Posted by: benihkeli | Mei 7, 2012

KMJ 2012: Pelepasan oleh PM

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD dan MOHD. FIKRI ROSLY
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 2 Mei – Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012 yang berlangsung selama empat hari mulai 13 Mei ini cukup bermakna kerana ia melibatkan penggunaan 30 motosikal berkuasa tinggi yang mengiringi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan dilepaskan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil berkata, kembara sejauh 1,012 kilometer yang diketuai Sultan Ibrahim itu akan menjelajah ke semua 10 daerah negeri ini bermula di Pasar Raya TJ Mart, Kulaijaya sebelum merentasi Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Batu Pahat, Segamat, Ledang, Muar, Pontian dan berakhir di Plaza Angsana, di sini.

“Seperti kembara sebelum ini, ia turut diringi oleh isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta putera dan puteri baginda,” katanya selepas prapelancaran KMJ 2012 oleh Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Majlis turut menyaksikan penyampaian cek bernilai RM1,500 kepada pemenang dalam Pertandingan Mencipta Logo KMJ 2012, Muhamad Gazali A. Rahim.

Obet berkata, kembara kali ini cukup bermakna apabila baginda berkenan menyampaikan sumbangan berupa peralatan bernilai RM786,780 kepada 952 penerima di setiap daerah.

Katanya, antara peralatan tersebut ialah jaring, mesin jahit, mesin pengisar, peti sejuk, motosikal, mesin tebu, mesin rumput, mesin pengadun tepung, ketuhar dan pelbagai peralatan lain.

“Satu tarikan terbaru kali ini ialah acara cabutan bertuah dengan dua pemenang di setiap daerah berpeluang memiliki motosikal Honda EX5,” katanya.

Tambah Obet, hubungan lebih rapat keluarga diraja dengan rakyat dalam kembara kali ini jelas dilihat apabila Sultan Ibrahim sendiri berkenan mengadili pertandingan Memasak Bubur Lambuk 1Malaysia di Felda Bukit Aping Barat, Kota Tinggi.

Menurutnya, baginda juga dijadual menyaksikan pertandingan gubahan bunga, meninjau proses pembenihan ikan keli dan penternakan kambing serta melihat sendiri

Selain itu baginda dijadualkan turut menyaksikan pertandingan gubahan bunga, melihat proses pembenihan ikan keli, meninjau penternakan kambing dan melihat demonstrasi pembuatan kopi hailam.

Posted by: benihkeli | Mei 7, 2012

Menyuluh ikan hingga awal pagi

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

TIRUK amat berkesan digunakan di sawah padi yang airnya cetek, parit kecil, tali air, paya dan alur yang bertanah gambut.

PERUBAHAN arus zaman menyebabkan banyak aktiviti menangkap ikan air tawar atau ikan darat secara tradisional semakin asing dalam kalangan generasi muda hari ini.

Apatah lagi mereka yang tinggal di kawasan bandar agak sukar untuk mengenali bubu, tangkul, rawai, sempila dan belat yang merupakan warisan peralatan tradisional yang telah digunakan khususnya oleh masyarakat Melayu sejak zaman dahulu.

Kunjungan anda ke Kedah mungkin memberi peluang untuk melihat sendiri penggunaan peralatan berkenaan kerana masih ada masyarakat petani di Negeri Jelapang Padi itu menggunakannya, biar pun tidak lagi secara kerap.

Bentuk muka bumi Kedah yang diliputi kawasan bendang yang luas menyebabkan aktiviti menangkap ikan darat sering diadakan sama ada secara individu atau berkumpulan.

Salah satu aktiviti menangkap ikan secara tradisional yang masih dipertahankan di negeri itu adalah dengan menggunakan tiruk. Mungkin sudah tidak ramai yang mengenali peralatan itu atau pun tidak pernah mendengarnya.

Tiruk merupakan alat menangkap ikan yang diperbuat daripada batang pokok hutan yang lurus dan di pangkalnya mempunyai bilah besi yang tajam.

Dari semasa ke semasa, peralatan menangkap ikan tradisional itu telah diubahsuai dengan keadaan setempat dan bahan-bahan yang mudah diperoleh.

Penggunaannya seperti serampang iaitu dibenam ke dalam air di tempat ikan kelihatan. Ia amat berkesan digunakan di sawah padi yang airnya cetek, parit kecil, tali air, paya dan alur yang bertanah gambut khususnya pada waktu malam.

Di Kedah, antara kawasan yang masih menjalankan kegiatan meniruk ikan atau dipanggil ‘menyuluh ikan’ adalah di Kampung Lubuk Batu, Kubur Panjang, Pendang.

Selain sebagai sumber rezeki sampingan, aktiviti berkenaan juga bagi mengisi masa terluang pada waktu malam yang mana penangkapan ikan menerusi kaedah itu boleh berlangsung selama berjam-jam sehingga melepasi detik 12 malam.

