Menyuluh ikan hingga awal pagi

Posted: Mei 7, 2012 in Suntingan Berita

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

TIRUK amat berkesan digunakan di sawah padi yang airnya cetek, parit kecil, tali air, paya dan alur yang bertanah gambut.

PERUBAHAN arus zaman menyebabkan banyak aktiviti menangkap ikan air tawar atau ikan darat secara tradisional semakin asing dalam kalangan generasi muda hari ini.

Apatah lagi mereka yang tinggal di kawasan bandar agak sukar untuk mengenali bubu, tangkul, rawai, sempila dan belat yang merupakan warisan peralatan tradisional yang telah digunakan khususnya oleh masyarakat Melayu sejak zaman dahulu.

Kunjungan anda ke Kedah mungkin memberi peluang untuk melihat sendiri penggunaan peralatan berkenaan kerana masih ada masyarakat petani di Negeri Jelapang Padi itu menggunakannya, biar pun tidak lagi secara kerap.

Bentuk muka bumi Kedah yang diliputi kawasan bendang yang luas menyebabkan aktiviti menangkap ikan darat sering diadakan sama ada secara individu atau berkumpulan.

Salah satu aktiviti menangkap ikan secara tradisional yang masih dipertahankan di negeri itu adalah dengan menggunakan tiruk. Mungkin sudah tidak ramai yang mengenali peralatan itu atau pun tidak pernah mendengarnya.

Tiruk merupakan alat menangkap ikan yang diperbuat daripada batang pokok hutan yang lurus dan di pangkalnya mempunyai bilah besi yang tajam.

Dari semasa ke semasa, peralatan menangkap ikan tradisional itu telah diubahsuai dengan keadaan setempat dan bahan-bahan yang mudah diperoleh.

Penggunaannya seperti serampang iaitu dibenam ke dalam air di tempat ikan kelihatan. Ia amat berkesan digunakan di sawah padi yang airnya cetek, parit kecil, tali air, paya dan alur yang bertanah gambut khususnya pada waktu malam.

Di Kedah, antara kawasan yang masih menjalankan kegiatan meniruk ikan atau dipanggil ‘menyuluh ikan’ adalah di Kampung Lubuk Batu, Kubur Panjang, Pendang.

Selain sebagai sumber rezeki sampingan, aktiviti berkenaan juga bagi mengisi masa terluang pada waktu malam yang mana penangkapan ikan menerusi kaedah itu boleh berlangsung selama berjam-jam sehingga melepasi detik 12 malam.

Seorang penduduk di Kampung Lubuk Batu, Ibrahim Husin, 54, berkata, meniruk ikan dengan berbekalkan lampu suluh biasanya dilakukan pada waktu malam antara pukul 10 malam hingga 2 pagi kerana pada masa itu, ikan lebih jinak dan mudah ditangkap.

Katanya, musim yang paling sesuai untuk menjalankan aktiviti tersebut ialah ketika kemarau atau selepas padi dituai apabila paras air di tali air, parit atau sawah menjadi cetek dan jernih serta ikan tidak lagi bebas berkeliaran.

“Pada musim kemarau, lazimnya ikan berada di tepi apabila malam menjelma kerana suhu air lebih sejuk. Ikan-ikan ini akan kelihatan jika disuluh dengan lampu dan pada masa itulah, kita perlu meniruknya secepat mungkin.

“Penangkapan ikan menerusi kaedah ini perlu dilakukan dengan senyap supaya ikan tidak terkejut yang boleh menyebabkannya ‘lari’ berenang ke tempat lain,” katanya ketika ditemui S2.

Menurut Ibrahim yang bekerja kampung, kaedah tiruk sesuai digunakan untuk menangkap ikan haruan dan keli kerana saiznya yang lebih besar berbanding dengan ikan lain seperti puyu atau sepat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s