Ke arah pemodenan luar bandar

Posted: April 2, 2013 in Suntingan Berita

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

Najib Tun Razak melawat projek perumahan Rimbunan Kasih di Tanjung Besar, Lipis, kelmarin.

KUALA LIPIS 24 Mac – Program Rimbunan Kasih yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Tanjung Besar, Benta di sini semalam merupakan langkah terbaharu Kerajaan Pusat dalam membasmi kemiskinan di luar bandar.

Program berkenaan menjadi contoh usaha memodenkan kawasan luar bandar menerusi penyediaan kemudahan serta projek pertanian di satu kawasan bagi membolehkan golongan miskin yang dipilih menjalani kehidupan dengan selesa.

Kerjasama antara Kerajaan Pusat melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dengan kerajaan negeri serta syarikat swasta itu merupakan satu perkongsian pintar yang dilaksanakan di Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, konsep terbaharu itu akan menjadi perintis untuk membuka lebih banyak kawasan seumpama itu di negeri ini dalam meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar khususnya golongan miskin.

Menurut beliau, program yang bernilai RM37 juta itu menyediakan kemudahan seperti pembinaan rumah, ladang pertanian, surau, dewan serbaguna, pusat pembelajaran teknologi maklumat dan komunikasi dan pusat sumber.

“Setakat ini sebanyak 76 rumah disiapkan dan 71 keluarga menduduki kediaman tersebut sejak 1 Disember lalu manakala baki 24 rumah lagi dijangka siap selewat-lewatnya September ini.

“Ini adalah usaha untuk memberi peluang kedua kepada golongan fakir miskin bagi mendapat kehidupan lebih baik dan membantu mereka keluar daripada kemiskinan melalui pemberian rumah yang selesa dan melibatkan diri dalam projek pertanian,” katanya ketika ditemui di sini.

Adnan berkata, seorang peserta program itu akan diambil bekerja di ladang pertanian yang dibangunkan di sini dengan gaji bulanan sebanyak RM1,500 yang dibayar oleh syarikat swasta.

Menurutnya, mereka akan bekerja di tapak pertanian yang menjalankan pelbagai projek pertanian dan penternakan ikan dalam memenuhi permintaan pasaran tempatan dan luar negara.

“Antara projek pertanian yang diusahakan di sini ialah tanaman ‘golden melon’, misai kucing, pegaga, nangka madu, limau kasturi dan ternakan ayam kampung.

“Bagi ternakan ikan pula, ia akan menggunakan kaedah tangki akuaponik seperti ikan talapia, keli dan jade perch iaitu benih ikan yang diimport dari Australia,” katanya.

Tambahnya, bagi tempoh lima tahun pertama, setiap kebajikan peserta dan pengurusan ladang pertanian adalah di bawah tanggungjawab syarikat swasta terbabit sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri selepas itu.

“Kita juga akan menyediakan kelas jahitan dan memasak kepada penduduk di sini bagi membolehkan mereka mencari pendapatan sampingan sekali gus menambah kewangan keluarga terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, program itu adalah langkah berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) membasmi kemiskinan tegar di kalangan rakyat.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha memperbaiki taraf sosioekonomi rakyat seperti mana digariskan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Luar Bandar dan Kemiskinan.

“Kewujudan itu turut mencerminkan kesungguhan program transformasi yang giat dilaksanakan kerajaan dalam memberi kehidupan selesa kepada rakyat terutama golongan miskin.

“Pemilihan daerah ini untuk melaksanakan projek berkenaan adalah satu rahmat kepada penduduk untuk lebih maju dan berjaya dalam kehidupan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s