Seorang penduduk di Kampung Lubuk Batu, Ibrahim Husin, 54, berkata, meniruk ikan dengan berbekalkan lampu suluh biasanya dilakukan pada waktu malam antara pukul 10 malam hingga 2 pagi kerana pada masa itu, ikan lebih jinak dan mudah ditangkap.

Katanya, musim yang paling sesuai untuk menjalankan aktiviti tersebut ialah ketika kemarau atau selepas padi dituai apabila paras air di tali air, parit atau sawah menjadi cetek dan jernih serta ikan tidak lagi bebas berkeliaran.

“Pada musim kemarau, lazimnya ikan berada di tepi apabila malam menjelma kerana suhu air lebih sejuk. Ikan-ikan ini akan kelihatan jika disuluh dengan lampu dan pada masa itulah, kita perlu meniruknya secepat mungkin.

“Penangkapan ikan menerusi kaedah ini perlu dilakukan dengan senyap supaya ikan tidak terkejut yang boleh menyebabkannya ‘lari’ berenang ke tempat lain,” katanya ketika ditemui S2.

Menurut Ibrahim yang bekerja kampung, kaedah tiruk sesuai digunakan untuk menangkap ikan haruan dan keli kerana saiznya yang lebih besar berbanding dengan ikan lain seperti puyu atau sepat.

Posted by: benihkeli | April 30, 2012

Harga Ikan Keli Matang Tahun 2012

30 April 2012 – Harga Pasaran Ikan Keli di sekitar tempat saya sudah mencecah sekitar Rm 8.50 sekilogram dan akan terus meningkat ini berikutan terhadap kurang bekalan ikan ini. sekiranya penyediaan, penjagaan dan cara ternak ikan ini dengan cara betul dan Halal pemberian makan nya tidak mustahil Pasaran Ikan keli akan terus meningkat.

Rasa dagingnya yang manis serta dan lembut-lembut setelah digoreng dan pemberian makanan yang betul membuat para penternak tersenyum lega.

Sebenarnya  perniagaan ikan keli ini memberikan pulangan yang sangat lumayan kepada yang menternaknya. Dan perniagaan ini boleh bertahan sampai bila-bila serta boleh diwarisi kepada anak-anak kita disuatu masa kelak. Penternakkan ikan keli adalah sebuah perniagaan yang boleh dibawa turun temurun kepada keluarga asalkan berminat dalam dunia penternakan ikan.

Namun apakah yang menyebabkan berlaku kerugian dalam usaha ini adalah terdapat banyak faktornya :

1. Kurang ilmu dalam penternakan ikan keli.

- Ramai yang menjalankan usaha menternak ikan keli pada hari ini tidak mempunyai ilmu yang cukup, mereka terus menjalankan perniagaan ini tanpa mencari ilmu yang secukup, menjalankan ikan keli hanya dengan mendengar khabar angin dari mulut kemulut tanpa usul periksa.

2. Ada ilmu namun tidak ada cikgu sebagai tempat mengadu.

Apabila berlaku masalah dalam penternakan ikan keli, kita tidak tahu kepada siapa harus kita rujuk akan masalah yang kita hadapi, sedikit ilmu yang kita ada belum tentu lagi boleh menyelesaikan masalah ini. disaat ini kita rasa terkanannya takkala melihat beribu-beribu ikan mati tidak tahu apakah punca sebenarnya.

3. Zaman ini adalah zaman DUIT.

Ramai juga yang tertipu dalam perniagaan ini disebabkan ditipu, bukan anda sahaja saya sendiri pun kena tipu, ramai cikgu yang mengajar dalam Siri-siri kursus dianjurkan hanya mementingkan keuntungan kepada berapa ramaikan jumlah yang hadir kursus pada hari ini..?? itulah pertanyaan yang selalu bermain dalam fikiran penganjur. Bukan senang untuk mendapatkan cikgu kursus yang ikhlas mengajar untung Dunia & Akhirat pada zaman ini. Pada dasarnya anda hadir menghadiri  kursus asas penternakan ikan keli memang anda akan diajarkan cara asas pembenihan ikan keli namun ada ilmu yang sangat penting tidak di Highligth kan kepada anda. hanya 50% diberikan kepada anda yang lagi 50% anda kena carikan sendiri dimana disorokan. ini yang menyebabkan ada pengusaha yang tidak sabar dengan masalah yang dihadapi dan dialami terus bertindak menutupkan perniagaan ikan kelinya. untung kepada yang beriman dan penuh kesabaran. alhamdulillah…

