Perniagaan kecil mampu bawa kejayaan besar

Posted: November 13, 2012 in Suntingan Berita

KUALA TERENGGANU 22 Okt. – Siapa sangka, bermula dengan menjual hasil pemprosesan kerepek ubi dan pisang sejak 1990, Ibrahim Industri Sdn Bhd, kini mampu tersenyum setelah berjaya menceburkan diri dalam sektor hartanah dan perikanan ikan air tawar bagi mengukuhkan ekonomi syarikat Bumiputera itu.

Pemiliknya, Ibrahim Mohd Nor, 58, atau lebih mesra dipanggil Pok Him berkata, matlamat syarikatnya ialah untuk membantu kestabilan ekonomi negara di samping memberi peluang pekerjaan buat masyarakat setempat.

“Saya datang dari keluarga susah dan apabila saya berada di atas (mengecapi kejayaan), saya tidak akan lupakan orang di bawah yang susah payah mencari duit bagi menyara kehidupan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau yang pernah menjadi bekas peserta Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) kelahiran Kampung Bukit Payong, Marang berkata kegagalan mendapatkan pekerjaan ketika merantau di Kuala Lumpur pada lewat 80-an memberi idea kepadanya ketika pulang ke kampung laman dengan memulakan perniagaan kerepek ubi dan pisang dengan modal RM200.

Ketika itu, beliau berkata pelbagai kesulitan dihadapinya terutamanya dari segi pengangkutan di mana pada suatu ketika, beliau terpaksa menaiki bas untuk memasarkan kerepek ke sekitar Terengganu.

Pok Him berkata, berkat kesabarannya dalam perniagaan tersebut, beliau kemudiannya diberi peluang apabila mendapat dana dalam bentuk geran daripada Pejabat Daerah Marang sebanyak RM30,000 untuk membeli peralatan dan membina kilang memproses kerepek selepas setahun kemudian mengusahakan perniagaannya.

Katanya pada tahun 2006, beliau telah mewujudkan syarikat dengan nama Ibrahim Industri Sdn Bhd dengan modal permulaan RM500,000 dan sejak itu jugalah perniagaannya terus berkembang maju sehingga mempunyai aset mencecah RM1 juta.

“Untuk berdiri teguh sehingga kini, pelbagai liku kehidupan perlu ditempuhi di mana saya pada awalnya mencari peluang dalam dalam bidang hartanah.

“Kemudian dari itu juga, saya mengembangkan hasil ternakan ikan patin, keli di samping mengambil tender pembersihan lapan sekolah di Kuala Terengganu dan beberapa perniagaan lain selain kerepek,” katanya.

Hasil usaha dan penat-lelah Ibrahim Industri kini juga mampu dibanggakan apabila produk kerepek pisang dan kerepek ubi keluaran syarikatnya telah menembusi pasaran beberapa buah pasar raya terkenal di negara ini seperti Mydin dan Giant.

“Ini satu kejayaan yang amat memberangsangkan kerana untuk menembusi pasar raya seumpama itu bukanlah suatu perkara yang mudah dan senang,” katanya.

Pok Him berkata kilang pemprosesan kerepek Ibrahim Industri yang bernilai RM800,000 kini telah mendapat Sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersempena Maal Hijrah pada tahun lepas.

Beliau pernah mendapat beberapa anugerah antaranya Peladang Jaya daripada kerajaan negeri pada 2006 dan 2008 dan Anugerah Usahawan Terbaik Kebangsaan bagi kategori perniagaan bernilai RM250,000 dan ke atas.

Pok Him yang mendapat pendidikan setakat darjah satu kerana masalah kemiskinan pada masa lalu telah mengikuti hampir 400 kursus dalam bentuk kemahiran dan pentadbiran daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Insitut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan lain-lain lagi demi keazaman mengubah kehidupan.

Syarikat Ibrahim Industri sekarang mempunyai 57 kolam ikan air tawar yang boleh menampung pengeluaran kira-kira 100,000 ekor ikan keli dan patin dengan nilai dianggarkan mencecah RM30,000.

“Selain itu, syarikat saya juga mempunyai ladang kelapa sawit yang boleh memberi hasil kira-kira RM2,000 sebulan untuk mengukuhkan lagi sumber kewangan syarikat,” katanya.

Katanya bekalan seperti ubi kayu dan pisang dalam pembuatan kerepek sama ada dibeli dengan pemborong di pasar tani dan juga kontrak ladang dengan petani-petani di negeri ini.

Bagi memberi tanggung jawab sosial korporat, syarikat itu juga telah memberi peluang pekerjaan seramai 28 orang khususnya penduduk kampungnya dan peserta PPRT. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121023/wt_03/Perniagaan-kecil-mampu-bawa-kejayaan-besar#ixzz2C4NizTcW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s