Mem Bercoker Emas

Posted: Oktober 17, 2011 in Suntingan Berita

MUZIK orkestra alam beralun lembut, mendayu-dayu. Biasan sinar suria melimpahi ruang tamu rumah agam berkayu cengal. Bandar kota Batu Sawar riuh. Hidup anak Johor mengalir, sealir arus Sungai Johor yang mengarus nafas kota yang tujuh batu luasnya ini.

Sambil membelai rambut hitam berkilat, dia menebar pandang ke sekitar. Melalui jendela setinggi orang berdiri, mata bundarnya menatap wajah kota yang dilatar sungai lebar. Deretan rumah terjunjung tinggi di tiang nibung yang berjajar di gigi air Sungai Johor.

Isteri Datuk Bendahara itu menyapu bedak ke wajah bujur sirihnya. Ini petang istimewa. Selama raja Melayu bernegeri di Johor, inilah kali pertama majlis begini diadakan.

“Untuk mengeratkan hubungan antara mem dengan isteri Datuk-Datuk.” Masih dia ingat kala Laksamana Hollanda bernama Admiral Matelief mengutarakan cadangan agar menjelang kurun ke-17, perempuan Johor mesti diperluaskan pemikirannya. Datuk-Datuk setuju walaupun ketika ini negeri parah sesudah diserang Portugis. Makanan masih dicatu.

Sesudah Orang Kaya-Kaya Johor menjemput Mem, jawapan manis pun diterima. “Mem-Mem setuju…dengan syarat kami boleh bawa meja dan makanan sendiri.”

“Tamu bawa meja sendiri? Makanan sendiri? Tidak pernah dibuat orang.” Isteri Datuk Bendahara yang mula-mula dapat khabar merungut. Bukan sahaja mem Hollanda dijemput, bahkan isteri orang kenamaan Inggeris, Amerika, Jerman dan Perancis diundang.

Hari yang dinantikan pun tiba. Lagu beralun lembut memenuhi ruang rumah agam berdindingkan kayu cengal berukir tebuk bunga pecah delapan. Isteri Datuk Bendahara menatap wajah mem bercoker emas yang berseri-seri macam bulan mengambang penuh. Leka dia memandang-mandang rantai yang ngam-ngam muat melingkar batang leher mem macam lengkang rantai anjing. Rantai emas dan permata berkilau-kilau di leher mem-mem lain. Mem bercoker emas melentikkan jari -tanda mengajak isteri Datuk-Datuk merapat.

“Mari dengar satu nyanyi.” Mem bercoker emas berujar nyaring.

“Ladies…mari…!” Mem bercoker emas tergedik-gedik menggamit dengan jari-jemari ke arah pemain muzik dan mem-mem lain. Mem lain datang menghampirinya. Mulut mem bercoker emas muncung macam mulut ikan keli -sedia untuk menyanyi.

“Ada perempuan orang kaya, Busana indah bersumbi emas, punya meja dari emas, alatan di meja semua emas.”

Suara Mem langsing. Muzik rancak. Mulutnya sekejap terbuka, sekejap tertutup saat berlagu. Ada kala ternganga luas menampakkan lidah yang memukul lelangit.

“Oh my, my! Perempuan bersumbi emas? Punya meja emas? Pinggan mangkuk emas? Siapa tu, Mem?” Mata Mem bergaun merah terbeliak. Mem bergaun hijau yang ditanya mengangkat tangannya ke paras dada. Keningnya tejungkit-jungkit.

“Kitalah, siapa lagi?” Mem bercoker emas berpusing-pusing menggayakan tubuhnya. Rambutnya ikal melepasi bahu. Mata Mem bersinar-sinar melirik kumpulan perempuan berbaju kurung dan berkain sarung yang diikat ‘ombak mengalun’.

Isteri Datuk Bendahara tertawa mengekek melihat mulut Mem yang macam muncung paruh itik serati yang menyudu lopak danur. Lucu sekali dengan gaya keterlaluan begitu. Mem bersuara, “Kami Penguasa Lautan bahkan ratu kamilah penguasa daratan.”

