Archive for the ‘pembeli keli’ Category

Ternak ikan keli kanvas

Posted: Mei 11, 2009 in pembeli keli

Ternak ikan keli kanvas industri baru

Selepas kejayaan mengadakan bengkel ternakan kambing dan tanaman cendawan, Bengkel Usahawan Mega-Utusan Malaysia diteruskan dengan industri baru iaitu ternakan ikan keli dalam kanvas. Maklumat lanjut mengenai Bengkel Usahawan Ikan Keli Bersama Mega-Utusan Malaysia itu adalah seperti berikut:

Tempat : Active Surge Sdn Bhd.

No. 39A, Jalan Waruna AR U5/AR, Taman Desa Subang, 40150 Shah Alam

Selangor Darul Ehsan

Tarikh : 12 hingga 14 Julai 2008 (Sabtu, Ahad dan Isnin)

Anjuran Bersama : Mega, Utusan Malaysia , Active Surge Sdn. Bhd. Agro Bank dan Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (Apeec) ,UPM.

Pengenalan

Peserta akan didedah kepada latihan teori dan amali di ladang oleh tenaga pengajar berpengalaman.

Dari lawatan ke ladang, peserta akan dapat melihat suasana sebenar serta mempelajari teknik pembenihan ikan keli dan seterusnya merangka pelan perniagaan untuk mendapatkan pembiayaan pinjaman.

Lokasi bengkel kali ini dipilih kerana mempunyai kemudahan pembelajaran teori dan amali yang lengkap. Selain itu, bengkel ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada Agrobank dengan menawarkan kemudahan penginapan dan bilik kuliah untuk dijadikan sebagai tempat pembelajaran teori.

Antara faktor utama yang mendorong ramai usahawan menceburi industri ini adalah:

* Keuntungan jangka panjang yang baik

* Permintaan pasaran yang tinggi

Objektif

Menggalakkan lebih ramai usahawan kecil terlibat dalam ternakan ikan keli dengan memberi pendedahan awal dan gambaran sebenar serta latihan ternakan ikan keli dan khidmat nasihat oleh tenaga pakar.

Kumpulan sasar

Peserta dipilih dari kalangan usahawan yang mempunyai modal dan lokasi projek serta ingin menjadikan ternakan ikan keli sebagai perniagaan Hanya 50 peserta akan di pilih.

Tenaga pengajar

Tenaga pengajar terdiri daripada pengurusan Active Surge Sdn. Bhd. yang merupakan seorang pakar dalam bidang ternakan di Malaysia begitu juga dengan khidmat nasihat daripada Apeec serta Agro Bank.

Yuran Penyertaan

* Yuran penyertaan adalah RM 150 seorang

* Yuran merangkumi bahan bertulis, penginapan, lawatan, makan dan minum.

* Borang yang telah lengkap diisi ke alamat berikut bersama-sama bank draf/wang pos/kiriman wang pos berjumlah RM150.00 atas nama “UTUSAN MELAYU (MALAYSIA) BERHAD’ sebelum 8 Julai 2008.

* Maklumat lanjut urus setia Bengkel Usahawan Ikan MEGA-Utusan Malaysia.

* Bengkel Usahawan Ikan MEGA-Utusan

Kompleks Sri Utusan, Lot 6, Jalan P/10, Kawasan Perusahan Bangi

Seksyen 10, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan

* Pembayaran bengkel secara tunai, perlu melalui urus setia program dengan menghubungi :-

Faris 012-3417112

Rosli 012-2846811

Syura 019-2049587

Advertisements

bioteknologi organik

Posted: Mei 11, 2009 in pembeli keli

Keli kanvas guna bioteknologi organik

Deretan kolam kanvas milik Active Surge Sdn Bhd. di Taman Desa Subang, Shah Alam.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sasaran pertumbuhan tahunan bagi perikanan akuakultur yang digariskan ialah 21.5 peratus manakala pengeluaran produk sebanyak 662,000 tan metrik.

