Keli gergasi Mekong

Posted: September 28, 2009 in 1

SPESIES pla buk ini memang menjadi idaman ramai untuk dipancing sebagai ikan sukan. Namun biarlah ia hanya berada di habitat asal dan tidak perlulah ia dilepaskan di perairan Malaysia disebabkan dalam tempoh yang panjang, spesies ikan tempatan bakal pupus disebabkan dominasi ikan gergasi ini.



JULAI lalu, Kerajaan Negeri Terengganu menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 untuk menangkap ikan gergasi Araipaima (Arapaima gigas) atau lebih dikenali sebagai ikan naga yang masuk secara ‘haram’ ke tasik terbesar buatan manusia di Asia Tenggara itu.

Tapi nampaknya kerajaan negeri seolah-olah tidak belajar daripada kesilapan apabila dengan bangganya mengumumkan mereka akan melepaskan pula seekor lagi ikan gergasi, keli gergasi Mekong (Pangasianodon gigas) atau lebih dikenali sebagai Pla buk di Thailand, tempat lahirnya ikan itu.

Hasrat itu dengan gembira diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada 17 September lalu bagi membolehkan satu pertandingan memancing anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Tourism Malaysia Negeri Terengganu.

Menurut beliau, ikan itu bakal menjadi tarikan kepada lebih 300 kaki pancing selain 150 kaki pancing dari negeri China yang akan diadakan pada 2 hingga 6 Oktober ini.

Menariknya, ikan keli gergasi Mekong yang dianggarkan seberat 100 kilogram itu bakal dilepaskan bersama-sama beberapa spesies lampam dan toman yang semuanya bernilai sehingga RM400,000.

Menurut beliau lagi, penganjuran pertandingan memancing itu dikatakan berpotensi untuk menjadikan Tasik Kenyir sebagai lokasi memancing pilihan utama pemancing seluruh dunia dan dapat menggamit 100 juta kaki pancing dari negara China.

Bidai sanjung usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan Tasik Kenyir supaya menjadi pilihan kaki pancing tapi Bidai agak terkejut dengan tindakan melepaskan ikan asing di tasik itu.

Bagi Bidai, Ahmad tak turun padang dan bertanyakan dengan kaki pancing atau pengusaha chalet serta rumah bot yang ada di Tasik Kenyir itu.

Ini disebabkan pada pengalaman Bidai, tak perlulah ada sebarang ikan asing dilepaskan di tasik berkenaan kerana ikan-ikan yang ada di situ sudah cukup untuk memberi kehangatan kepada peserta pertandingan memancing.

Bukan apa, bagi Bidai, pertandingan memancing semuanya bergantung kepada nasib dan tak perlulah letak ikan gergasi untuk menarik perhatian kaki pancing.

Satu dunia sudah tahu kelah (Tor douronensis), merupakan ikan sukan paling hebat dan untuk menangkapnya memerlukan kepakaran dan skil yang agak tinggi.

Mungkin disebabkan saiz keli gergasi Mekong itu besar, Ahmad beranggapan ia sesuai untuk pertandingan memancing dan mampu menarik ramai kaki pancing untuk menyertai pertandingan memancing yang bakal dianjurkan itu.

Namun bagi Bidai yang pernah menyertai banyak pertandingan memancing, ikan gergasi bukanlah satu kriteria utama untuk menyertai satu-satu pertandingan memancing, lebih-lebih lagi ia merupakan ikan asing yang tak sampai sebulan dimasukkan ke dalam tasik itu.

Bukan nak mengatakan Bidai pandai, tapi Bidai cuma nak ingatkan Ahmad bahawa Tasik Kenyir mempunyai keluasan 260 kilometer persegi, lebih besar daripada Singapura dan ia mengandungi 340 buah pulau kecil selain 14 kawasan air terjun.

Jadi, ikan baru yang dilepaskan di satu habitat yang berasingan perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri dan lama kelamaan akan menyusuri kawasan sungai untuk membiak dan bukan di tasik terbuka.

