah) dan puyu (betuk) mudah dikail. Selepas itu tidak makan lagi kerana kenyang makan cacing yang tenggelam banjir.

Bila air surut, makan semula kerana lapar. Waktu itulah paling baik menahan joran berumpankan akan puyu atau sepat bagi menangkap ikan haruan.

Rumah saya di pinggir Sungai Pendang tinggi tiangnya. Lepas kepala orang dewasa. Bila berlaku banjir, kami tidak perlu berpindah ke mana-mana.

Kalau berpindah pun ke mana? Tidak ada dewan sekolah atau dewan orang ramai. Jadi masing-masinglah jaga diri, jaga ayam itik, kerbau, lembu dan kambing.

Musim banjir bawa tragedi. Tetapi ia juga membawa rezeki. Ikan dan burung mudah diperangkap. Selepas banjir sawah dan kebun subur semula.

Waktu malam, bersenjatakan lampu picit enam bateri dan jala yang dipanggil “tebah” saya dan tok wan saya, Haji Hassan, akan meredah banjir untuk ke banggol.

Banggol adalah tanah tinggi di padang ragut yang tidak ditenggelami banjir di mana kerbau lembu menyelamatkan diri. Pada waktu malam, banyak burung kembara tidur di situ.

Sekarang, setiap kali banjir ramailah penduduk pinggir Sungai Pendang yang riuh rendah dan hingar bingar berpindah.

Bukan kerana Sungai Pendang lebih mengganas. Malah ia telah dijinakkan oleh projek perairan Muda hampir 40 tahun lalu.

Mereka berpindah kerana rumah kayu bertiang tinggi telah digantikan dengan rumah batu tidak bertiang. Sekaki dua naik air, tenggelamlah ia. Perahu sudah digantikan kereta dan motosikal. Anak-anak tidak lagi pandai meredah banjir dan menangkap ikan keli dan puyu.

Maka banjir yang dulunya bukan cerita dan berita, hari ini dianggap mala petaka dan menjadi bahan muka depan serta waktu meminta dan memberi bantuan.

Rumah orang tua saya di kampung masih bertiang tinggi walaupun di bawahnya tidak lagi disimpan kerbau atau kelengkapan sawah. Sudah dijadikan dapur dan bilik tidur. Tetapi kalau banjir besar, ayah dan ibu saya masih ada atas rumah untuk berlindung.

Musim banjir adalah musim bahagia bagi saya dan budak-budak kampung yang sebaya. Ada alasan untuk tidak ke sekolah dan boleh memancing dan menjerat burung sepanjang hari dan sesuka hati.

Risikonya ada. Tetapi, umpama kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Ular, yang berbisa dan tidak berbisa, ada merata-rata. Mereka juga lari dari banjir mencari tempat selamat.

Pada satu musim banjir, Allahyarhamah nenek saya, Hajah Putih, dipatuk ular tedung yang bersembunyi di dalam guri tempat dia menyimpan beras. Nenek menyeluk untuk mengambil beras dan dipatuk.

Nasib baik dia sempat dibawa ke hospital di Alor Setar dan diberikan suntikan “anti venom” bagi melawan racun ular itu. Demikian hukum Tuhan. Penawar bisa adalah bisa juga.

Pugar tanah

Dulu pun ada tanah runtuh. Tetapi orang tidak riuh. Mereka tahu risikonya dan mereka pula adalah orang biasa yang memugar tanah untuk dijadikan kebun dan dusun.

Rumah mereka dari bahan-bahan rimba. Mereka bukan Tan Sri atau orang bernama. Jadi kalau ditimbus tanah runtuh pun, tidaklah riuh, tidaklah heboh.

Menteri pun tidaklah bergegas datang atau membuat janji tidak membenarkan rumah di lereng bukit lagi. Itulah janji yang kita dengar berulang kali apabila berlaku tragedi.

Jadi saya pun tidaklah berapa peduli kalau ada banglo (daripada perkataan Gujerat yang bermaksud rumah satu tingkat) yang ditelan bumi dan orang mati kerana berumah di lereng bukit adalah “vogue” bagi orang yang berduit.

Ibarat kata orang tua-tua, kalau takut dilanda badai jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut ditimbus tanah, di lereng bukit jangan berumah. – kadirjasin.blogspot.com_

<!––>

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s