RMK-9 yang akan tamat dalam tempoh lebih dua tahun lagi, masih banyak usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan pengeluaran dalam subsektor akuakultur termasuk menambah bilangan pengusaha.

Bidang akuakultur ini sebenarnya meliputi banyak aktiviti sama ada ternakan kolam, sangkar, tangki yang semuanya sesuai untuk ternakan ikan dan sebahagiannya untuk udang, selain kerang-kerangan dan rumpai laut.

Kemunculan teknologi baru merancakkan lagi industri akuakultur antaranya dengan pengenalan air kitar semula, dalam kanvas dan pembersihan air menggunakan penapis biologi atau mikroorganisme.

Terbaru dan paling mendapat sambutan ialah penggunaan teknologi ternakan ikan dalam kanvas khususnya untuk keli yang dikatakan sesuai kerana sifat tahan lasak.

Kini, konsep ternakan keli dalam kanvas menjadi popular dan diperkatakan oleh mereka yang mula berjinak-jinak dengan pertanian.

Mereka seakan lupa bahawa ternakan menggunakan kanvas sebenarnya satu teknologi tinggi yang memerlukan pengetahuan mendalam sebelum menceburkan diri.

Persoalannya, bagi yang berminat, di mana teknologi tersebut boleh diperoleh?

Bagi menampung permintaan tersebut, sebuah syarikat bumiputera, Active Surge Sdn. Bhd. (ASSB) menawarkan teknologi yang dibangunkan bersama sistem pemakanan lengkap dan sistematik.

ASSB ditubuhkan pada 2005 untuk menyahut seruan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat melalui akuakultur.

Syarikat yang beroperasi di Taman Desa Subang, Shah Alam Selangor ini pada awalnya terlibat dalam, bidang akuakultur secara kecil-kecilan.

Namun, ia menempa sejarah selepas kejayaan memperkenalkan teknologi ternakan ikan air tawar dalam kanvas dengan penggunaan makanan dan sistem rawatan organik.

Menurut Pengarah Teknikal ASSB, Izam Md. Nor, kajian yang dilakukan tertumpu kepada penggunaan kanvas dalam ternakan ikan air tawar dan pada masa sama, mengaplikasikan produk bioteknologi untuk pemakanan dan sistem rawatan organik.

Beliau berkata, teknologi itu dikenali sebagai Akuakultur Kitar Semula Dengan Penggunaan Sistem Bioteknologi (RAWBITE) yang terdiri daripada empat komponen utama.

Komponen-komponen terdiri daripada Activated Carbon (AC), BioMutiara Fish (BMF) Bio Mutiara Feed Additive Fish (BMFAF) dan Bio Mutiara Anti Odour (BMAO).

“Teknologi RAWBITE ini diaplikasikan serentak dalam sistem ternakan ikan air tawar dan setakat ini kita menggunakan pelbagai spesies ikan keli,” katanya ketika ditemui di pejabat syarikat itu di Shah Alam baru-baru ini.

Saiz kanvas yang disyorkan ialah 10 kaki x 4 kaki dalam bangunan, manakala 15 x 4 kaki di luar bangunan pada ketinggian air sehingga dua kaki.

Saiz tersebut boleh menampung kira-kira 1,500-1,800 ekor ikan keli manakala air yang digunakan bebas klorin.

Produk bioteknologi organik yang dihasilkan digunakan dalam sistem ternakan bagi menghilangkan bau, sebagai penapis selain makanan ikan dalam bentuk pelet.

Pada masa ini, syarikat memasang sistem tersebut 58 kolam kanvas di ibu pejabat dengan sistem penjagaan yang minimum.

Namun menurut Izam, selaras konsep Program Pembangunan Usahawan Akuakultur Air Tawar bersama agensi lain termasuk bank dan Projek Ternakan Ikan Air Tawar Organik Aplikasi Bioteknologi, ASSB menawarkan pakej kepada bakal pengusaha yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang akuakultur.