Untuk tu, mana rasionalnya melepaskan ikan asing tersebut ke dalam Tasik Kenyir dalam memberi keseronokan kepada kaki pancing untuk mendapatkannya?

Alasan untuk menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan popular juga tidak boleh Bidai terima sebab, Tasik Kenyir memang sudah lama popular dengan spesies tempatan terutama kelah, sebarau, baung, toman, lampam, kaloi, kelisa, temoleh dan juga tapah.

Mereka sudah lama mempopularkan Tasik Kenyir yang tidak putus-putus dikunjungi oleh kaki pancing tempatan dan juga luar negara.

Kelah dan toman sebagai contoh, sudah menjadi ikan sukan hebat di Tasik Kenyir sehingga ada kaki pancing daripada luar negara mengunjungi tasik berkenaan setiap tahun untuk hanya memancing ikan itu.

Bidai pun tak mau cerita pasal sebarau kerana, tiga muka surat akhbar pun tak habis nak cerita pasal kehebatannya.

Jadi Bidai agak hairan kenapa timbul cerita nak lepaskan ikan keli gergasi Mekong ni?

Mungkin ada penganjur pertandingan yang mencadangkan perkara itu dengan hasrat menarik lebih ramai kaki pancing mengunjungi Tasik Kenyir yang pada hakikatnya sudah ramai mengunjunginya.

Untuk pengetahuan Menteri Besar, pemancing tegar yang menjadikan kelah, sebarau dan toman sebagai ikan sasaran tidak pernah nak guna anak keli sekalipun sebagai umpan kerana takut ia membiak di dalam tasik itu dan inikan pula gergasi yang mahu dimasukkan.

Walaupun diet ikan gergasi ini hanya diketahui memakan plankton, algae dan tumbuhan, ia juga akan memakan benda lain termasuk ikan jika diletakkan dalam satu habitat baru.

Malah, ikan ini juga mampu membesar sehingga 150 ke 200 kilogram dalam tempoh enam tahun.

Dan untuk itu juga, keli gergasi Mekong ini bakal ‘membedal’ semua spesies yang ada di dalam tasik berkenaan dan dalam tempoh yang singkat, spesies tempatan bakal pupus lagi.

Bagi Bidai, untuk mempopularkan lagi Tasik Kenyir, promosi lebih agresif perlulah dijalankan dan bukan mencampakkan ‘makhluk asing’ ke dalam tasik tersebut hanya untuk menarik perhatian dan dengan bangga mengatakan tasik kita mempunyai banyak spesies ikan.

Biarlah kelah, sebarau dan toman kita kekal hebat dan mereka ini sudah lama menarik kaki pancing dari seluruh dunia untuk berada di Tasik Kenyir setiap tahun.

Ahmad dengan geng-geng sana Bidai harap dapat mendalami lagi apa yang ada di Tasik Kenyir. Tanya orang tempatan, pengusaha rumah bot dan chalet serta kaki pancing, jangan hanya disebabkan ikan asing tu popular di tempat lain, ia nak ‘disumbatkan’ di sini.

Untuk pengetahuan beliau, keli gergasi mekong tu juga sebenarnya kini disenaraikan sebagai status spesies hampir pupus pada Senarai Merah IUCN.

Di Thailand, mereka pancing dan lepas, untuk terus mengekalkan spesies sedia ada.

Harapan Bidai, janganlah lagi Kerajaan Negeri Terengganu melakukan kesilapan mudah seperti kepupusan penyu belimbing dan menukarkan maskot penyu kepada ikan Nemo.

Sekali ikan asing itu diletakkan di perairan kita, ia bakal memberikan kemusnahan yang berpanjangan malah bakal menyebabkan kerajaan negeri mengeluarkan belanja besar untuk membetulkannya. Itukah legasi Ahmad nak tinggalkan?

Fikirkanlah…

Add to Google  

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s