4. Harga ikan dijual terlalu Murah Sangat…!!!

Ini lah satu lagi masalah besar kepada Pengusaha Ikan Keli   Orang Melayu kita. Ramai Pengusaha yang menjual hasil ternakan mereka dengan harga yang sangat murah dan tidak masuk akal iaitu sekitar Rm 3.50 sedangkan harga Palet Ikan sudah naik mendadak sekarang, gaji naik harga Palet ikan pun naik juga, inilah kehidupan kita. berbaloi kah usaha kita selama ini sebagai Penternak..?? kalau 5 tahun lepas harga ikan Rm 3.50 seperti ini boleh dikatakan cukup-cukup makan

namun pada hari ini tidak lagi. mungkin juga boleh diberikan makanan alternatif seperti perut ayam, ikan dan sebagainya namun semua pun berbayar. Harga ikan juga harus dititik beratkan  supaya para Penternak-penternak ikan keli boleh bertahan lama dalan industri ini. Tidak perlu lagi kita harus bersaing dengan penternak lain dengan menjual ikan dengan begitu murah harganya, ini umpama anda membakar perniagaan anda sendiri jadi “Tepuk Dada Tanya Selesa ” marilah selamatkan Perniagaan Ikan Keli kita. Biar sama-sama untung.

5. Kurang Mahir dalam Pembenihan Ikan keli.

Ramai juga penternak-penternak ikan keli pada hari ini masih kurang mahir dalam membuat Pembenihan Ikan keli dan masih lagi Membeli Benih, jujur dan terus terang saya katakan untuk jadi seorang Pengusaha Ikan yang akan kekal Lama serta berpontensi menjadi Penternak yang berjaya, kita harus mahir membenihkan ikan keli tak kiralah selain ikan keli. ini kerana saya berpendapat benih-benih ikan yang kita beli telah menelan belanja kos operasi kita dan sedikit sebanyak telah mengurangkan kos untung bersih kita.

Ada juga yang mengatakan membuat benih ikan keli adalah membuat satu kerja yang lambat untung tetapi bagi saya tidak sebab sekiranya anda mahir dalam pembenihan ikan keli, selain anda guna sendiri, anda juga boleh jual benih ikan ini dan dalam masa yang sama ilmu anda boleh diwarisi oleh anak-anak anda yang berminat dalam Perniagaan ini.

 

 

 

Posted by: benihkeli | November 23, 2011

Projek Keli-K rugi hampir RM400,000

ALOR SETAR 18 Nov. – Projek ternakan ikan keli (Keli-K) yang dibangunkan oleh Kerajaan Pas Kedah di Sungai Pau, Sik dekat sini sejak dua tahun lalu menanggung kerugian akibat berdepan masalah pada peringkat awal pelaksanaan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan negeri, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata, kerugian yang direkodkan dari tarikh mula projek pada 2 Disember 2009 hingga 31 Disember tahun lepas ialah RM397,423.

“Wujud beberapa masalah pada peringkat awal projek itu dijalankan seperti benih, sumber bekalan makanan ikan dan elektrik yang mahal,” katanya semasa menjawab soalan Mohd. Tajuddin Abdullah (BN-Belantek) pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Amiruddin berkata, projek berkenaan masih diteruskan dengan menternak sebanyak 150,000 ekor ikan keli pelbagai saiz.

Katanya, tindakan telah diambil bagi mengatasi masalah itu seperti mewujudkan kilang pemprosesan ikan keli di Sungai Petani, menukar penggunaan makanan ikan daripada pelet kepada ikan baja dan berurusan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk bekalan elektrik.

Justeru katanya, masalah kerugian tersebut dipercayai akan dapat diatasi menerusi pendekatan baru dan tindakan yang telah diambil.

Mengenai rasional anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kedah (Pmbked) iaitu Kedah Agro mengambil alih pengurusan projek berkenaan daripada sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran, beliau memberitahu, perkara yang dijanjikan oleh syarikat itu tidak seperti yang dijanjikan.

Posted by: benihkeli | November 23, 2011

Kerajaan Kedah Disaran hentikan projek tak menguntungkan

17/11/2011 3:45pm

ALOR SETAR 17 Nov. – Kerajaan Kedah diminta menghentikan projek-projek usahasama sekiranya tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang diceburi agar tidak membazirkan wang rakyat.

Mohd. Tajuddin Abdullah (BN-Belantik) juga menasihatkan kerajaan negeri menilai kemampuan serta melihat latar belakang syarikat-syarikat yang dipilih untuk mengadakan usahasama dengan syarikat-syarikat miliknya. Menurutnya projek ternakan ikan keli di Sungai Pau, Sik, usahasama Perbadanan Menteri Besar (MBI), Kedah Agro dengan Novel Ventures Sdn. Bhd. kerugian lebih RM397,000 bukanlah yang pertama dialami anak syarikat kerajaan negeri.

Dalam soalan tambahan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini berhubung projek tersebut, Mohd. Tajuddin mempersoalkan kewajaran projek itu diteruskan kerana setelah dua tahun belum membuahkan hasil.