Pakej tersebut menawarkan 10 kolam kanvas, 18,000 ekor anak ikan dan empat produk bioteknologi serta kemudahan infrastruktur yang diperlukan.

Kemudahan infrastruktur termasuk kerangka kolam, kanvas, pam air dan turas, pam udara dan aksesori, pam penyelenggaraan, sistem penapisan RAWBITE, sistem saliran RAWBITE, pH meter dan upah pemasangan.

Menurut Pengerusi ASSB, Mohd. Nor Osman, pakej tersebut ditawarkan kepada mereka yang berminat dalam tempoh empat tahun menerusi konsep perladangan kontrak manakala ikan yang dihasilkan, akan dibeli semula oleh syarikatnya dengan harga RM4.50 sekilogram.

Menerusi teknologi tersebut ikan keli dapat dituai selepas tiga bulan dengan saiz lima atau enam ekor sekilogram.

Kontrak boleh diperbaharui berdasarkan kepada prestasi peserta.

Setakat ini, ASSB mampu memasang hampir 200 modul atau 2,000 kolam di Semenanjung Malaysia dan dijangka meningkat dari masa semasa.

“Syarikat menyasarkan 200 modul atau 2,000 kolam lagi, dalam masa terdekat bagi melengkapkan jumlah 4,000 kolam,” ujar Izam.

Syarikat terbabit juga menawarkan perkhidmatan pembekalan benih yang berkualiti dan kadar pertumbuhan yang baik supaya bekalan sentiasa diperoleh.

Pada masa ini, pengeluaran benih dihasilkan dengan kerjasama vendor di Melaka dan Pusat Pembenihan, di Salak Tinggi, Sepang manakala mereka yang berhasrat mempelajari teknik pembenihan aruhan dengan ASSB akan dilatih di Sepang, Selangor.

ASSB juga mempunyai kilang sejuk beku yang menjadi pusat operasi menyiang serta disejukbekukan untuk memproses ikan tersebut kepada serunding, sardin dan produk lain.

Bagi memenuhi permintaan makanan ternakan ikan yang tinggi, syarikat itu mengambil inisiatif membuka kilang memproses makanan ikan sendiri di Terengganu bersama Syarikat Nu Infra Mutiara Feedmill Sdn. Bhd.

Info

Kelebihan kaedah sangkar kanvas biotek

*Mudah alih

*Ekonomi dan tahan lama

*Mudah diselenggara

*Sistematik

*Hasil berkualiti

*Selamat daripada ancaman pemangsa.

*Menjimatkan ruang.

Pakej RAWBITE

Activated Carbon

*Produk yang dihasilkan daripada bahan-bahan tempatan seperti tempurung, buluh dan bahan buangan pokok yang tidak mengandungi unsur toksik dengan proses pemanasan 1200 darjah C.

*Mengurangkan gas ammonia yang beracun kepada ternakan.

*Meneutralkan bau dan warna kotoran seni

*Meneutralkan nitrik dan ammonia

*Membasmi bakteria

*Menghasilkan lebih mineral dan oksigen

*Menampung lebih banyak populasi ternakan

BMF

*Merupakan konsortium organisma yang dihasilkan daripada organisma tempatan terpilih.

*Mengandungi bakteria lacto yang bertindak sebagai probiotik

*Rawatan penyakit tanpa antibiotik

*Formulasi halal

*Menghasilkan persekitaran sihat

*Merawat ternakan daripada penyakit luaran dan dalaman.

*Mengurangkan kadar kematian ikan.

*Mencantikkan warna kulit ikan.

*lMerangsang tumbesaran.

BMFAF

*Merupakan matriks tumbuhan mengandungi organisma tempatan efektif.

*Merangsang persekitaran sihat dalam sistem penghadaman.

