Kem untuk pelbagai aktiviti

Posted: April 2, 2013 in Suntingan Berita

KemudahaN chalet dan asrama yang terdapat di Kem Lambaiana, Air Terjun Sungai Gabai, Hulu Langat, Selangor.

BAGI penduduk di Lembah Klang, Air Terjun Sungai Gabai di Hulu Langat, Selangor memang popular kerana sentiasa menjadi destinasi bersantai dan beristirehat bersama keluarga pada hujung minggu.

Kedudukan yang dekat dengan ibu negara menjadikannya lokasi rekreasi pilihan terutama bagi yang berkeluarga untuk lari seketika daripada kesibukan kota raya.

Terletak di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, air terjun itu ada 12 tingkat yang cukup mendamaikan lebih-lebih kerana kedudukannya di tengah-tengah hutan simpan kekal.

Keindahan hutan hujan tropika yang penuh dengan flora dan fauna memberikan ketenangan kepada mereka yang memerlukan.

Selain keindahan semula jadinya, Air Terjun Sungai Gabai mempunyai pelbagai kemudahan untuk orang ramai berekreasi.

Kemudahan lain yang terdapat di sana ialah kem latihan yang sesuai untuk pelbagai aktiviti terutama untuk mereka yang mahu bercuti atau berkursus.

Itu yang ditawarkan oleh Kem Lambaiana yang terletak di pinggir hutan simpan Air Terjun Sungai Gabai.

Terletak di bawah pengurusan Dwi Bistari Enterprise yang merupakan syarikat bumiputra yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan, kem itu juga berdekatan dengan perkampungan Orang Asli.

Pengurus Kem, Mohd. Kamal Jusop berkata, kedudukan kem itu cukup strategik kerana lokasinya hanya 50 meter dari Air Terjun Sungai Gabai.

“Ini benar- benar menggamit pengunjung dengan suasana kedamaian bagi yang ingin bersantai bersama keluarga tersayang.

“Kesegaran, kehijauan, kedamaian, ketenangan dan bunyi kicauan burung, sungai yang mengalir tenang, hutan yang menghijau, membuatkan chalet di Kem Lambaiana menjadi pilihan terbaik bagi yang ingin bercuti, bersantai ataupun membuat latihan fizikal,” katanya.

Mohd. Kamal yang merupakan lulusan ijazah sarjana muda Unair Surabaya dan sarjana Universiti Putra Malaysia (UPM) memberitahu, Kem Lambaiana menyediakan pelbagai kemudahan penginapan untuk pengunjung.

Bagi yang berkeluarga katanya, boleh menginap di chalet atau asrama yang dilengkapi dengan kemudahan seperti katil, tilam, cadar, selimut, kipas, televisyen dan bilik air dalam bilik.

“Pengunjung yang bermalam di sini akan menikmati suasana malam yang sungguh menenangkan jiwa dan fikiran.

“Bagi yang memilih untuk berkursus, pakej makanan juga disediakan. Menu masakan ala kampung seperti ayam masak gulai kampung, ulam-ulaman,

ikan keli dan ikan talapia masak lemak cili padi atau ikan bakar menjadi menu terbaik di sini,” katanya.

Kem Lambaiana juga memiliki sebuah dewan besar untuk tetamu mengadakan pelbagai aktiviti dalam dewan seperti ceramah, perbincangan dalam kumpulan kecil, mesyuarat dan sebagainya.

“Dewan tersebut dilengkapi dengan alat pembesar suara, alat LCD Projector dan komputer serta boleh memuatkan 120 orang dalam satu-satu masa.

“Kemudahan seperti surau, padang permainan, pondok wakaf adalah pelengkap bagi yang ingin memilih pakej kursus di kem ini,” jelas Mohd. Kamal.

Dengan kemudahan yang ada itu, pelbagai program boleh dilaksanakan di Kem Lambaiana.

Pihak kem turut menyediakan jurulatih terlatih bagi mengendalikan program-program yang berbentuk fizikal.

“Latihan fizikal yang dilaksanakan seperti kembara di laluan pinggir hutan ke air terjun Sungai Gabai, aktiviti merempuh halangan, berakit, latihan tali tinggi, repelling dan fyling fox.

“Aktiviti yang lain seperti permainan tradisional, main galah panjang, menangkap ikan keli, menangkap ayam, dan memancing juga disediakan,” ujarnya.

Jika ada pengunjung yang datang pada musim buah-buahan, di sekitar kem itu terdapat dusun-dusun buahan seperti rambutan, durian, pulasan, manggis, duku, langsat, cempedak dan rambai.

Pengunjung boleh menikmati buahan yang masak dari dusun yang sungguh segar, manis dan melazatkan.

Mohd. Kamal sendiri merupakan seorang yang telah lama menceburi dalam bidang latihan dan pengurusan kem.

Sehubungan itu dia amat mengalu-alukan sama ada orang perseorangan, agensi-agensi kerajaan mahupun pihak swasta untuk menggunakan kem itu untuk pelbagai aktiviti terutama yang berkaitan dengan bina semangat.

Pakej yang disediakan kata Mohd. Kamal, amat berpatutan dan bersesuaian dengan keperluan sesuatu program.

Kepada yang berminat dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kem Lambaiana boleh hubungi 017-2370246.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s