SMIP sekolah harian ternama

Posted: Ogos 20, 2009 in 1

 

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

 

MOHAMAD Yaacob (dua dari kanan) dan Mohd. Ghazali Abdul Rahman memegang piala Anugerah Seri Asrama Terbilang Peringkat Kebangsaan 2009 yang dimenangi SMIP baru-baru ini. Turut kelihatan Mohd. Rozali Isohak (kiri). – utusan/Asma Hanim mahmood.



 

KOTA BHARU 19 Ogos – Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra (SMIP) merupakan salah sebuah sekolah harian ternama di negeri ini.

Sekolah yang sudah berusia empat dekad itu menjadi pilihan ramai ibu bapa dari serata ceruk negeri ini untuk menempatkan anak-anak mereka belajar dan tinggal di asrama berasaskan reputasinya.

Rata-rata bekas pelajarnya pula ternyata berbangga dengan sekolah yang mencorakkan siapa mereka pada hari ini.

Antara mereka ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias dan bekas Pegawai Kewangan negeri, Datuk Shokri Mohamad.

Justeru sebagai sekolah pilihan, ia menapis kemasukan dengan memberi keutamaan awal kepada murid di pedalaman yang mendapat 5A dan 4A dalam Ujian Pencapaian Sekolah rendah (UPSR).

SMIP yang kini menampung 980 pelajar dengan bimbingan 106 guru adalah antara empat sekolah harian terbaik Kelantan selain Maktab Sultan Ismail, SM Zainab, SMK Dato’ Ahmad Maher.

Pengetuanya, Mohamad Yaacob berkata, beliau berbangga kerana dapat mendidik pelajar yang rata-ratanya dari luar bandar seperti Jeli, Gua Musang, Kuala Krai dan membentuk budaya kehidupan pelajar.

Sekolah itu mencapai keputusan kelulusan seratus peratus bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sejak tiga tahun lepas.

”Kami perkenalkan jadual pembelajaran yang ketat iaitu belajar dari pukul 7.45 pagi hingga 3 petang, disambung pula dengan kelas tambahan hingga 5.30 petang yang diberi percuma kepada semua pelajar.

”Hasilnya keputusan PMR 2008 baru-baru ini, buat pertama kalinya kita berjaya melonjak ke tempat kelima seluruh Kelantan, di belakang Sekolah Menengah Tengku Muhammad Faris Petra, SM Sains Machang, SM Sains Pasir Puteh dan SMA Naim Lilbanat,” ujarnya.

Pada Hari Anugerah Kualiti 2008 Kementerian Pelajaran tahun lalu, SMIP telah muncul antara tujuh sekolah harian terbaik seluruh negara dan menjadi satu-satunya wakil dari negeri Pantai Timur.

Terbaru Julai lalu, ia terus mencatatkan sejarah dengan sebagai sekolah harian pertama di negeri ini menerima Anugerah Seri Asrama Terbilang peringkat kebangsaan sejak anugerah diperkenalkan 15 tahun lalu.

Mohamad Yaacob telah menerima piala dan sijil penghargaan daripada Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mat Dom pada satu majlis di Kuala Lumpur.

Menurut Mohamad, pengiktirafan itu tidak dijangka pihaknya memandangkan SMIP pertama kali dipilih mewakili negeri.

“Terdapat lebih 2,800 buah sekolah harian di seluruh negara dan kita berjaya mengatasi kesemuanya. Tentulah ini satu kejayaan yang dikongsi bersama para guru, pelajar dan warga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang sentiasa memberi komitmen dalam usaha bersama.

”Kami bersyukur kerana dapat menjadi sekolah pertama dari Kelantan yang diiktiraf mempunyai asrama terbaik di seluruh Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis jamuan kesyukuran anjuran PIBG sekolah itu minggu lepas.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Mohd. Ghazali Abdul Rahman dan Yang Dipertua PIBG, Datuk Mohd. Rozali Isohak.

Mohamad berkata, daripada bilangan 980 pelajar yang menuntut di sekolah tersebut, 380 pelajar lelaki dan perempuan dalam tiga blok asrama setinggi dua dan empat tingkat, diawasi 10 warden termasuk dua penyelia.

”Enam pelajar ditempatkan dalam satu bilik dengan kemudahan katil bujang bagi setiap pelajar manakala setiap dua buah bilik pula dikhaskan dengan tandas dan bilik air,” ujarnya.

Mohamad berkata, selain pengurusan yang baik, keistimewaan asrama SMIP yang mungkin menjadi kriteria utama ia memenangi anugerah ialah inisiatif pihak sekolah menjaga kebajikan pelajar berkeperluan khas di asrama mulai 1990 lagi.

“SMIP juga adalah sebuah sekolah pusat pendidikan khas yang menempatkan 78 pelajar cacat pendengaran di asrama supaya dapat diberikan tumpuan dan peluang untuk mereka belajar hidup berdikari,” ujarnya.

Mohamad berkata, SMIP menyediakan program latihan khas termasuk program pertanian dapur dengan sayur-sayuran, memberi latihan penternakan ikan keli dan mereka juga dibimbing dari segi kemahiran seperti mencanting batik.

Tambahnya, dengan program yang diadakan itu, ia dapat membantu pelajar berkeperluan khas yang kurang berjaya dalam akademik mempunyai keyakinan untuk berdikari dan berjaya dalam kehidupan.

Komen-komen
  1. Naim berkata:

    hidup smip!!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s