*Meningkatkan produktiviti

BMAO

*Matriks tumbuhan mengandungi organisma tempatan terpilih

*Menghilangkan bau

*Merangsang persekitaran sihat pada kawasan ternakan

*Membasmi bakteria .

Syarikat tersebut boleh dihubungi di talian 03-78456412 atau faksimile 03-78456461.

Keli gergasi mati tercekik bola sepak

BERLIN 2 Jun – Seekor ikan keli gergasi mati setelah cuba menelan sebiji bola sepak di kunci air sebuah terusan di Bavaria.

Polis Jerman memberitahu, ikan sepanjang dua meter itu ditemui mati semalam dan ditemui terapung-apung di permukaan air dengan bola berwarna biru dan putih tersangkut di mulut.

“Keli itu cuba makan bola dan ia tersangkut,” kata jurucakap polis, Karl-Heinz Kuberlein.

Apakah perlawanan akhir Euro 2008 Ahad lalu yang menyaksikan Jerman kalah 1-0 kepada Sepanyol mempunyai hubungan dengan insiden ini?

“Sama ada ikan keli ini terkena demam bola sepak selepas kejuaraan Eropah dan kemudian cuba menelan bola tidak dapat dipastikan,” ujar beliau sambil tersenyum.

ikan air tawar

Posted: Mei 11, 2009 in pembeli keli

Teknologi pembenihan ikan air tawar


TASIK Temenggor terletak di Gerik, Perak cukup istimewa kerana kajian mendapati tasik buatan manusia seluas 15,200 hektar yang tercipta hasil pembinaan empangan hidro elektrik Temenggor oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 1978 itu kaya dengan lebih 30 spesies ikan air tawar asli tempatan yang sudah tidak ditemui di tempat lain di negara ini.

Kelebihan itu telah mencetus idea kepada Jabatan Perikanan untuk membina sebuah Pusat Perikanan Darat di Banding pada 1997.

Ia menjadi pusat membangunkan baka induk dan mengeluarkan benih pelbagai spesies ikan air tawar asli tempatan seperti kelah, temoleh, baung, tengas, loma, tengalan, sebarau dan lampam sungai.

Pusat Perikanan Darat Banding (PPDB) yang beroperasi sepenuhnya pada 1 November 2006 ini juga berperanan sebagai pusat pengembangan yang memberi khidmat nasihat teknikal, pusat sumber maklumat dan rujukan kepada kumpulan sasaran.

Selain itu, ia juga menggiatkan usaha memindahkan teknologi dalam pembenihan ikan selaras dengan pembangunan industri akuakultur negara.

Menurut Pengarah Perikanan Perak, Sani Mohd. Isa, proses pembenihan ikan di pusat ini dijalankan secara saintifik menerusi pembiakan aruhan iaitu proses yang melibatkan induk ikan yang belum matang sepenuhnya akan disuntik dengan hormon tertentu untuk mematangkan telurnya dan membolehkan proses ovulasi berlaku.

Beliau memberitahu, kaedah pembiakan aruhan biasanya digunakan untuk membiakkan ikan-ikan yang tidak dapat membiak dalam sangkar.

‘‘Ia juga bertujuan mempercepatkan proses kematangan dan ovulasi telur, meninggikan kemandirian (kadar hidup) anak-anak ikan, meningkat dan mempercepatkan pengeluaran benih ikan secara besar-besaran atau komersial serta memperoleh baka ikan berkualiti tinggi,” jelasnya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis taklimat mengenai pusat Perikanan Darat di Banding, Perak baru-baru ini yang turut disertai oleh Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub.

Bagi mendapatkan benih ikan berkualiti, induk-induk ikan yang dipilih untuk menjalani proses pembiakan aruhan ini mestilah daripada baka baik, mampu menghasilkan benih yang banyak, sihat, tahan terhadap serangan penyakit, cepat membesar, tidak cacat dan mencapai umur yang sesuai untuk proses pembiakan.