Beliau berkata yang berlaku ialah pengambilan pasir di Sungai Pau menyebabkan tebingnya runtuh manakala balak di kawasan persekitaran ditebang. – Bernama

Posted by: benihkeli | November 23, 2011

Usahawan muda ternak ikan keli

 

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my
Gambar SAFIYANA SALIM (Pelatih Unisel)

 

PROSES suntikan penggalak akan memudahkan ikan keli betina menjalani proses bertelur.

 

KETIKA mula-mula bapanya menyerahkan urusan penternakan kolam ikan keli kepada Mohd. Aminudin Mohd. Zaibani, dia baru berusia 19 tahun.

Kepercayaan itu diberikan selepas dia selesai menamatkan pengajian di Institut Skill Tech Mara, Melaka dalam kursus Sijil Kemahiran Perikanan.

Bermula waktu itu, kolam yang telah diusahakan sejak tahun 1991 perlu dikendalikannya secara bersendirian.

”Cabarannya cukup besar kerana bukan mudah untuk menguruskan operasi kolam ternakan di kawasan yang besar ini.

”Tambahan pula, saya langsung tidak mempunyai pengalaman selain hanya ada sedikit ilmu yang diperolehi ketika belajar dahulu,” katanya ketika ditemui di kolam ternakannya di Sungai Besar, Selangor baru-baru ini.

Bercerita mengenai tempoh masa lima bulan pertama selepas mengambil alih kolam berkenaan, dia berhadapan dengan masalah yang cukup besar.

Waktu itu, operasi ternakannya terbantut disebabkan kehabisan makanan ikan dan ubat-ubatan selain keadaan kewangan yang tidak stabil untuk tujuan pusingan modal.

Semuanya gara-gara dia gagal menguruskan perjalanan aktiviti jualan, penternakan dan pembenihan ikan secara konsisten.

”Selepas kejatuhan itu, saya mula berfikir untuk bekerja lebih keras dan memberi fokus terhadap aktiviti penternakan kerana tidak mahu perniagaan yang ayah usahakan selama ini terkubur begitu sahaja.

”Jadi, saya bertekad untuk bangun semula. Saya bermula secara kecil-kecilan dengan membeli benih ikan daripada pengusaha lain, menternak dan kemudian menjualnya kembali.

”Dalam masa enam bulan, saya berjaya mengumpul modal untuk membina perusahaan ternakan baru,” jelas anak ketujuh daripada lapan orang adik-beradik itu.

Dia yang ketika ini berusia 21 tahun kemudian mengatur pelbagai strategi penternakannya yang didaftarkan di bawah penjenamaan High Tech Aquaculture.

Antara usaha tersebut adalah mencari lebih ramai pelanggan berpotensi selain menimba pengalaman serta ilmu daripada penternak berjaya.

Operasi penternakan dan pembenihan miliknya semakin stabil menjelang Jun 2010.

Melihat daripada segi aktiviti pemasaran, Mohd. Aminudin mengambil pendekatan menjual anak benih dan ikan matang pada harga yang rendah.

”Tujuannya untuk meningkatkan kepercayaan pelanggan dan penternak. Saya juga akan membantu penternak-penternak ini mencari pemborong bagi membeli hasil ikan mereka.

”Apabila anak benih dijual pada harga rendah di samping mempunyai pasaran tetap, saya yakin para penternak pasti akan lebih seronok dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti penternakan ini.

”Secara tidak langsung, saya juga akan dapat mengekalkan lebih 80 peratus pelanggan tetap,” katanya yang mengusahakan operasi penternakan serta pembenihan ikan keli, puyu, sepat dan tilapia.

Di samping itu, Mohd. Aminudin turut membekalkan spesies ikan lain seperti patin, baung dan jelawat mengikut permintaan.

Setakat ini, dia mempunyai 17 buah kolam simen, 14 kolam separuh simen dan enam kolam tanah yang dibina di kawasan seluas satu ekar dengan pengurusan operasi kolam dibantu oleh tiga orang kakitangan.

Pada masa depan, dia bercadang untuk menukar sistem kolamnya kepada yang lebih moden menggunakan permukaan marmar.

Sistem tersebut mempunyai kelebihan boleh mengurangkan bau selain ikan dapat membiak dengan lebih selesa, tidak mudah luka dan berkualiti.

Posted by: benihkeli | November 23, 2011

Sungai Kesang Tua tercemar

 

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
utusanmelaka@utusan.com.my

 

Salah seorang penduduk mendakwa sebuah premis penternakan ikan keli di Kampung Kesang Jaya, Jasin membuang sisa kolam ternakan ke dalam Sungai Kesang Tua sejak dua tahun lalu hingga menyebabkan pencemaran air di sungai tersebut semalam.

