Impak positif NKRA

Posted: Mac 25, 2010 in 1

 

Oleh LIM ANN TECK

 

KERAJAAN telah melancarkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada September 2009 sebagai satu usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. Di bawah NKRA Isi Rumah Berpendapatan Rendah (Low Income Household-LIH), kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan jumlah golongan miskin daripada 3.6 peratus kepada 2.8 peratus,

membasmi 44,643 isi rumah kemiskinan tegar dan meningkatkan 50 peratus pemilikan rumah kos rendah di kalangan penghuni dan penyewa yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM2,500 sebulan pada akhir tahun ini.

Dalam usaha itu, NKRA melibatkan beberapa agensi pelaksana yang bertanggungjawab menjalankan program-program pembasmi kemiskinan. Antara agensi pelaksana itu adalah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) selaku agensi peneraju, selain daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta 32 agensi-agensi lain di peringkat persekutuan, negeri dan daerah.

Mereka yang tergolong dalam miskin tegar adalah berpendapatan isi rumah di bawah RM440 sebulan. Manakala golongan miskin adalah berpendapatan isi rumah kurang daripada RM750 sebulan. Golongan berpendapatan isi rumah kurang daripada RM2,000 sebulan pula dikategorikan dalam kumpulan mudah miskin.

Golongan miskin tegar dan miskin terdiri daripada pelbagai peringkat umur, mempunyai latar belakang kehidupan dan kesihatan berbeza. Mereka boleh dikategori dalam kumpulan golongan produktif dan tidak produktif. Oleh yang demikian, usaha membasmi kemiskinan perlu dilaksanakan melalui pendekatan yang berbeza.

Bantuan yang diberikan kepada golongan itu sekarang adalah dalam bentuk kewangan dan kebendaan. Hasil daripada pengalaman Jabatan Kebajikan Masyarakat selama hampir 60 tahun memberi bantuan kebajikan kepada mereka yang layak, kerajaan kini menjurus kepada productive welfare yang mana golongan miskin tegar dan miskin produktif akan diberi bantuan dalam bentuk kemahiran, latihan dan motivasi/kursus pembangunan minda. Dengan kata lain, mereka dilatih untuk berdikari tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata.

Bagi golongan yang tidak produktif seperti golongan tua, berpenyakit (sakit terlantar) dan orang kurang upaya (OKU), kerajaan akan terus memberi bantuan dalam bentuk kewangan dan kebendaan. Manakala golongan yang produktif (mereka yang sihat), kerajaan akan menyerapkan mereka ke dalam program 1AZAM bagi membolehkan mereka meningkatkan pendapatan sekali gus mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Program 1AZAM meliputi empat bidang iaitu tani, kerja, khidmat dan niaga. Program itu disokong oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Sumber Manusia (MOHR) dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

MOA adalah peneraju kepada 1AZAM Tani, MOHR (1AZAM Kerja) manakala AIM (1AZAM Niaga dan 1AZAM Khidmat).

Di bawah Program 1AZAM, peserta program akan diteliti dan dinilai dari segi pengalaman, minat, kemahiran dan kesesuaian. Minat dan kemahiran mereka akan dipadankan dengan projek yang sesuai dengan mereka. Proses pemadanan dibuat bertujuan memastikan matlamat program 1AZAM bagi membasmi kemiskinan dapat dicapai. Berikut ringkasan program ini.

1. 1AZAM Kerja – Merupakan bidang kerja yang menumpukan kepada beberapa jenis pekerjaan yang tidak memerlukan pendidikan dan kemahiran tinggi. Pekerjaan tersebut adalah pembantu rumah, pekerja stesen minyak, pengawal keselamatan, pelayan restoran, pembantu kedai/pasar raya, tukang cuci, kerja-kerja pembinaan yang dilindungi seperti kerja paip, memasang jubin dan tukang kayu.

2. 1AZAM Khidmat – Projek ini menawarkan peluang kepada golongan berpendapatan rendah menjadi pekerja atau usahawan. Peserta juga diberi pilihan untuk terlibat sebagai pekerja sambilan atau sepenuh masa. Di antara perkhidmatan yang dimaksudkan itu adalah kantin bergerak, perkhidmatan cucian kereta bergerak, memotong rumput, perkhidmatan kepada ibu selepas bersalin, pusat penjagaan harian kanak-kanak dan orang tua, membuat pemasangan peralatan/barang di rumah

3. 1AZAM Niaga – Projek ini melibatkan peluang perniagaan secara kecil-kecilan. Ia bertujuan menggalakkan penglibatan keusahawanan golongan berpendapatan rendah bermula daripada berniaga secara kecil-kecilan dan seterusnya menuju ke arah perniagaan yang lebih besar dan maju. Perniagaan itu adalah pasar malam, penjual ais krim, penjual air tebu, menjual burger, peniaga gerai, perkhidmatan masak di rumah dan lain-lain.

4. 1AZAM Tani – Ia melibatkan projek- projek pertanian yang mendapat pulangan dalam jangka masa pendek. Antara projek tersebut adalah tanaman jangka pendek seperti cili merah, sawi, kangkung, jagung, kailan dan lain- lain, projek akuakultur seperti ternakan ikan, penetasan dan penjagaan benih ikan keli/kelah/siakap/kerapu dan lain-lain, ternakan jangka pendek seperti projek penggemukan lembu.

Untuk mencapai matlamat membasmi miskin tegar dan mengurangkan jumlah golongan miskin, Pejabat Pengurusan Penghantaran (Delivery Management Office – DMO) bagi NKRA Kemiskinan Isi Rumah Berpendapatan Rendah di bawah KPWKM kini menjalankan proses saringan golongan miskin tegar dan miskin yang berdaftar dalam sistem e-Kasih bagi memadankan mereka untuk diserap ke dalam program 1AZAM. Proses ini sedang dilaksanakan secara berperingkat di negeri-negeri seluruh negara.

Sejak NKRA dilaksanakan, ia memberi impak positif. Jumlah golongan miskin tegar sehingga 18 Mac 2010 telah berkurang daripada 44,643 isi rumah kepada 40,842 iaitu pengurangan sebanyak 3,801 isi rumah.

Namun begitu, jumlah golongan miskin meningkat kerana golongan yang terkeluar daripada kelompok miskin tegar telah memasuki kelompok miskin. Bagi memastikan kelompok miskin tegar yang terkeluar ini tidak dicampur dengan kelompok miskin sedia ada, satu sistem data berasingan untuk golongan miskin tegar yang terkeluar itu perlu diadakan.

Manakala usaha meningkatkan pemilikan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) juga telah berjaya dilaksanakan. Kerajaan telah menetapkan sasaran menawarkan sebanyak 44,146 rumah PPR dan PA kepada penghuni rumah berkenaan. Sehingga Februari 2010, sebanyak 80 peratus rumah-rumah berkenaan telah ditawarkan untuk dijual dan disewa kepada penghuninya.

Secara keseluruhannya, usaha kerajaan mengurangkan jumlah golongan miskin tegar menunjukkan hasil positif dan usaha gigih pelbagai agensi pelaksana akan diteruskan bagi memastikan matlamat membasmi miskin tegar dapat dicapai pada akhir tahun ini.

Golongan miskin tegar dan miskin yang berminat menyertai program 1AZAM boleh menghubungi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di talian 03-2693 0095 sambungan 4166 atau info@kpwkm.gov.my.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s