Pesta ikan air tawar jadi tarikan

Posted: September 18, 2010 in Pelbagai

Ikan yang ditangkap dalam pesta menangkap ikan di kolam ikan Kampung Paya Lanar dekat Lanchang dijual dengan harga yang murah kepada orang ramai.

TEMERLOH 11 Ogos – Setiap kali kehadiran Ramadan, Kampung Paya Lanar, Lanchang dekat sini pasti menjadi tarikan penduduk kampung itu dan sekitarnya.

Semuanya kerana wujudnya sebuah kolam seluas 25 hektar di kampung itu yang kaya dengan ikan air tawar.

Bagaikan satu pesta, penduduk yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia dan jantina berkampung di kolam itu sejak awal pagi untuk sama-sama menangkap ikan.

Ia seolah-olah menjadi acara tahunan dan tradisi penduduk yang dimulakan sejak 1982 lagi selepas bekas tapak sawah itu bertukar wajah menjadi sebuah kolam ternakan ikan tawar di kampung berkenaan.

Di dalam kolam itu terdapat 240,000 ikan daripada pelbagai spesies termasuk kap rumput, kap kepala besar, lampam jawa, jelawat, patin, baung dan keli.

Menurut Pengerusi projek ternakan ikan air tawar berkenaan, Abdul Shukur Yaakub, seramai 32 penternak terlibat dalam projek menternak ikan air tawar di kampung tersebut.

Kata beliau, penternak terbabit mengusahakan kolam ikan itu dengan kerjasama Jabatan Perikanan Temerloh sejak 1982 bagi memperoleh pendapatan tambahan bagi menampung perbelanjaan harian keluarga.

“Acara menangkap ikan ini diadakan sebelum tiba bulan puasa dan penduduk di sini pasti ternanti-nanti bila kolam ini akan dibuka untuk acara itu,” katanya kepada Utusan Malaysiaketika acara menangkap ikan itu di kampung berkenaan, baru-baru ini.

Menurut Abdul Shukur, acara menangkap ikan air tawar itu bermula apabila air kolam mulai surut.

“Sebaik sahaja kolam dibuka untuk orang ramai, suara riuh rendah dan sorakan mula memecahkan suasana,” ujarnya.

Katanya, pelbagai kaedah digunakan untuk menangkap ikan termasuk menggunakan jala, jaring dan sauk oleh penduduk yang terlibat dalam ‘pesta’ berkenaan.

Abdul Shukur berkata, acara yang dilakukan sejak 28 tahun itu kini menjadi semakin popular apabila orang luar daripada daerah lain turut hadir untuk membeli ikan air tawar itu kerana harganya lebih murah.

Katanya, antara ikan yang popular dan menjadi pilihan orang ramai adalah jelawat, baung dan kap berikutan isinya yang manis dan sedap dimasak gulai tempoyak.

“Orang ramai berebut-rebut untuk membeli ikan yang ditangkap dalam pesta itu dan apabila dibawa naik ke darat, pasti ia cepat habis.

“Ini kerana ikan itu dijual pada harga yang murah berbanding di pasaran yang sebenarnya berharga puluhan ringgit bagi setiap sekilogram,” jelasnya.

Selain bertujuan menambah pendapatan, katanya, pesta itu secara tidak langsung dapat merapatkan persaudaraan antara penduduk dan orang luar.

Abdul Shukur berharap kolam ikan tersebut akan menjadi salah satu daya tarikan pelancong dalam dan luar negara berikutan lokasi kampung itu yang strategik.

“Kampung Paya Lanar terletak di laluan utama menuju ke Kuala Gandah yang popular sebagai pusat pemeliharaan dan pemuliharaan gajah,” jelasnya.

Sebelum menjadi kolam ternakan ikan air tawar, Abdul Shukur memberitahu, kawasan itu adalah bekas sawah padi namun, ia tidak lagi diusahakan oleh penduduk kerana hasilnya yang kurang memuaskan selain menghadapi masalah pengairan serta ancaman banjir.

Kawasan itu tambahnya, lebih sesuai dijadikan kolam ternakan ikan air tawar kerana mudah mendapat bekalan air dan berdekatan dengan Sungai Semantan.

Menurut Abdul Shukur, kolam ikan air tawar itu juga dibuka untuk kaki pancing pada setiap petang dengan harga tiket antara RM3 hingga RM15.

“Sebelum kolam ini dibuka untuk acara menangkap ikan, ia juga meriah dengan aktiviti memancing ikan.

“Kaki pancing datang ke kolam ini dari seluruh pelosok daerah Temerloh dan daerah berdekatan kerana ikannya yang banyak.

“Kolam ini memang telah dikenali di kalangan kaki pancing di negeri ini kerana kolamnya yang luas dan dipenuhi dengan ikan yang banyak daripada pelbagai jenis ikan yang bermutu tinggi,” katanya.

Sementara itu, setiausaha projek ternakan ikan kolam berkenaan, Syed Abdul Kadir Syed Mahmud memberitahu, sebanyak 10,000 ekor ikan keli diternak dalam 20 sangkar di kolam berkenaan.

Beliau menjelaskan, pihaknya memelihara banyak ikan keli berikutan permintaan yang tinggi di pasaran.

Menurutnya, ikan keli tidak dilepaskan terus ke dalam kolam secara bebas sebaliknya diternak dalam sangkar bagi memudahkan proses menangkap dan menjual spesies tersebut.

Ikan keli tambahnya, kini menjadi pilihan dan antara menu utama bagi setiap restoran atau kedai makan sama ada di daerah Temerloh atau kawasan sekitarnya.

Syed Abdul Kadir berkata, pihaknya merancang untuk meningkatkan jumlah ikan keli yang diternak pada masa akan datang kerana masakan berasaskan ikan tersebut sangat popular dan digemari oleh orang ramai.

“Adalah tidak mustahil penternak di sini mampu menjadi pembekal utama ikan keli ke seluruh negara pada suatu masa nanti,” katanya.

Beliau juga berharap ‘pesta’ menangkap ikan di kolam berkenaan dapat diteruskan dan dijadikan sebahagian daripada usaha menarik pelancong luar.

“Kita mungkin boleh menjemput pelancong asing menyertai pesta ini supaya menjadi satu daya tarikan pelancongan baru bagi daerah ini,” katanya.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s