Mengutip rezeki hasil sungai musim banjir

Posted: Mac 26, 2010 in 1

Seorang penduduk mengambil kesempatan menjala ikan di sebatang sungai yang dilimpahi banjir di Rantau Panjang baru-baru ini.

 

RANTAU PANJANG 12 Nov. – Hujan mencurah dan Sungai Golok yang melimpah membanjiri banyak kawasan di sini menyebabkan ramai yang hilang mata pencarian terutama penoreh getah.

Bagi golongan seperti mereka yang terjejas dengan perubahan musim, rezeki harus terus dicari dan sebilangan daripada mereka berusaha menangkap ikan dengan memukat, menjala dan memancing.

Apatah lagi ikan darat pada musim sebegini melonjak harganya kerana permintaan yang tinggi.

Tinjauan Utusan Malaysia di sepanjang Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas di sini mendapati banyak penduduk kampung dari pelbagai peringkat umur tidak melepaskan peluang mengambil kesempatan daripada banjir.

Seorang penoreh getah, Mat Jidin Teh, 46, berkata, aktiviti tersebut telah dilakukan sejak 10 tahun lalu setiap kali banjir berlaku.

“Tidak boleh buat kerja lain kalau banjir oleh itu saya akan bawa jala dan pancing untuk mencari ikan di sini dan menyara keluarga saya.

“Kalau rajin dan sabar, banyak ikan boleh dapat seperti baung, ikan sepat, kaloi, ikan keli dan pelbagai jenis lagi,” katanya ketika ditemui di sini baru- baru ini.

Sungai Golok sememangnya masih kaya dengan kepelbagaian jenis ikan, justeru setiap kali musim tengkujuh, ia dapat ditangkap dengan mudah dan rezeki bukan saja cukup untuk keperluan keluarga tetapi juga untuk dijual.

Seorang lagi penoreh getah, Rozaidah Sulaiman, 45 berkata, kebun getah keluarganya yang turut ditenggelami air menyebabkan dia beralih kepada aktiviti menjala ikan untuk mendapatkan wang.

“Saya tidak boleh menoreh getah waktu ini, daripada membuang masa lebih baik menjala ikan sebab boleh dijual.

“Kalau tiada orang beli pun tidak mengapa sebab saya boleh masak untuk keperluan kami di rumah,” katanya.

Selain penduduk kampung, beberapa pemuda dari daerah lain turut mengambil kesempatan datang ke sini untuk memancing.

Azman Md. Noor, 25, dari Tumpat berkata, setiap kali musim banjir dia tidak akan melepaskan peluang memancing ikan di sini kerana ia adalah hobinya.

“Memang seronok macam ni sebab tidak perlu pergi ke sungai hanya duduk di tepi jalan sambil memancing dah boleh dapat banyak ikan,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s