Limpahan rezeki musim tengkujuh

Posted: Januari 14, 2011 in Pelbagai
Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
utusankelantan@utusan.com.my
 

PELBAGAI jenis ikan darat dijual di pasar Pasir Puteh, Kelantan.

 


PASIR PUTEH 12 Jan. – Ikan air tawar atau dikenali ‘ikan darat’ seperti keli, puyu, haruan, sepat dan sebagainya suatu ketika dahulu hanya popular di kalangan penduduk kampung terutama yang tinggal jauh di pedalaman.

Namun, keadaan itu telah berubah. Ia kini menjadi menu alternatif bagi kebanyakan masyarakat di negeri ini terutama pada musim tengkujuh ketika bekalan ikan laut berkurangan.

Kedatangan musim tengkujuh turut membawa limpahan rezeki kepada sesetengah penduduk berikutan kemunculan ikan darat ini yang dibawa oleh air bah.

Bagi yang gemar mencarinya, sudah pasti ikan tersebut boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan yang lumayan memandangkan ia begitu mudah untuk dijual sama ada di pasar-pasar atau tepi-tepi jalan sepanjang musim tengkujuh ini.

Ada juga penduduk kampung yang menjadikan aktiviti berniaga ikan darat sebagai pekerjaan sambilan bagi menampung hidup keluarga.

Antara yang terlibat dalam aktiviti perniagaan ikan darat ialah Minah Abdul Rashid, 61.

Wanita itu telah menjalankan perniagaan ikan darat sejak belasan tahun lalu di Pasar Besar Pasir Puteh di sini untuk menambah pendapatan keluarga.

Minah mengakui waktu paling menyeronokkan sepanjang menjalankan aktiviti tersebut ialah pada musim banjir kerana permintaan terhadap ikan darat akan meningkat berbanding musim biasa.

“Kalau hendak banding dengan musim lain, memang pada musim banjir ramai yang cari ikan darat. Bolehlah untung sikit-sikit. Tidaklah besar sangat sebab saya pun ambil ikan itu daripada orang lain.

“Jadi saya dapat (untung) sikit, dia pun (pembekal) dapat sikit. Bolehlah tampung belanja hidup, belanja anak-anak sekolah,” akuinya yang menampung pengajian dua anaknya di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan dengan hasil jualan ikan darat.

Pelbagai jenis ikan darat ditawarkan oleh Minah mengikut keperluan pelanggan di samping ikan-ikan laut dan belut yang dijual pada harga berpatutan.

Menurutnya lagi, orang ramai lebih berminat mencari ikan darat yang dijual di tepi-tepi jalan atau pasar-pasar kerana beranggapan ikan tersebut lebih segar.

“Ikan-ikan yang dijual ini semuanya yang baru ditangkap, bukan yang dipelihara,” jelasnya.

Rakannya, Mek Jusoh, 55, berkata, setiap kali musim tengkujuh boleh dikatakan hampir semua jenis ikan darat mendapat permintaan daripada penggemarnya termasuk dari luar daerah ini.

Katanya, dia turut mencari ikan tersebut tetapi disebabkan permintaan yang tinggi ada ketikanya terpaksa membeli bekalan daripada beberapa pembekal.

“Ada yang dicari sendiri, tapi sebagai tambahan saya terpaksa beli daripada orang kampung,” katanya yang sudah 17 tahun menjalankan perniagaan tersebut.

Mek turut mengakui bahawa ikan darat memang menjadi sumber pendapatan sampingan kepada penduduk kampung setiap kali musim banjir melanda negeri ini termasuk di daerah Pasir Puteh.

Untuk memudahkan pelanggan, kebanyakan ikan darat yang dijual oleh Minah dan Mek sudah disiang dan dilumur garam kunyit.

“Kadang-kadang orang yang datang membeli itu tidak pandai hendak siang sebab ikan-ikan itu masih hidup. Tetapi ada juga pelanggan hendak ikan hidup. Terpulang kepada kehendak masing-masing,” kata Mek lagi.

Ikan darat merupakan sejenis ikan yang hidup di kawasan ditakungi air seperti sawah, tali air, paya dan alur yang boleh didapati dengan cara mengail, menggunakan pukat, bubu dan sebagainya.

Spesies tersebut sememangnya menjadi kebanggaan penduduk kampung sekitar 1960-an hingga 70-an, tetapi dijangka mengalami kepupusan disebabkan pembangunan sekali gus menjejaskan sumber pendapatan sampingan penduduk kampung.

Sungguhpun ikan darat sebelum ini seolah-olah tidak dipedulikan, tetapi khasiatnya kepada umum tidak dapat dinafikan.

Sebagai contoh, ikan keli berjaya dikomersialkan ke seluruh negara manakala ikan haruan dikatakan mampu merawat luka-luka dalaman dan sering menjadi rebutan ibu-ibu baru bersalin dan mereka yang baru menjalani pembedahan.

Sementara itu Munah Teh, 66, turut tidak melepaskan peluang mencari rezeki dengan menjual ikan darat setiap kali musim banjir.

Biarpun tidak turun sendiri ke bendang, paya atau alur, dia berkongsi punca pendapatan itu bersama anak dan menantunya.

“Anak-anak dan menantu jadi tukang cari (ikan), dia tahan pukat di kawasan-kawasan sawah yang dinaiki air. Saya pula tolong hantarkan kepada penjual,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s