Menurut Sani, proses pembiakan bermula dengan induk dipelihara dalam kolam tetapi diasingkan antara jantan dan betina.

Semasa proses pemeliharaan dijalankan, induk-induk ikan perlu dipastikan berada dalam keadaan selesa dengan memastikan keadaan kolam tidak terlalu padat dan mempunyai kualiti air sentiasa baik.

Selain itu, makanan yang diberikan hendaklah seimbang, berzat dan mudah dihadam oleh ikan.

Kemudahan dan peralatan yang perlu ada dalam bengkel penetasan ialah tangki pembiakan, tangki penetasan, tangki asuhan, bekalan air bersih, bekalan elektrik, pam air, generator, alat pengu daraan dan peralatan sokongan yang lain.

Mengenai penentuan jantina ikan pula, Sani menjelaskan, struktur genital ikan adalah berbeza-beza antara satu spesies dengan spesies yang lain.

‘‘Sesetengah spesies mempunyai genital yang jelas kelihatan seperti ikan baung dan ikan keli manakala sebahagian besar ikan tidak dapat dibezakan kerana struktur genital yang hampir sama antara jantan dan betina.

‘‘Secara amnya, jantina ikan boleh ditentukan apabila abdomen ikan dipicit atau diurut perlahan ke arah bahagian genital.

‘‘Jika terdapat cecair putih keluar, maka ia menunjukkan kehadiran sperma dan ikan itu disahkan jantan,” katanya.

Satu lagi kaedah penentuan jantina ialah dengan melihat struktur abdomen ikan kerana secara amnya, ikan betina telah matang mempunyai struktur abdomen yang melembang di bahagian kiri dan kanan badannya manakala ikan jantan kebiasaannya tidak melembang di bahagian abdomen.

Mengenai tahap kematangan ikan, Sani berkata, ikan jantan dianggap sudah matang apabila boleh mengeluarkan sperma yang boleh digunakan bagi tujuan persenyawaan.

Ujian lanjut bagaimanapun perlu dijalankan untuk melihat tahap keaktifan sperma ikan di bawah mikroskop berkuasa tinggi bagi menentukan kesesuaian sebenar ikan bagi tujuan pembiakan.

Sani berkata, bagi ikan betina secara amnya, ikan yang sudah matang mempunyai struktur abdomen yang melembang di bahagian kiri dan kanan badan ikan.

Bahagian ini apabila ditekan akan bersifat kenyal dan berisi menunjukkan kehadiran telur ikan.

Ciri-ciri telur ikan yang baik ialah telur yang bersaiz seragam, tidak pudar atau terlalu gelap.

Beliau berkata, proses suntikan hormon pula terbahagi kepada tiga iaitu intracraneal, intraparetoneal dan intramascular’.

‘‘Intracraneal ialah hormon disuntik di celah-celah tengkorak kepala di mana hormon ini akan masuk ke dalam otak untuk merangsangkan otak mengeluarkan hormon pembiakan.

Hormon ini juga akan merangsangkan gonad untuk mematangkan telur ikan dan menggalakkan proses ovulasi berlaku.

Intraparetoneal ialah hormon disuntik pada pangkal sirip pektoral. Kaedah ini sesuai untuk induk bersaiz besar dan tidak sesuai bagi induk bersaiz kecil.

Proses suntikan juga harus menggunakan jarum yang pendek kerana jarum panjang boleh mencederakan jantung dan menyebabkan kematian induk.

‘‘Intramascular pula sesuai untuk semua jenis ikan kerana hormon disuntik di belakang ikan antara sirip dorsal dan garisan lateral,” katanya.

Menurut Sani, masa menyuntik hormon bergantung kepada jenis ikan kerana ada ikan memerlukan sekali suntikan hormon dan ada juga memerlukan dua suntikan.

