Ikan air tawar sebagai ‘penyelamat’

Posted: Oktober 17, 2011 in Suntingan Berita

 

Oleh HISYAMUDDIN AYUB
utusansabah@utusan.com.my

 

ANTARA ikan keli yang menjadi induk dalam pembenihan ikan keli. – utusan/Ghazali asri

 

KOTA KINABALU 6 Okt. – Pada mulanya, Abdul Samat Hussin, 53, hanya menternak ikan air tawar untuk suka-suka, tetapi lama-kelamaan hobi tersebut bertukar menjadi ‘penyelamat’ kepada perniagaannya.

Ternakan ikan air tawar itu bukan sahaja menjadi penyumbang kepada pendapatannya, tetapi ia juga menjadi penyelamat kepada restoran miliknya, Restoran Seri Rahmat yang terletak di Segama di sini.

Bekalan ikan dari 20 kolam miliknya itu kini menjadi hidangan utama kepada para pelanggan setia restorannya yang menggemari ikan air tawar bercita rasa masakan Semenanjung.

Abdul Samat berkata, dengan harga ikan air tawar yang sedikit tinggi di Sabah dan kesukaran mendapat bekalan, hobi tersebut akhirnya kini menjadi penyelamat kepada perniagaan restorannya itu.

Katanya, dia mula menternak ikan air tawar di Kampung Labak, Kinarut dekat sini sejak lima tahun lalu dan ia bermula dengan sebuah kolam seluas 20 x 30 meter.

Menurutnya, selepas melihat perkembangan positif dari kolam tersebut, dia mula menambah bilangan kolam dan kali ini membinanya menggunakan simen.

Jelasnya, hasil kolam yang menternak ikan talapia, keli dan baung itu dijadikan sebagai hidangan utama di restorannya, selain turut membela kelah dan arowana sebagai ikan peliharaan.

Menurutnya, permintaan ikan air tawar di Sabah semakin meningkat dan orang tempatan juga mula menggemari ikan tersebut.

“Kebanyakan orang Sabah pada mulanya tidak berapa menggemari ikan air tawar, tapi sekarang keadaannya sudah berubah apabila mereka amat menggemarinya terutama ikan keli,” katanya yang mempunyai cara tersendiri untuk menghilangkan bau ikan itu.

Abdul Samat berkata, Restoran Seri Rahmat menyediakan hidangan ikan keli masak asam pedas, masak cili padi dan bakar dengan air asam.

“Bagi mengurangkan kos, saya sendiri melakukan pembenihan ke atas ikan keli peliharaan.

“Kaedah ini ternyata berjaya mengurangkan kos pembelian anak keli dan mempercepatkan kelahiran anak ikan, selain mampu memastikan bekalan sentiasa ada untuk pelanggan,” katanya.

Jelasnya, ikan tilapia paling mudah dibela dan membiak dengan cepat.

“Saya bersyukur kerana hobi ini memberi pulangan yang sangat baik dan membantu restoran saya untuk terus menjadi tumpuan orang ramai yang menginginkan hidangan cita rasa Semenanjung,” katanya yang turut membela kambing sebagai hobi sampingan lain.

Menceritakan pengalamannya mencari rezeki di Sabah, Abdul Samat yang berasal dari Sungai Besar, Selangor berkata, dia berhijrah ke Sabah pada 1987 dan pernah membuka kedai buku serta perniagaan kecil-kecilan lain sebelum berjaya membuka restoran berdekatan dengan Hotel Hyatt Regency.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s