 

JASIN 13 Nov. – Sebuah premis ternakan ikan keli di Kampung Kesang Jaya, di sini didakwa membuang sisa kolam ternakan itu ke Sungai Kesang Tua sejak dua tahun lalu sehingga menyebabkan pencemaran air.

Keadaan itu mengakibatkan kira-kira 200 petani yang mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit tidak dapat menggunakan air sungai berkenaan bagi tujuan meracun tanaman ekoran air yang sudah tercemar.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan itu mendapati sisa buangan kolam dibuang ke dalam sungai menyebabkan keladak dasar sungai bertambah, berwarna hitam dan air sungai tidak lagi jernih seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, tinjauan yang sama diadakan di Sungai Kesang Pajak yang berada sebelum lokasi kolam ternakan ikan terbabit mendapati air sungai berkenaan lebih bersih dan jernih berbanding Sungai Kesang Tua.

Salah seorang petani yang ditemui, Adzahar Alias, 68, berkata, ikan di Sungai Kesang Tua seperti baung dan putih sudah pupus sejak kolam ternakan ikan itu beroperasi dua tahun lalu.

Katanya, air sungai tersebut yang mengandungi keladak menyukarkan petani membuat kerja-kerja semburan racun pada tanaman dan masalah itu memaksa dirinya mengangkut air kira-kira 700 liter sehari sejauh lima kilometer menggunakan motosikal ke kebunnya.

Menurut Adzahar, masalah tersebut pernah disuarakan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kesang Tua dan agensi kerajaan berkaitan namun tiada tindakan penyelesaian berkesan diambil pihak berkenaan.

”Kita sudah kemukakan aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri namun agensi itu mendakwa ia bukan kes pencemaran tetapi lebih kepada masalah keladak sungai dan bukan bidang kuasa agensi itu.

”Bila perkara ini dikemukakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkenaan hanya membersihkan rumput yang terdapat dalam sungai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Masalah yang sama turut disuarakan rakannya, Zakaria Hussain, 43, yang mendakwa penduduk atau petani akan mengalami gatal apabila terkena air sungai berkenaan.

”Sebelum kolam ikan itu wujud, penduduk bebas memancing ikan di sungai ini tanpa perlu bimbang. Sekarang, lain pula keadaannya. Jika terkena air sungai, penduduk perlu mendapatkan suntikan di klinik dengan kos RM20,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Zain Maidin, 63, meminta JPS mengambil tindakan sewajarnya seperti mengorek dasar sungai untuk membuang keladak yang sudah tercemar dengan sisa buangan kolam ikan berkenaan.

Posted by: benihkeli | November 23, 2011

Sukan air bendang meriah

Oleh AZMAN MD NOOR utusankedah@utusan.com.my PESERTA menyelongkar selut untuk menangkap ikan keli pada acara Sukan Air Dalam Bendang, Kampung Baru Bakai, Baling, baru-baru ini. – utusan/Azman Md. Noor BALING 7 Nov. – Lebih 1,000 penduduk menyaksikan Sukan Air Dalam Bendang yang pertama kali diadakan sehingga mampu mengukirkan pengalaman berharga buat peserta dan para penonton. Lebih terhibur apabila air bendang dengan selut menyaluti setiap peserta menjadikan setiap acara yang disertai mereka lebih menarik. Lima acara dipertandingkan dalam sukan air yang diadakan di Kampung Baru Bakai di sini baru-baru ini. Sukan berkenaan dianjurkan oleh UMNO Bahagian Baling, Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil dan Jasa Parlimen Baling. Sukan air yang dirancang sempena Program Juara Rakyat daerah itu diyakini mampu mengembangkan minda dan pengetahuan anak-anak muda dalam mengetengahkan potensi alam iaitu kawasan bendang sebagai lokasi sukan. Acara-acara yang diadakan ialah tangkap ikan keli, tangkap itik, tarik tali, bola baling dan memancing ikan keli dengan menggunakan batang kail buatan sendiri. Pelbagai aksi dan gaya peserta sudah cukup menghiburkan penonton yang berdiri di sekeliling bendang tersebut. Setiausaha penganjur, Suharto Tijo berkata, sukan air dalam bendang yang dianjurkan pihaknya bertujuan untuk mengeratkan hubungan penduduk di samping memanfaatkan bendang sebagai lokasi sukan yang menyihatkan badan serta menyeronokkan. Justeru, katanya, pihaknya berpuas hari apabila sukan itu berjaya menarik ramai peserta serta mencungkil bakat mereka dalam sukan air khususnya dalam bendang. “Bukan mudah untuk beraksi dalam selut dan air lumpur seperti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Mohd. Khairul Azhar Abdullah yang hadir turut menyertai beberapa acara bagi mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin dan masyarakat. “Acara begini perlu diteruskan lagi pada masa depan kerana ia cukup menarik dan mendapat perhatian ramai,” katanya. Tambahnya, penggunaan bendang sebagai medan menunjuk bakat juga boleh menggalakkan anak-anak muda cintakan bendang yang dulu menjadi tempat utama masyarakat dari segi pulangan ekonomi dan kita boleh pelbagaikan kegiatan itu. Beliau berkata, sambutan menggalakkan diterima bukan sahaja peserta, malah juga daripada penonton, membangkitkan semangat pihaknya untuk mengadakan lagi acara pelik seperti itu pada masa depan.