Bagi yang memerlukan sekali suntikan, katanya, proses ini biasanya dilakukan pada waktu pagi atau malam, manakala ikan yang memerlukan dua suntikan akan menjalani proses pertama pada waktu pagi atau petang dan suntikan kedua pada petang atau malam di mana selang masa antara kedua-dua suntikan ialah enam jam.

Pembiakan
Selepas disuntik, barulah induk dilepaskan ke dalam tangki pembiakan untuk stimulasi gonad, pematangan telur dan ovulasi.

Semasa proses ini, tangki akan diberikan pengudaraan dan air dikitar semula menggunakan pam untuk membentuk arus.

Pada waktu ini, induk jantan boleh dicampurkan dengan induk betina dalam tangki pembiakan bagi tujuan simulasi gonad dengan nisbah jantan kepada betina seperti 1:3, 1:4 dan 1:5 bergantung kepada kesesuaian tangki.

Proses seterusnya, kata Sani, ialah peleretan dan persenyawaan telur yang mana ia dijalankan selepas beberapa jam induk diberi suntikan hormon bergantung kepada jenis ikan.

‘‘Leret telur ke dalam besen dan diikuti dengan sperma sebelum kedua-duanya digaul sehingga rata dengan bulu ayam selama tiga hingga lima minit.

‘‘Selepas itu, masukkan air untuk mengembangkan telur dengan memastikan air yang digunakan hendaklah sama dengan suhu air di mana induk ikan disimpan dalam tangki iaitu kira-kira 30 darjah Celsius. Telur tersebut kemudian dibilas dengan air bersih sehingga semua kotoran dan lendir hilang,” katanya.

Kaedah penetasan juga, kata Sani, berbeza-beza mengikut jenis ikan sebagai contoh telur yang melekat seperti telur ikan keli, baung dan patin, ia akan ditabur ke atas jaring penetasan.

Katanya, rega yang telah menetas akan gugur ke dasar manakala telur yang sambang akan melekat pada jaring dan mudah dibersihkan.

Bagi telur yang ringan dan terapung seperti telur lampam jawa, jelawat, temoleh dan kerai ditetaskan dalam kolong penatesan.

projek ternakan keli

Posted: Mei 11, 2009 in pembeli keli

14 keluarga miskin sertai projek ternakan keli

PASIR MAS 18 Jun – Seramai 14 keluarga miskin tegar dari kawasan Chetok di sini menjayakan projek memelihara ikan keli dalam tangki di bawah Program Peningkatan Pendapatan Keluarga Miskin Tegar Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Mereka yang menerima peruntukan termasuk peralatan dan benih bernilai RM10,000 seorang dijangka akan mula memperoleh hasil kira-kira RM4,000 selewat-lewatnya September depan.

Pengerusi Persatuan Gerak Murni Chetok (PGMC) Ismail Jusoh berkata, program yang dilancarkan pada 5 Jun lalu, dipantau oleh Felcra Wilayah Timur bagi memastikan mereka terus berusaha memanfaatkan bantuan yang diberikan itu.

”Persatuan berusaha melibatkan mereka dan kesediaan mereka untuk menyertainya diharap dapat meningkatkan pendapatan demi masa depan keluarga,” katanya di sini hari ini.

Katanya lagi, dengan pelaksanaan projek itu, mereka berpeluang melibatkan diri dalam ternakan ikan yang boleh diterus dan dikembangkan pada masa hadapan bagi menjamin pendapatan mereka.

Menurut Ismail, sebelum ini, sejumlah penduduk di kawasan berkenaan sudah mendapat bantuan membaik pulih rumah, tetapi tahun ini, mereka yang terpilih mendapat projek ternakan ikan itu.

”Felcra Wilayah Timur akan memantau projek terlibat dalam tempoh enam bulan dan selepas itu, PGMC akan bertanggungjawab memastikan projek itu berjalan lancar,” katanya.

