Jangan tunduk pada tuntutan

Posted: Mac 25, 2010 in 1

 

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@kosmo.com.my

 

Harga ikan dijual seperti biasa, tiada kenaikan mendadak ekoran arahan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menguatkuasakan penggunaan kotak ikan berinsulasi. – Bernama

 

SEORANG rakan sepejabat menceritakan bahawa ibunya terpaksa pergi ke sebuah pasar raya setelah mendapati tiada ikan di kedai runcit yang biasa dikunjunginya, berdekatan rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur.

Sekembalinya ke rumah, bukan ikan yang dibawanya pulang, sebaliknya ayam segar menjadi ganti. Ia berlaku selepas ibu itu melihat tiada banyak pilihan ikan yang boleh dipilihnya di pasar raya tersebut.

Langkah yang diambil oleh ibu itu adalah betul. Buat apa susah-susah dan pening kepala memikirkan ikan tiada di pasaran. Tukar saja sajian ikan dengan menu daripada daging ayam, lembu atau kambing.

Dengan kata lain, mulakan boikot terhadap pengimport dan pemborong yang enggan mematuhi arahan kerajaan agar menggunakan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) berkuat kuasa 1 Mac lalu.

Ternyata tindakan Jawatankuasa Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia menghentikan operasi membawa masuk ikan import dari Thailand dan Indonesia kerana tidak mahu menggunakan KIBFG menyusahkan pengguna.

Mungkin tindakan itu satu kejayaan kepada jawatankuasa tersebut, tetapi ia tidak bermakna pengguna kalah. Hak dan kuasa membeli pengguna boleh digunakan untuk ‘mengajar’ pihak-pihak yang berkepentingan.

Dalam hal ini, pengguna perlu bijak menggunakan hak mereka yang sering kali kelihatan ‘kalah’ apabila timbul sesuatu isu berkaitan mereka, misalnya isu harga ayam, gula, tepung gandum, minyak masak dan sebagainya.

Kekalahan itu berlaku kerana pengguna tunduk kepada kemahuan pengimport dan pemborong sehingga sanggup mengeluarkan belanja lebih daripada biasa semata-mata mahu mendapatkan barangan yang diperlukan.

Jika orang ramai bijak menggunakan hak mereka sebagai pengguna, sudah tentu golongan tersebut yang kalah sekali gus mereka akan tunduk kepada tuntutan serta hak pengguna.

Namun apabila diteliti semula, ternyata ia sesuatu yang sukar berlaku dalam masyarakat kita memandangkan pengguna kita begitu ‘baik hati’ dan sentiasa beralah dengan pihak-pihak berkaitan.

Sikap baik hati itulah yang akhirnya menjerat hidup pengguna sehinggakan mereka sentiasa ditekan apabila timbul isu-isu berkaitan kepenggunaan.

Hakikatnya, tangan pengguna yang memegang wang untuk membeli itu dan ini. Kuasa wang itu membuatkan mereka berkuasa. Jadi, hentikan membeli ikan sehingga satu resolusi yang menguntungkan pengguna dicapai.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, kita boleh hidup tanpa makan ikan, jadi hentikan sementara pembelian ikan dengan beralih kepada ikan darat atau sumber-sumber protein lain seperti ayam, daging atau kambing.

Menurutnya, langkah itu boleh menjimatkan perbelanjaan bulanan memandangkan harga ayam segar jauh lebih murah daripada ikan segar.

“Kalau buat perbandingan, harga ayam segar sekilogram adalah RM6, sedangkan harga ikan laut lebih mahal. Kita boleh juga beralih kepada ikan darat seperti ikan keli yang berharga RM4.50 sekilogram,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, pengguna boleh mengambil protein daripada tumbuh-tumbuhan seperti soya.

Dengan nada kesal, beliau juga berkata, pengimport dan pemborong adalah pengkhianat kerana sanggup menyusahkan pengguna demi kepentingan sendiri.

“Bagi saya, merekalah yang mengkhianati kepentingan pengguna kerana tidak patuh pada arahan kerajaan.

“Perlu difahami bahawa setiap apa yang kerajaan buat adalah untuk kepentingan pengguna,” ujarnya yang menekankan bahawa penggunaan KIBFG antara lain bertujuan menyelesaikan masalah penyeludupan.

Dr. Maamor turut mendakwa pihak yang membantah penggunaan kotak berinsulasi itu mempunyai kepentingan sendiri dan seolah-olah mahu menyembunyikan sesuatu.

“Kotak ini mempunyai mikrocip yang boleh mengesan barangan seludup seperti senjata dan dadah yang disembunyikan di dalam kotak-kotak ikan.

“Jadi, kenapa nak bantah perkara baik? Adakah mereka mempunyai sesuatu yang mahu diselindungkan,” soalnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengguna menyokong segala tindakan kerajaan dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam satu sidang media di Kuala Lumpur kelmarin, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata, kekurangan bekalan ikan akan mula berlaku pada hari ini kerana kerana semalam, para peniaga masih menggunakan bekalan ikan yang diperoleh sebelum tarikh 1 Mac 2010.

Sungguhpun begitu, pengguna tidak perlu risau kerana boikot berkenaan hanya mewakili 30 peratus daripada keseluruhan bekalan tempatan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha’ani Abdullah berkata, pihak kerajaan dan jawatankuasa terbabit perlu terus berunding untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Menurutnya, ia penting supaya jalan penyelesaian yang tidak merugikan pengguna dapat dicapai dalam masa terdekat ini.

“Kena ada cara untuk mengatasi masalah ini. Biarlah sebarang tindakan yang diambil dapat meminimumkan kesan kepada pengguna.

“Ia bukan sahaja tentang soal harga, tetapi juga bekalan ikan yang tidak putus. Itu lebih penting daripada terus berbalah sesama sendiri,” katanya.

Katanya, kekurangan bekalan ikan yang berlaku itu bukan sahaja menjejaskan kehidupan pengguna, malah pengusaha restoran dan hotel.

“Kesannya akan dialami oleh pelancong asing yang mahu menikmati makanan tempatan. Apabila ini berlaku, ia sedikit sebanyak menjejaskan sektor pelancongan,” ujar beliau.

Seorang pengguna, Fendi Ahmad, 34, berkata, adat berniaga memang begitu tetapi sesekali janganlah asyik nak fikir pasal untung sahaja. Ada masanya, pihak terbabit perlu keluar belanja untuk memperbaiki perkhidmatan dan produk.

Selain itu, katanya pihak kerajaan perlu memperbaiki kaedah penangkapan ikan oleh nelayan tempatan untuk menambah bekalan ikan tempatan.

“Negara kita luas, laut pun besar. Tak kan tak boleh supply ikan yang cukup kepada penduduk sendiri,” soalnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s