Aroma ayam kampung berempah

Posted: Mac 25, 2010 in 1

 

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar ABDUL HAFIZ KHOSMAT

 

Inilah di antara hidangan istimewa di restoran Mar Suri.

 

MENIKMATI ayam kampung bersalut rempah, digoreng panas-panas dengan aroma yang menyelerakan pasti membuatkan perut merasa lapar.

Walaupun tidak mempunyai isi yang gebu dan tidak selembut seperti ayam yang dipelihara di dalam kurungan namun keistimewaan rasa ayam kampung hanya dapat dinilai setelah seseorang itu merasainya.

Jika anda bekerja atau tinggal di kawasan Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur anda berpeluang merasai keenakan ayam kampung goreng berempah ini di Restoran Mar Suri yang terletak di Platinum Walk No. 2.

”Inilah keistimewaan Restoran Mar Suri yang tidak terdapat di restoran-restoran lain di kawasan persekitaran sini,” ujar pemiliknya Datuk Marina Mahammad yang ditemui di restoran tersebut baru-baru ini.

Katanya, kebanyakan pelanggan yang mengunjungi restoran ini pasti akan mencari ayam kampung goreng dahulu sebelum mengambil lauk-pauk lain. Lambat diambil, alamat habis.

Selain hidangan ayam kampung goreng, restoran yang dibuka pada bulan November 2008 ini juga terkenal dengan hidangan pantai timur seperti nasi kerabu, laksam dan pelbagai jenis kerabu.

Terdapat juga bermacam-macam pilihan masakan kampung yang menyelerakan seperti gulai pucuk paku, gulai pucuk ubi, gulai nanas ikan masin, ikan keli goreng berlada, ikan tilapia goreng cili api, pajeri nanas, ikan kembung sambal, ulam-ulaman dan banyak lagi. Bagi hidangan makan tengah hari sahaja terdapat lebih daripada 30 jenis lauk-pauk

”Kami juga akan memperkenalkan masakan gulai kawah mengikut resipi Kelantan yang menggunakan rempah ratus yang diproses sendiri dan membangkitkan selera. Gulai kawah ini bukan sahaja sedap dimakan dengan nasi panas-panas tetapi juga sesuai dicolek dengan roti atau roti canai.

”Restoran Mar Suri juga akan sentiasa menukar menu bagi memenuhi kehendak dan selera setiap pelanggan. Pelanggan yang inginkan hidangan yang ringkas boleh menikmati masakan panas seperti nasi goreng, nasi ayam, mihun dan mi goreng.

”Mulai pukul 12 tengah hari pula, kami menyediakan hidangan gorengan panas seperti cendawan goreng, daun bayam goreng, goreng pisang, goreng keledek dan keladi, cucur kodok dan cucur udang,” kata Marina yang berasal dari Kota Bharu Kelantan tetapi telah 40 tahun menetap di Kuala Lumpur.

Katanya, beliau sendiri akan ke pasar bagi mendapatkan bahan-bahan makanan seperti sayur-sayuran, ikan, daging, ayam dan sebagainya bagi mempastikan mutu makanan yang dijual sentiasa segar.

Beliau menambah, selain lauk-pauk dan hidangan gorengan, pelanggan boleh menikmati hidangan pencuci mulut yang lazat, iaitu cendol istimewa yang boleh dicampurkan dengan pengat labu atau pulut kukus.

Menurutnya lagi, pelanggannya ramai di kalangan pekerja pejabat, penduduk sekitar dan pelajar-pelajar kolej jururawat berdekatan yang berhampiran.

Bukan sahaja pelanggan Melayu malah restoran ini mempunyai ramai pelanggan Cina yang gemar dengan makanan Melayu.

”Pelanggan lebih ramai dua kali ganda setiap hari Ahad kerana ramai penduduk sekitar yang menjamu selera di sini,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s