Posted: Disember 9, 2010 in Pelbagai

Keindahan panorama hutan tropika

 

Oleh RANIA PARAN
utusansarawak@utusan.com.my

 

PENGUNJUNG merasai pengalaman menaiki bot sepanjang percutian di Borneo Tropical Rainforest Resort, Miri. – utusan/RANIA PARAN


 

MIRI 26 Nov. – Terletak kira-kira 50 minit perjalanan dari bandar raya Miri, Borneo Tropical Rainforest Resort pastinya menjanjikan suatu kelainan kepada pengunjung.

Tanpa perlu meredah hutan belantara, pengunjung berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi selain melakukan pelbagai aktiviti lasak hanya di satu tempat.

Pengasas Borneo Tropical Rainforest Resort, Henry Law Ing Hua berkata, resort yang dibuka pada 1 Jun 2006 menawarkan pakej percutian menarik kepada pengunjung yang ingin menikmati suasana tenang dan damai berdasarkan alam semula jadi.

Berkeluasan 312 hektar, Borneo Tropical Rainforest Resort serba lengkap dengan kemudahan serta kawasan perkelahan dan rekreasi yang menarik pastinya meninggalkan pengalaman indah kepada pengunjungnya.

“Di pusat peranginan ini, kita menawarkan pelbagai kemudahan infrastruktur dan kawasan rekreasi untuk seisi keluarga. Pastinya pengunjung yang bertandang ke sini akan meninggalkan seribu satu kenangan manis dan mereka pasti akan puas hati dan kembali ke sini,” kata Ing Hua.

Antara kemudahan yang disediakan ialah bilik penginapan, calet, kawasan perkhemahan, bilik seminar, kafe atas pokok dan spa.

“Bagi pengunjung yang inginkan suasana tenang dan untuk menghilangkan tekanan daripada kesibukan kota, Borneo Tropical Rainforest Resort adalah tempat pilihan terbaik untuk mereka,” kata Ing Hua.

Selain itu, pengunjung yang inginkan aktiviti lasak boleh melakukan trekking, menaiki bot dan berakit, tambah beliau.

Menurutnya, pemilihan lokasi adalah sangat strategik berdasarkan keadaan alam tropika serta jauh daripada kesibukan bandar.

“Kawasan ini menempatkan pelbagai hidupan flora dan fauna semula jadi. Kami juga banyak menawarkan pelbagai kemudahan dan pakej-pakej tertentu kepada pelancong untuk menikmati alam semula jadi secara lebih dekat,” jelasnya.

Penulis yang berkesempatan mengunjungi kawasan peranginan itu baru-baru ini turut terpegun dengan keindahan panorama hutan tropika yang masih belum terusik selain hidupan liar lain.

Untuk menikmati keindahan dan kesejukan air terjun yang asli, berkunjunglah ke Borneo Waterfall. Di sinilah tempatnya anda boleh membawa keluarga untuk berkhemah, mandi-manda dan beriadah.

Terletak kira-kira 800 meter dari resort, pengunjung boleh berjalan kaki meredah hutan dara untuk berkunjung ke kawasan air terjun.

Bagi pengunjung yang inginkan ketenangan dan menghirup udara segar, mereka boleh melakukan aktiviti berjalan kaki meredahi hutan hijau Borneo sambil merasai suasana tenang di samping dapat mendengar kicauan burung dan udara hutan yang asli lagi segar.

“Untuk pengunjung yang lebih menggemari aktiviti lasak, Borneo Rainforest juga memberikan kesempatan kepada mereka untuk mendekati alam semula jadi dengan kepelbagaian hidupan flora dan fauna,” kata Ing Hua.

Katanya, pengunjung boleh menyaksikan hidupan liar seperti pelbagai spesies burung, monyet, di samping hidupan flora dan fauna lain yang hanya boleh didapati di Borneo Rainforest.

Kunjungan pelancong ke sini pastinya meninggalkan seribu kenangan manis kerana mereka bukan sahaja dapat mengalami suasana aman semasa bercuti tetapi juga dapat memperolehi ilmu berkaitan sektor penternakan.

Ini kerana Borneo Rainforest turut mempunyai ladang ternakan haiwan seperti ayam, itik, arnab, kambing biri-biri dan pelbagai spesies burung.

“Borneo Rainforest juga menyediakan kebun buah-buahan seluas 40 hektar bagi pengunjung yang ingin merasai keenakan buah-buahan tempatan seperti durian, pisang, longan, cempedak, dabai, buah naga dan tembikai,” ujar Ing Hua.

Bagi kaki pancing pula, terdapat kolam yang menempatkan pelbagai spesies ikan air tawar antaranya ikan sultan, patin, tilapia, lampam jawa, sayan, toman dan keli.

Pakej pancing yang dikenakan kepada pengunjung sangat berpatutan iaitu antara RM20 untuk empat jam. Selain itu, peralatan pancing turut disewakan kepada pengunjung yang ingin merasai pengalaman memancing ikan air tawar.

Bagi pengunjung yang tidak puas melihat panorama hutan tropika dengan berjalan kaki, Borneo Rainforest juga turut menyediakan bot kepada pelancong untuk menyusuri sungai.

Jemu memasak di rumah, anda boleh memanggang makanan seperti ikan, ayam dan daging dengan peralatan yang telah disediakan. Antara kawasan yang menawarkan tempat memanggang ialah Sarawak Pavilion, Borneo Pavilion dan Dewan Empurau I dan II.

Paling menarik, Borneo Rainforest turut menyediakan pusat sukan untuk pengunjungnya melakukan aktiviti sukan semasa bercuti di situ. Antaranya pengunjung boleh menjalankan aktiviti sukan seperti bermain badminton atau bola keranjang di gelanggang yang disediakan.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s