Posted by: benihkeli | Oktober 17, 2011

Ikan air tawar sebagai ‘penyelamat’

 

Oleh HISYAMUDDIN AYUB
utusansabah@utusan.com.my

 

ANTARA ikan keli yang menjadi induk dalam pembenihan ikan keli. – utusan/Ghazali asri

 

KOTA KINABALU 6 Okt. – Pada mulanya, Abdul Samat Hussin, 53, hanya menternak ikan air tawar untuk suka-suka, tetapi lama-kelamaan hobi tersebut bertukar menjadi ‘penyelamat’ kepada perniagaannya.

Ternakan ikan air tawar itu bukan sahaja menjadi penyumbang kepada pendapatannya, tetapi ia juga menjadi penyelamat kepada restoran miliknya, Restoran Seri Rahmat yang terletak di Segama di sini.

Bekalan ikan dari 20 kolam miliknya itu kini menjadi hidangan utama kepada para pelanggan setia restorannya yang menggemari ikan air tawar bercita rasa masakan Semenanjung.

Abdul Samat berkata, dengan harga ikan air tawar yang sedikit tinggi di Sabah dan kesukaran mendapat bekalan, hobi tersebut akhirnya kini menjadi penyelamat kepada perniagaan restorannya itu.

Katanya, dia mula menternak ikan air tawar di Kampung Labak, Kinarut dekat sini sejak lima tahun lalu dan ia bermula dengan sebuah kolam seluas 20 x 30 meter.

Menurutnya, selepas melihat perkembangan positif dari kolam tersebut, dia mula menambah bilangan kolam dan kali ini membinanya menggunakan simen.

Jelasnya, hasil kolam yang menternak ikan talapia, keli dan baung itu dijadikan sebagai hidangan utama di restorannya, selain turut membela kelah dan arowana sebagai ikan peliharaan.

Menurutnya, permintaan ikan air tawar di Sabah semakin meningkat dan orang tempatan juga mula menggemari ikan tersebut.

“Kebanyakan orang Sabah pada mulanya tidak berapa menggemari ikan air tawar, tapi sekarang keadaannya sudah berubah apabila mereka amat menggemarinya terutama ikan keli,” katanya yang mempunyai cara tersendiri untuk menghilangkan bau ikan itu.

Abdul Samat berkata, Restoran Seri Rahmat menyediakan hidangan ikan keli masak asam pedas, masak cili padi dan bakar dengan air asam.

“Bagi mengurangkan kos, saya sendiri melakukan pembenihan ke atas ikan keli peliharaan.

“Kaedah ini ternyata berjaya mengurangkan kos pembelian anak keli dan mempercepatkan kelahiran anak ikan, selain mampu memastikan bekalan sentiasa ada untuk pelanggan,” katanya.

Jelasnya, ikan tilapia paling mudah dibela dan membiak dengan cepat.

“Saya bersyukur kerana hobi ini memberi pulangan yang sangat baik dan membantu restoran saya untuk terus menjadi tumpuan orang ramai yang menginginkan hidangan cita rasa Semenanjung,” katanya yang turut membela kambing sebagai hobi sampingan lain.

Menceritakan pengalamannya mencari rezeki di Sabah, Abdul Samat yang berasal dari Sungai Besar, Selangor berkata, dia berhijrah ke Sabah pada 1987 dan pernah membuka kedai buku serta perniagaan kecil-kecilan lain sebelum berjaya membuka restoran berdekatan dengan Hotel Hyatt Regency.

Posted by: benihkeli | Oktober 17, 2011

Mem Bercoker Emas

MUZIK orkestra alam beralun lembut, mendayu-dayu. Biasan sinar suria melimpahi ruang tamu rumah agam berkayu cengal. Bandar kota Batu Sawar riuh. Hidup anak Johor mengalir, sealir arus Sungai Johor yang mengarus nafas kota yang tujuh batu luasnya ini.

Sambil membelai rambut hitam berkilat, dia menebar pandang ke sekitar. Melalui jendela setinggi orang berdiri, mata bundarnya menatap wajah kota yang dilatar sungai lebar. Deretan rumah terjunjung tinggi di tiang nibung yang berjajar di gigi air Sungai Johor.

