KADA bantu 1,000 petani

Posted: Mac 25, 2010 in 1

 

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my

 

ILLIAS Husain (lima dari kanan) menyampaikan pukat dan benih keli kepada penternak ikan air tawar di Kampung Teratak Pulai, Jelawat, semalam.

 

BACHOK 31 Dis. – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) membelanjakan hampir RM1 juta untuk membantu lebih 1,000 golongan petani di negeri ini mempelbagaikan hasil pengeluaran mereka sepanjang tahun ini.

Antaranya bantuan itu membekalkan benih pokok, haiwan ternakan dan peralatan untuk pertanian dan penternakan seperti projek ternakan ikan air tawar, itik, lembu, kambing baka, tanaman sayur-sayuran dan buah- buahan.

Ahli Lembaga Pengarah KADA, Datuk Dr. Illias Husain berkata, pelaksanaan pelbagai bentuk projek itu berjaya mencapai sasarannya apabila kebanyakan peserta telah melepasi pendapatan miskin tegar dengan pendapatan RM500 sebulan.

‘‘Selepas menyertai projek KADA, sebahagian petani memperoleh pendapatan melepasi garis kemiskinan di samping memanfaatkan tanah terbiar dengan tanaman yang menguntungkan.

‘‘Selain benih dan peralatan, KADA turut menganjurkan seminar dan kursus untuk membimbing dan melatih petani menjadi usahawan yang kreatif meneroka bidang baru untuk mempelbagaikan sumber pengeluaran makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penyampaian Bantuan Input pertanian – Peserta Ternakan Ikan Air Tawar oleh Pusat Kemajuan Peladang KADA di Kampung Teratak Pulai, Jelawat di sini hari ini.

Seramai 33 peserta menerima bantuan benih dan pukat sangkar bernilai hampir RM60,000 untuk menjayakan projek ikan keli dalam tali air di sekitar kampung tersebut.

Projek tersebut, katanya, antara langkah KADA menambah bilangan pengusaha keli di jajahan Bachok dengan terbinanya sebuah kilang memproses hasil laut di Melor dan terbesar di negeri ini yang bernilai RM1.2 juta.

‘‘Kilang tersebut hampir 70 peratus siap dan dijangka beroperasi pada pertengahan tahun hadapan dengan mensasarkan lapan tan sehari keli untuk diproses antaranya menjadi sosej dan bebola ikan bagi pasaran tempatan dan eksport.

“Peserta berkelompok ini akan dibimbing oleh pegawai KADA untuk menjayakan projek untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di kalangan orang perseorangan atau pasar raya terutama dalam bentuk keli segar atau diproses,” ujarnya.

Tambahnya, setiap peserta yang terpilih menerima dua pukat bernilai RM1,600 setiap seorang di samping 2,000 ekor benih keli sebagai projek perintis.

‘‘KADA berharap, bantuan yang disalurkan menjadi motivasi untuk menggerakkan golongan petani lebih kreatif menerokai bidang pertanian baru tanpa menunggu cadangan mana-mana pihak.

‘‘Banyak projek pertanian baru yang mampu diteroka oleh golongan petani yang akan disokong oleh agensi yang terlibat, tetapi syaratnya diusahakan secara berkelompok dengan mengenal pasti jenis pertanian atau penternakan,” katanya.

Sebagai contoh, katanya lagi, sepanjang 130 kilometer tali air di jajahan ini dikenal pasti berpotensi untuk diternak pelbagai jenis ikan air tawar, tetapi hanya 20 kilometer sahaja yang manfaatkan.

‘‘Buat masa ini, hanya terdapat 400 penternak keli yang masih aktif di bawah KADA dan diharap jumlah ini meningkat kerana penjagaan mudah dan modal yang rendah kerana sumber makanan semulajadi di dalam tali air tersebut.

‘‘Penternak hanya perlu mengawasi saiz keli kerana dari segi pasaran, sudah ada kilang yang bersetuju menerima hasil tuaian,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s