Tambah beliau, projek itu akan diserah untuk diuruskan sepenuhnya oleh setiap peserta terlibat.

Sementara itu, seorang peserta, Rashid Jusoh, 58, berkata, beliau bernasib baik kerana disenaraikan untuk menerima bantuan memelihara ikan dalam tangki itu.

Katanya, beliau sebelum ini hanya menoreh getah secara pawah untuk perbelanjaan seharian.

”Saya bersyukur mendapat bantuan tersebut dan sekarang dapat menyediakan kawasan untuk menempatkan enam tangki sebagai tempat memelihara ikan keli itu,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurutnya, beliau kurang bernasib baik kerana tidak dapat menguruskan ternakan ikan sendiri kerana diserang angin ahmar baru-baru ini.

”Sekarang saya menyerahkan urusan pemeliharaan itu kepada anak saya, Rashid, 31, dan yakin, dia dapat menjayakan projek berkenaan,” ujarnya.

 

ternak keli yakin berjaya

Posted: Mei 11, 2009 in pembeli keli

Peserta kursus ternak keli yakin berjaya

TANJONG KARANG 2 Mei – Seramai 150 peserta di kalangan belia telah berpeluang mempelajari kemahiran menternak ikan keli secara moden dalam kanvas pada Kursus Asas Ternak Ikan Air Tawar Sistem Akuafonik Aplikasi Biotek dan ICT baru-baru ini.

Kursus yang bertemakan Pertanian Suatu Perniagaan itu telah berlangsung selama dua hari di Dewan Mini Datuk Hormat di sini.

Ia dianjurkan oleh Pertubuhan Gerakan Belia 4B kawasan Tanjong Karang dengan kerjasama AgroSynergi Resources Malaysia Sdn. Bhd. dan Yayasan TEKUN Nasional.

Pengerusi Gerakan Belia 4B berkenaan, Mohd. Khir Ramli memberitahu, kursus itu mendapat sambutan di luar dugaan kerana peserta bukan sahaja terdiri dari kalangan belia tempatan, malah ada yang datang dari Sabak Bernam, Sungai Besar dan juga negeri Johor.

Katanya, dalam program intensif itu, bakal usahawan berkenaan telah diberikan tunjuk ajar dan ilmu serta kemahiran menternak ikan keli dalam kanvas melalui ceramah oleh mereka yang pakar dan berpengalaman.

Antara penceramah itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bumi Utama Construction (M) Sdn. Bhd., Mohd. Kifli Abu Samah yang mahu bakal usahawan memberi komitmen yang tinggi walaupun perniagaan yang dijalankan adalah kecil, jika mahu berjaya.

Timbalan Pengurus Pembangunan Usahawan Malaysia, Roslim Mad Akhir pula menyampaikan ceramah mengenai cara membuat kertas kerja dan mengisi borang pinjaman modal daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

Pengurus Operasi dan Teknikal AgroSynergy, Mior Zaman Shah Mior Yusof berkata, program dan latihan yang diadakan itu merupakan pra syarat bagi pengusaha yang ingin menyertai Skim Usahawan Agro.

“Setiap pengusaha akan ditawarkan kemudahan khidmat nasihat dan kewangan yang boleh diperolehi daripada TEKUN dan akan dipantau bagi memastikan program ini berjaya,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta kursus, Siti Rahmah Sabli 47, gembira kerana berpeluang menambah pengetahuan sebelum memulakan usaha menternak ikan keli.

Beliau yang merupakan seorang suri rumah yakin wanita juga mampu meraih pendapatan yang lumayan, walaupun dalam bidang yang biasanya dikuasai oleh kaum lelaki, jika rajin dan berusaha bersungguh-sungguh.

“Cita-cita ini bunyinya sungguh tinggi bagi wanita tetapi ia bukanlah mustahil untuk dilaksanakan asalkan ada kemahuan dengan usaha yang bersungguh-sungguh,” katanya.

