Pesta Sukan Bendang imbau nostalgia

Posted: Mei 13, 2011 in Suntingan Berita

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

Para peserta yang mengambil bahagian dalam acara serkap ikan dalam bendang kelihatan berusaha untuk medapat hasil tangkapan terbanyak pada Pesta Sukan Bendang di Kampung Senara, Pendang, baru-baru ini. – utusan/Kamal Basir

PENDANG 27 April – Bersesuaian dengan statusnya sebagai jelapang padi negara, muka bumi Kedah diliputi kawasan bendang yang luas.

Keadaan ini berlaku kerana terdapat kawasan berpaya yang datar dan mempunyai satu musim lembap yang ketara selain adanya musim panas berpanjangan.

Justeru, bukan satu perkara yang menghairankan apabila melihat kewujudan sawah-sawah padi yang terbentang luas di seluruh negeri ini termasuk di sekitar daerah Kota Setar yang pesat membangun.

Bagaimanapun, mungkin ramai generasi muda pada masa ini hanya melintasi kawasan bendang tanpa merasai kemeriahan aktiviti selepas musim menuai pada masa dahulu.

Bagi mengembalikan nostalgia rakyat tentang aktiviti bersawah yang sudah menjadi sumber rezeki penduduk negeri ini sejak berzaman, Pesta Sukan Bendang diadakan di Kampung Senara di sini baru-baru ini.

Penganjuran pesta sehari itu hasil inisiatif dan kerjasama pergerakan belia dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dari Kampung Senara, Keda Lahar Tunjung, Bukit Lalang serta Bukit Chegal.

Lebih 500 pengunjung tanpa mengira usia dari kampung-kampung berdekatan hadir bagi menyaksikan dan menyelami aktiviti kehidupan masyarakat pesawah yang diketengahkan dalam pesta berkenaan.

Ia turut mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang, Suraya Yaacob yang tanpa segan silu turun ke bendang bagi sama-sama memeriahkan acara berkenaan.

Sebanyak 12 acara disertai pengunjung antaranya bola baling, tarik tali dan menangkap ikan menggunakan serkap buluh.

Meskipun terpaksa bergelumang dengan selut di bawah pancaran terik sinaran matahari, para peserta kelihatan gembira dapat bertanding dalam suasana berbeza.

Para pengunjung yang membanjiri jalan tar di kawasan sawah tempat pesta itu berlangsung pula kelihatan berseronok memberikan sokongan.

Menurut Suraya, penganjuran acara seumpama itu mampu memberi pendedahan berguna kepada orang ramai khususnya generasi muda melihat dan merasai pengalaman yang tidak dapat diperoleh di tempat lain.

Lebih penting, kata beliau, acara tersebut secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim sesama peserta dan pengunjung.

Menurut beliau, berdasarkan sambutan hangat orang ramai terhadap acara yang mengetengahkan aktiviti masyarakat pesawah yang semakin dilupakan itu, pihaknya bercadang menjadikannya sebagai program tahunan.

“Ia wajar dianjurkan pada setiap tahun kerana pesta sukan bendang mempunyai nilai warisan rakyat yang perlu diketengahkan kepada generasi pada masa ini.

“Kita mahu masyarakat mengetahui lebih banyak mengenai sawah yang mungkin pada pandangan ramai sebagai kawasan untuk menanam padi semata-mata. Program seumpama ini juga merupakan satu aktiviti yang sihat dengan penglibatan masyarakat di semua peringkat usia,” katanya.

Sementara itu, pengerusi acara berkenaan, Mohd. Hamdi Che Me, 31, berkata, sebanyak lima kampung terlibat iaitu Kampung Senara, Lahar Tunjung, Keda Lahar Tunjung, Bukit Chegal dan Bukit Lalang.

Menurutnya, antara acara yang paling menarik perhatian dan penyertaan seramai 70 orang adalah menangkap ikan menggunakan serkap buluh.

“Kami melepaskan sebanyak 200 ekor ikan keli ke dalam bendang bagi memastikan para peserta dapat membuat tangkapan sebanyak mungkin. Pemenang dikira menerusi tangkapan yang paling banyak.

“Dalam pertandingan ini, bukan kemenangan atau hadiah yang menjadi buruan tetapi ia lebih kepada memberikan keseronokan kepada masyarakat untuk merasai pengalaman berkenaan,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s