Isteri Datuk Bendahara itu menyapu bedak ke wajah bujur sirihnya. Ini petang istimewa. Selama raja Melayu bernegeri di Johor, inilah kali pertama majlis begini diadakan.

“Untuk mengeratkan hubungan antara mem dengan isteri Datuk-Datuk.” Masih dia ingat kala Laksamana Hollanda bernama Admiral Matelief mengutarakan cadangan agar menjelang kurun ke-17, perempuan Johor mesti diperluaskan pemikirannya. Datuk-Datuk setuju walaupun ketika ini negeri parah sesudah diserang Portugis. Makanan masih dicatu.

Sesudah Orang Kaya-Kaya Johor menjemput Mem, jawapan manis pun diterima. “Mem-Mem setuju…dengan syarat kami boleh bawa meja dan makanan sendiri.”

“Tamu bawa meja sendiri? Makanan sendiri? Tidak pernah dibuat orang.” Isteri Datuk Bendahara yang mula-mula dapat khabar merungut. Bukan sahaja mem Hollanda dijemput, bahkan isteri orang kenamaan Inggeris, Amerika, Jerman dan Perancis diundang.

Hari yang dinantikan pun tiba. Lagu beralun lembut memenuhi ruang rumah agam berdindingkan kayu cengal berukir tebuk bunga pecah delapan. Isteri Datuk Bendahara menatap wajah mem bercoker emas yang berseri-seri macam bulan mengambang penuh. Leka dia memandang-mandang rantai yang ngam-ngam muat melingkar batang leher mem macam lengkang rantai anjing. Rantai emas dan permata berkilau-kilau di leher mem-mem lain. Mem bercoker emas melentikkan jari -tanda mengajak isteri Datuk-Datuk merapat.

“Mari dengar satu nyanyi.” Mem bercoker emas berujar nyaring.

“Ladies…mari…!” Mem bercoker emas tergedik-gedik menggamit dengan jari-jemari ke arah pemain muzik dan mem-mem lain. Mem lain datang menghampirinya. Mulut mem bercoker emas muncung macam mulut ikan keli -sedia untuk menyanyi.

“Ada perempuan orang kaya, Busana indah bersumbi emas, punya meja dari emas, alatan di meja semua emas.”

Suara Mem langsing. Muzik rancak. Mulutnya sekejap terbuka, sekejap tertutup saat berlagu. Ada kala ternganga luas menampakkan lidah yang memukul lelangit.

“Oh my, my! Perempuan bersumbi emas? Punya meja emas? Pinggan mangkuk emas? Siapa tu, Mem?” Mata Mem bergaun merah terbeliak. Mem bergaun hijau yang ditanya mengangkat tangannya ke paras dada. Keningnya tejungkit-jungkit.

“Kitalah, siapa lagi?” Mem bercoker emas berpusing-pusing menggayakan tubuhnya. Rambutnya ikal melepasi bahu. Mata Mem bersinar-sinar melirik kumpulan perempuan berbaju kurung dan berkain sarung yang diikat ‘ombak mengalun’.

Isteri Datuk Bendahara tertawa mengekek melihat mulut Mem yang macam muncung paruh itik serati yang menyudu lopak danur. Lucu sekali dengan gaya keterlaluan begitu. Mem bersuara, “Kami Penguasa Lautan bahkan ratu kamilah penguasa daratan.”

Isteri Datuk tahu bangsa Mem perkasa meredah samudera sambil melaung: Gold, Gospel and Glory! Gold itu emas; gospel itu agama; glory itu kemenangan namun ada hasrat lebih dalam daripada Laut Pasifik. Mereka takkan teragak- agak membedil negeri orang dengan alasan untuk menyelamatkan rakyat jelata sedangkan rakyatlah yang dibedilnya.

“Harum baru dari pinggan, ayam panggang yang lazat….”

Kaki Mem bercoker emas tergedik-gedik kala bernyanyi. Tangan kanannya diangkat. Jari ibu menggesel jari hantu. Berdetak-detuk bunyinya mengikut rentak muzik. Mem lain meniru lakunya lalu tergedik-gediklah menggoyang-goyangkan bahu dan punggung. Gaun kembang payung turut bergoyang macam obor-obor terampai di muka laut. Telunjuk Mem menunjuk kumpulan perempuan berbaju kurung. “Marilah menari.”

Mem bercoker emas mengilai. Mem lain tertawa terkekeh-kekeh hingga bulu kasawari dan bulu merak pada topi mereka bergoyang-goyang. Muzik semakin panas. Mata piano membertihkan bunyi merdu yang berangkai-rangkai. Indah membuai-buai.

Tiba-tiba isteri Syahbandar memberi isyarat dengan tangan. “Saya nak menyanyi.”

Kemudian dia berbisik kepada seorang perempuan lain lantas perempuan yang dibisikkannya tadi melangkah ke arah pemain muzik. Irama Barat bertukar lembut lagi segar mengalunkan irama Timur yang mersik.