Isteri Datuk tahu bangsa Mem perkasa meredah samudera sambil melaung: Gold, Gospel and Glory! Gold itu emas; gospel itu agama; glory itu kemenangan namun ada hasrat lebih dalam daripada Laut Pasifik. Mereka takkan teragak- agak membedil negeri orang dengan alasan untuk menyelamatkan rakyat jelata sedangkan rakyatlah yang dibedilnya.

“Harum baru dari pinggan, ayam panggang yang lazat….”

Kaki Mem bercoker emas tergedik-gedik kala bernyanyi. Tangan kanannya diangkat. Jari ibu menggesel jari hantu. Berdetak-detuk bunyinya mengikut rentak muzik. Mem lain meniru lakunya lalu tergedik-gediklah menggoyang-goyangkan bahu dan punggung. Gaun kembang payung turut bergoyang macam obor-obor terampai di muka laut. Telunjuk Mem menunjuk kumpulan perempuan berbaju kurung. “Marilah menari.”

Mem bercoker emas mengilai. Mem lain tertawa terkekeh-kekeh hingga bulu kasawari dan bulu merak pada topi mereka bergoyang-goyang. Muzik semakin panas. Mata piano membertihkan bunyi merdu yang berangkai-rangkai. Indah membuai-buai.

Tiba-tiba isteri Syahbandar memberi isyarat dengan tangan. “Saya nak menyanyi.”

Kemudian dia berbisik kepada seorang perempuan lain lantas perempuan yang dibisikkannya tadi melangkah ke arah pemain muzik. Irama Barat bertukar lembut lagi segar mengalunkan irama Timur yang mersik.

Nyanyi isteri Syahbandar diiringi marwas dan seruling. Gayanya gemalai.

“Di sebelah sana meja emas, ada sebuah meja kayu, pemiliknya orang Melayu, pinggannya dari batu.”

“Tahu apa ada atas meja kayu tu?” Isteri Syahbandar melontar tanyaan sebelum melagu bait nyanyi seterusnya. Mem bercoker emas terdiam. Dahinya berkerut. Lehernya diteleng ke kanan, ke arah Mem bergaun hijau zamrud. “Ubi kayu? Apa tu?”

“Tapoica. Tapoica rebus.” Mem bergaun hijau menjawab.

“Itu saja?” Senyum mem bercoker emas meleret-leret. Bunyi seruling merayu-rayu. Dengan tidak semena-mena datang budak-budak tidak berbaju, berkaki ayam dan cuma bercawat berkeliling meja kayu. Ubi dijamah seorang sedikit hingga menjilat-jilat jari.

“Alahai kesiannya.” Mem menjuihkan bibir. Memandang gigi mem yang rongak sebatang, isteri Datuk Laksamana teringatkan gigi kambingnya yang patah sesudah berlaga.

“Meja itu siapa punya?” Mem menuding meja kayu. Hati isteri datuk tidak sedap. Mereka tahu bangsa Mem rakus meranggah harta orang. Hollanda mahu menjadi pedagang paling berkuasa di alam Melayu. Holland negeri kecil dan miskin. Hollanda mencari bahan mentah dari luar lalu menjadikannya barangan siap sebelum dijual ke Sepanyol, Portugal, Jerman, Scotland, Denmark dan Norway untuk ditukarkan dengan gandum dan bijirin.

“Kami, orang-orang Melayu punya, Mem.” Isteri Datuk Laksamana menyahut.

“Apa kelas? Hei… perempuan ni sama tak cantik dengan meja kepunyaannya!”

“Yes, madam. Sama tak cantik.” Mem bergaun hijau menyampuk. Hati isteri Datuk Bendahara mendidih-didih. Siapa kata isteri Syahbandar tidak cantik? Kulitnya bersih mulus. Hidungnya molek terletak. Isteri Datuk Laksamana tangkas, menerpa ke hadapan tetapi sepantas kilat dihalang isteri Syahbandar. “Kurang ajar!”

Budak-budak tertinjit-tinjit menghidu aroma ayam panggang lada hitam yang mengasak hidung. Di Eropah, lada hitam Johor senilai emas. Ternampak sahaja meja emas, budak-budak deras menyerbu. Dua, tiga lelaki berbaju bertampal-tampal juga masuk.

