Percikan rasa memukau di Portugues Grill

Posted: Mac 25, 2010 in 1

 

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

 


 

LAMBAKAN sajian dari Thai di negara ini seakan pesta yang menghantui cita rasa masyarakat kita. Justeru kepada yang gemar menjamu selera di luar, kadangkala menghirup tom yam saban hari juga boleh mendatangkan rasa jemu.

Bagi penggemar sajian yang berasaskan makanan laut, apa kata mari mencuba sesuatu yang baru iaitu sajian Portuguese Grill yang tidak kurang hebatnya. Sajian berasaskan bakar atau ‘grill’ ini boleh ditemui di Arena Food Court pusat membeli belah AEON Jusco Bandaraya Melaka (berhampiran Melaka Sentral).

Bertemakan ‘pedas, manis dan menyengat’, pelanggan dijanjikan menu yang memukau rasa dan boleh dinikmati oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira kaum. Dengan anggaran masa antara tiga ke tujuh minit, hidangan pilihan akan diletakkan di atas sehelai daun pisang dan dibalut dengan helaian aluminium nipis sebelum dibakar di atas ‘grill’ panas sehingga masak.

Menurut pemilik Arca Tanur Venture, Fakir Mohamad, 26, keistimewaan sajiannya terletak pada rasa sambal Portugis yang digandingkan dalam setiap hidangan pilihan pelanggan.

”Terdapat beberapa jenis kuah atau sambal yang disediakan dan boleh dipilih pelanggan. Paling ‘menyentap’ rasa ialah sambal Portugis sesuai untuk mereka yang gemarkan sajian pedas. Sambal ini digandingkan dengan hampir 90 peratus menu yang ditawarkan di sini.

”Sambal ini mempunyai aroma yang memukau sebaik sajian dibakar dan helaian aluminium dipotong. Bau belacan dan udang kering akan menerjah keluar membuatkan sesiapa sahaja boleh kecur liur,” gurau anak jati Melaka ini.

Fakir yang mempunyai pengalaman lebih lima tahun dalam bidang masakan berkata, beliau mengambil masa yang agak lama untuk memasak sambal tersebut.

”Kekuatan sambal terletak pada rasanya yang pedas dan cili yang cukup masaknya ketika ditumis. Jadi saya terpaksa mengambil masa antara empat hingga ke lima jam bagi memastikan cili yang ditumis benar-benar masak agar aroma yang dihasilkan boleh memukau selera pelanggan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, setelah cukup masak, sambal istimewa ini akan digandingkan dengan pelbagai jenis ikan yang ditawarkan seperti ikan keli, ikan tilapia, bawal, cencaru, kembung, pari serta makanan laut seperti udang, sotong dan lala. Sementara itu, pelanggan juga boleh memilih sayuran yang ditawarkan seperti bendi, kacang panjang, kangkung atau petai.

Selain set sambal Portugis, Fakir memberitahu, pelanggan juga boleh memilih set kuah asam dengan pilihan ikan dan sayur yang sama.

”Set kuah asam tidak pedas dan sesuai untuk kanak-kanak atau mereka yang tidak boleh makan pedas. Manakala yang gemarkan sajian berasaskan lada hitam, kami turut menyediakan sajian istimewa daging atau ayam lada hitam yang enak,” ujarnya.

Kepada penggemar ikan tilapia, selain sambal Portugis, katanya, sambal Sos Tanur turut dijadikan pelengkap hidangan terutama untuk pelanggan yang gemarkan rasa pedas-pedas manis.

Setiap set yang dilengkapi sepinggan nasi putih dijual pada harga yang cukup berpatutan berbanding harga di luar iaitu RM5 ke atas.

Menyentuh tentang pasaran dan pelanggan, Fakir menjelaskan, sejak ia dibuka , 90 peratus pelanggan yang datang ke outletnya terdiri daripada kaum Cina yang semenangnya menggemari sajian berasaskan bakar.

”Mungkin ramai yang masih tidak tahu tentang keenakan sajian ini apatah lagi ia sajian golongan minoriti di Melaka. Jadi bagi memenuhi selera semua golongan, saya sengaja mencipta beberapa menu lain untuk disesuaikan dengan cita rasa masyarakat 1Malaysia.

Anak muda gigih ini juga berhasrat akan menambah beberapa menu baru berasaskan sajian ringan yang turut dibakar dengan kaedah yang sama.

”Pada masa akan datang, saya bercadang untuk menjual sajian berasaskan mi yang dibakar di dalam kepingan aluminium untuk menghasilkan suatu kelainan.

”Apa yang pasti, sajian ini boleh dijadikan sajian bajet atau sajian berjimat cermat kerana dengan sepinggan hidangan, anda boleh menikmatinya secara berdua atau bertiga, baik bersama kekasih atau ahli keluarga kerana saya melihat ramai pelanggan berbuat demikian. Sajian berbaloi ini memerlukan anda memesan nasi tambah sahaja,” katanya sambil bergurau.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s