Penduduk Kg. Mawai derita

Posted: Ogos 20, 2009 in 1

 

Oleh farik salleh
editjohor@utusangroup.com.my

 

BEBERAPA pekerja disyaki memunggah tong mengandungi bangkai ayam untuk diproses menjadi makanan ikan keli di Kampung Mawai, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini. – utusan/ Farik Salleh

 

 

KOTA TINGGI 4 Ogos – Masalah bau busuk yang menghantui ribuan penduduk sekitar Kampung Mawai, di sini akhirnya terungkai apabila beberapa penduduk mengambil inisiatif sendiri dengan mencari punca pencemaran.

Mereka kemudiannya berjaya mengenal pasti satu kawasan kolam ikan air tawar sebagai punca bau busuk itu.

Penduduk mendakwa, masalah bau busuk di kawasan itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu dan mereka pernah mengemukakan perkara itu kepada pihak berkuasa tetapi tiada tindakan sewajarnya diambil.

Menurut mereka, aktiviti di kawasan ternakan tersebut telah menyebabkan kawasan sekitar perkampungan yang diduduki majoriti masyarakat Melayu itu mengalami pencemaran bau yang serius terutamanya ketika cuaca panas dan waktu malam.

Antara kawasan penempatan yang terpaksa berdepan masalah pencemaran bau busuk dan meloyakan tekak itu ialah Mawai Batu 9, Kampung Mawai Lama, Kampung Tersusun Mawai dan Felda Aping Barat.

”Bayangkanlah, setiap hari bau hanyir dan busuk bangkai ayam itu menusuk ke rongga hidung sampai terasa sangat meloyakan,” kata seorang penduduk kampung berkenaan, Badrulzaman Abu Samah, 43, yang ditemui di sini.

Katanya, beliau percaya kawasan ternakan berhampiran ladang sawit yang diusahakan Koperasi Pembangunan Kampung Tersusun Mawai (Kopema) dengan jarak sejauh 1.2 kilometer dari Kampung Tersusun Mawai, menjadi punca pencemaran bau itu.

Justeru beliau bersama beberapa ahli jawatankuasa penduduk yang meninjau kawasan ternakan itu mengambil gambar lambakan dan timbunan bangkai ayam sebagai bahan bukti dan percaya bangkai ayam yang diperoleh dari luar daerah itu diproses untuk dijadikan makanan ikan keli.

Katanya, penduduk menderita kerana terpaksa menghidu bau busuk ekoran pencemaran sisa buangan bangkai ayam sebelum diproses sebagai makanan ikan dari satu kawasan ternakan ikan yang beroperasi berhampiran penempatan mereka.

Lebih membimbangkan, keadaan itu dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan penduduk kerana terpaksa menghidu bau busuk selain menyebabkan kawasan kampung itu dipenuhi lalat.

Sehubungan itu, mereka meminta kerajaan atau pihak berkaitan bertegas termasuk mengarahkan pengusaha ternakan ikan tersebut supaya berpindah ke kawasan yang jauh dari penempatan penduduk selain menggesa agar kawasan itu diperbaiki secepat mungkin.

Rakannya, Mustapah Haleed, 39, berkata wakil penduduk sudah melaporkan kepada pihak berkuasa, termasuk penguasa Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pejabat Kesihatan daerah untuk menjalankan siasatan mengenai pencemaran bau itu.

Beliau yang juga selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO cawangan kampung itu mendakwa, tinjauan ke kawasan kolam ternakan ikan ketika itu mendapati puluhan guni berisi bangkai ayam dibawa masuk menggunakan lori dari daerah luar sebelum sebahagian bangkai ayam dimasukkan ke mesin penghancur untuk dijadikan makanan ikan.

”Selain itu lebih tujuh pekerja, termasuk warga Thailand, bekerja memunggah bangkai ayam yang dimuatkan dalam tong biru dan guni dari lori bangkai ayam, dengan sebahagiannya dibiarkan bersepah atas tanah hingga berulat dan reput.

”Bangkai ayam reput dan berulat itu menyebabkan sebahagian kawasan tanah sekitar kolam menjadi kehitaman, termasuk air kolam kecil di situ berubah warna kepada kehitaman dan berbau busuk.

Berikutan itu, kami mengharapkan campur tangan pihak berwajib menangani masalah pencemaran bau itu”, katanya lagi.

Sementara itu, Ketua UMNO cawangan Kampung Mawai Baru, Ramli Katang, 44, berkata, bau busuk dapat dihidu terutamanya setiap kali hujan lebat selain terpaksa mengharungi saat meloyakan apabila hendak makan.

”Kami memang sudah tidak tahan hidup begini, pada waktu makan tingkap rumah sentiasa ditutup tetapi bau busuk yang menusuk hidung tidak dapat dihindar. Ia benar-benar menyusahkan,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut di sini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s