“Jangan datang dekat. Kotorlah!” Wajah pemilik meja emas merah.

Dengan wajah umpama mega mendung, budak-budak dan orang miskin kembali ke meja kayu. Mem tersengih dengan bibir menyenget.

Tidak semena-mena dia menerpa, membongkok lalu menarik meja kayu. “Saya mahu meja ini!” Jeritannya mengejutkan.

“Mana boleh? Meja ini kami punya!” Isteri Datuk-Datuk segera menyambar meja kayu. Mem lain menerpa lalu dua pihak tarik-menarik. Akhirnya mem mengalah sesudah dikejar isteri Datuk-Datuk.

“Pelik sungguh pemilik meja emas di sana. Meminta-minta meja kayu.” Isteri Datuk Bendahara berujar dengan suara beralun seakan-akan bernyanyi memandang mem.

“Pada kami yang miskin, Mem menaruh iri. Mem kata mem bangsa jauhari, isteri a great gentleman. Kenapa masih mahu meja kayu sedangkan Mem ada meja emas, pinggan emas, sudu emas?” Isteri Datuk Laksamana petah mengatur bicara. Mem mencebik bibir.

Isteri Datuk Bendahara tidak peduli. Kepada Mem dia menempelak bahawa pemilik meja kayu kini papa kedana. Hanya menaruh rumput sekaki, tanah sekepal dan rimba sekepung sebab bangsa mem rakus meranggah khazanah Tanah Melayu.

“Mem langsung tak peduli, Kami hilang tanah dan kali, Mem cari sedap seorang diri, Macam beruk suka membuli.”

“Tiada lagi luak, tiada sungai kami. Tiada hutan banat, tiada lagi tanah terbentang luas. Kalau boleh segala pulau, tebing dan laut kami, suami mem mahu ambil semua.”

Mem tidak menjawab dakwaan isteri Datuk Bendahara sebaliknya dia menggamit seorang pelayan perempuan agar datang. Mem berbisik di telinga pelayan. Pelayan mengangguk-angguk sebelum melangkah deras lalu menghilang di muka pintu ke dapur.

“Padahal mem tahu dalam kitab suci, Tuhan tak pilih kasih. Tuhan beri rezeki kepada budak dan orang miskin tapi apa suami-suami Mem buat?” Isteri Datuk Bendahara bersuara lantang. Terasa dadanya berdetup-detap macam bunyi rebana ditepuk-tepuk.

Pelayan muncul semula lalu mendekati mem bercoker emas lalu menghulur sebiji mangkuk kecil. Mem menggagau isi mangkuk lantas menayang beberapa biji lada ke arah isteri Datuk-Datuk. Mata pelayan terbeliak memandang gelagat mem lalu berlari pergi.

“Oh, my, my! Isteri Datuk-Datuk ini tak sayang mulut.” Mulut Mem terherot.

Muzik beralun-alun. Pemain piano, tamborin, gitar, pemukul gendang dan gamelan buat-buat tidak peduli. Semua sama sepakat: muzik itu universal. Sama macam tanah Johor yang universal menerima orang luar yang berlumba-lumba datang berdagang.

“Ha, ada cili burung, cili padi. Come on ladies, kita sental itu mulut.” Jari telunjuk Mem menuding isteri datuk-datuk yang tidak berganjak walau seinci pun bahkan menyinsing lengan baju kurung hingga ke siku. Masing- masing memasang kuda-kuda.

“Kalau berani, rapatlah!” isteri Datuk Laksamana berteriak garang. Mem berundur sederap demi sederap macam perbarisan Red Army di kota London sebelum berpaling lalu berlari di anak tangga, berdedai-dedai ke laman. Sesekali mem berpaling -cuak kalau-kalau isteri datuk-datuk terus mengejar. Petang kian suram.

Cerita tentang kelaku Mem sampai ke telinga Datuk-Datuk yang 40. Saat mentari hilang di hujung senja, mesyuarat tergempar Majlis Orang Kaya-kaya Johor pun bersidang.