Mohd. Radzuan Abu Bakar, 30, pula menyifatkan usaha pihak berkenaan memberi peluang dan bimbingan melalui kursus itu sangat bermakna baginya sebelum menceburi usaha menternak ikan keli.

Katanya, walaupun kursus itu hanya di peringkat asas tetapi banyak panduan dan maklumat yang boleh menjamin kejayaan bagi seorang bakal usahawan telah didedahkan.

Seorang lagi peserta, Nor Riza Mohd. Nor, 36, seorang suri rumah memuji pihak penganjur kursus berkenaan yang memberi peluang kepadanya untuk menjadi usahawan.

Katanya, melalui kursus itu, ia dapat menambah pengetahuannya untuk menjayakan usaha menternak ikan keli.

“Maklumat dan pengetahuan yang disampaikan dengan berkesan oleh penceramah dan pembimbing kursus ini, di samping bantuan modal dan peralatan, akan memastikan peserta menjadi usahawan yang berjaya,” katanya.

Rakannya, Ruziah Yatim, 48, berkata, dia berminat untuk menjalankan usaha menternak keli dalam kanvas kerana ia tidak memerlukan tenaga yang banyak dan kawasan yang luas.

“Saya memang meminati bidang ternakan ini kerana ia berpotensi menjadi sumber pendapatan untuk menampung keluarga,” katanya.

bakal pengeluar cili, keli

Posted: Mei 11, 2009 in pembeli keli

Perlis bakal pengeluar cili, keli

Muhyiddin Yassin bersama Shahidan Kassim melihat cili merah selepas pelancaran Projek Pertanian Cili Polibeg dan Ikan Keli Kanvas pada Majlis Perhimpunan Warga Tani Negeri Perlis di Dewan 2020, Kangar, kelmarin.

KANGAR 13 Feb. – Perlis bakal menjadi pengeluar cili merah dan ikan keli terbesar negara ini apabila kerajaan pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi mengkhususkan penanaman dan ternakan kedua-dua produk itu melalui Projek Pertanian Satu Juta Cili Polibeg dan Ikan Keli Kanvas.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, projek yang menjadi sebahagian agenda Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) itu bakal menjana pertumbuhan ekonomi baru kepada negeri dan memberikan peluang pekerjaan kepada hampir 5,000 penduduk.

Katanya, penanaman cili polibeg akan melibatkan keluasan 200 hektar dan mampu mengeluarkan hasil sebanyak 5,000 tan metrik.

‘‘Ternakan ikan keli di dalam kanvas mampu mengeluarkan hasil sebanyak 200,000 tan metrik dalam masa tiga bulan. Bagi setiap kanvas dijangka sebanyak 1,000 ekor keli dapat diternak.

‘‘Bagi tanaman cili pula dua jenis polibeg akan diperkenalkan iaitu yang dapat mengeluarkan hasil masing-masingnya tiga kilogram dan lima kilogram setiap beg,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Program Perhimpunan Warga Tani Negeri Perlis yang bertemakan Bersama Menjana Kemajuan Pertanian Negara.

Projek Pertanian Satu Juta Cili Polibeg dan Ikan Keli Kanvas dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada majlis itu, Muhyiddin dan Shahidan turut menyerahkan sumbangan dan pinjaman kepada warga tani yang berjumlah lebih RM10 juta serta bantuan kepada mangsa kebakaran sederet tujuh buah rumah kedai di pekan Mata Ayer, Sabtu lalu.

Shahidan memberitahu, projek itu akan diberikan kepada penduduk Perlis yang berminat menjalankan kegiatan pertanian dan penternakan.

‘‘Saya berharap penduduk-penduduk Perlis akan mengambil peluang ini untuk memajukan ekonomi keluarga dan negara selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu menjadikan bidang pertanian sebagai satu kerjaya,” jelasnya.