“Sudah lama meja emas kita dirampas.” Bendahara mempenghulukan sidang.

“Penat datuk-nenek kita mengukir meja. Bertimbun emas di Semenanjung Emas ini digali orang-orang kita.” Wajah datuk-datuk semuram wajah Datuk Bendahara. Ladies party memberi pengajaran perit kepada anak watan yang berlembut dengan orang luar.

“Atas kenaifan menjaga meja emas dulu, mari kita ambil iktibar. Atas luka bangsa, kita ukir meja lain.” Ujar Datuk Bendahara, meja itu serupa harga diri bangsa. Setiap kali tetamu berkunjung ke istana, ke mejalah tempat dituju. Orang luar kekok duduk bersila macam orang Melayu sebab mereka memakai seluar ketat yang ‘menyampul nangka’.

Datuk Temenggung berdiri, membaca resolusi persidangan. “Tetapan pertama: jangan cepat percaya pada orang luar. Kedua: tarbiahkan orang luar agar sedar diri. Ketiga: anak-anak Johor akan diperkukuh jati dirinya.” Tetapan bulat. Semua orang kaya negeri yang pernah bergelar Ujung Medini sepakat: maruah nenek moyang wajib ditebus!

“Johor-Riau negara merdeka. Benteng ketuanan Melayu.” Pesan Datuk Bendahara, Johor mesti kekal merdeka sampai bila-bila. Biarlah orang kata orang Johor sombong sebab terlalu mempertahankan kejohorannya. Bukan sombong tetapi itulah keyakinan manusia Johor membenteng maruah kerajaannya. Isteri Datuk Bendahara terharu. Cintanya berakar pada bandar sepanjang 1,300 langkah ini. Kubu di Batu Sawar dan di Kota Seberang kukuh. Pancang kayu besar diatur rapat ke tepi sungai setinggi 40 kaki. Pagar kotanya suku jam perjalanan dari perbukitan di belakang bandar. Benteng nyata dan benteng diri mesti diperkukuh. Suaminya dan Majlis Orang Kaya Johor sudah sepakat, “Johor mesti jadi Johor.”

“Pendatang mesti ingat. Nak datang berdagang, berdaganglah. Nak menumpang senang, menumpanglah. Jangan pula tebal muka mengaku empunya negeri.” Orang luar wajib sedar di mana rumput dipijak, di situlah patut menjunjung langit kesetiaan. Tahu menghormati hak orang yang lebih berhak. “Jangan main pakai larung saja.” Persidangan tamat. Teh dan penganan dibawa pelayan. Datuk-datuk yang 40 menikmati kudapan.

“Datuk, Datuk!” Panggilan nyaring itu buat semua terdiam. Hulubalang segera menerpa ke pintu. Cahaya lampu melembak keluar dari muka pintu balai.

“Siapa?” Semua pelik, siapa yang datang malam-malam buta begini?

“Mem!” Obor bernyala di tangan Mem yang termengah-mengah berdiri di hujung tangga. Tiada gaun kembang berlian bertabur, tiada topi berhias bulu kasuari. Hanya pijama tidur membalut tubuh namun coker emas berkilau di lehernya. “Tolong, Datuk. Mem bergocoh sesama sendiri berebutkan meja emas. Suami kami keluar berdagang.”

“Oh, my, my!” isteri Datuk Bendahara menjerit kecil sambil menggeleng-geleng kepala sebelum menekup mulutnya dengan telapak tangan. Mem mengerling tajam dengan mulut herot. Datuk Bendahara dan beberapa pengiring serta mem berlalu dalam kegelapan malam. Yang tinggal hanya irama alam yang dimainkan orkestra fauna dan angin.

Komen-komen
  1. Abd Rahim berkata:

    Sungguh tajam, membawa makna yang dalam, sungguh menyegarkan seperti hembusan hawa pagi yang membawa penuh harapan. Syabas. Harap dapat berkongsi banyak lagi suntikan suntikan yang menyerapi di tubuh badan sebagai lapisan lapisan benteng pertahanan yang perkasa

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s