Nyanyi isteri Syahbandar diiringi marwas dan seruling. Gayanya gemalai.

“Di sebelah sana meja emas, ada sebuah meja kayu, pemiliknya orang Melayu, pinggannya dari batu.”

“Tahu apa ada atas meja kayu tu?” Isteri Syahbandar melontar tanyaan sebelum melagu bait nyanyi seterusnya. Mem bercoker emas terdiam. Dahinya berkerut. Lehernya diteleng ke kanan, ke arah Mem bergaun hijau zamrud. “Ubi kayu? Apa tu?”

“Tapoica. Tapoica rebus.” Mem bergaun hijau menjawab.

“Itu saja?” Senyum mem bercoker emas meleret-leret. Bunyi seruling merayu-rayu. Dengan tidak semena-mena datang budak-budak tidak berbaju, berkaki ayam dan cuma bercawat berkeliling meja kayu. Ubi dijamah seorang sedikit hingga menjilat-jilat jari.

“Alahai kesiannya.” Mem menjuihkan bibir. Memandang gigi mem yang rongak sebatang, isteri Datuk Laksamana teringatkan gigi kambingnya yang patah sesudah berlaga.

“Meja itu siapa punya?” Mem menuding meja kayu. Hati isteri datuk tidak sedap. Mereka tahu bangsa Mem rakus meranggah harta orang. Hollanda mahu menjadi pedagang paling berkuasa di alam Melayu. Holland negeri kecil dan miskin. Hollanda mencari bahan mentah dari luar lalu menjadikannya barangan siap sebelum dijual ke Sepanyol, Portugal, Jerman, Scotland, Denmark dan Norway untuk ditukarkan dengan gandum dan bijirin.

“Kami, orang-orang Melayu punya, Mem.” Isteri Datuk Laksamana menyahut.

“Apa kelas? Hei… perempuan ni sama tak cantik dengan meja kepunyaannya!”

“Yes, madam. Sama tak cantik.” Mem bergaun hijau menyampuk. Hati isteri Datuk Bendahara mendidih-didih. Siapa kata isteri Syahbandar tidak cantik? Kulitnya bersih mulus. Hidungnya molek terletak. Isteri Datuk Laksamana tangkas, menerpa ke hadapan tetapi sepantas kilat dihalang isteri Syahbandar. “Kurang ajar!”

Budak-budak tertinjit-tinjit menghidu aroma ayam panggang lada hitam yang mengasak hidung. Di Eropah, lada hitam Johor senilai emas. Ternampak sahaja meja emas, budak-budak deras menyerbu. Dua, tiga lelaki berbaju bertampal-tampal juga masuk.

“Jangan datang dekat. Kotorlah!” Wajah pemilik meja emas merah.

Dengan wajah umpama mega mendung, budak-budak dan orang miskin kembali ke meja kayu. Mem tersengih dengan bibir menyenget.

Tidak semena-mena dia menerpa, membongkok lalu menarik meja kayu. “Saya mahu meja ini!” Jeritannya mengejutkan.

“Mana boleh? Meja ini kami punya!” Isteri Datuk-Datuk segera menyambar meja kayu. Mem lain menerpa lalu dua pihak tarik-menarik. Akhirnya mem mengalah sesudah dikejar isteri Datuk-Datuk.

“Pelik sungguh pemilik meja emas di sana. Meminta-minta meja kayu.” Isteri Datuk Bendahara berujar dengan suara beralun seakan-akan bernyanyi memandang mem.

“Pada kami yang miskin, Mem menaruh iri. Mem kata mem bangsa jauhari, isteri a great gentleman. Kenapa masih mahu meja kayu sedangkan Mem ada meja emas, pinggan emas, sudu emas?” Isteri Datuk Laksamana petah mengatur bicara. Mem mencebik bibir.

Isteri Datuk Bendahara tidak peduli. Kepada Mem dia menempelak bahawa pemilik meja kayu kini papa kedana. Hanya menaruh rumput sekaki, tanah sekepal dan rimba sekepung sebab bangsa mem rakus meranggah khazanah Tanah Melayu.

“Mem langsung tak peduli, Kami hilang tanah dan kali, Mem cari sedap seorang diri, Macam beruk suka membuli.”

“Tiada lagi luak, tiada sungai kami. Tiada hutan banat, tiada lagi tanah terbentang luas. Kalau boleh segala pulau, tebing dan laut kami, suami mem mahu ambil semua.”

Mem tidak menjawab dakwaan isteri Datuk Bendahara sebaliknya dia menggamit seorang pelayan perempuan agar datang. Mem berbisik di telinga pelayan. Pelayan mengangguk-angguk sebelum melangkah deras lalu menghilang di muka pintu ke dapur.

“Padahal mem tahu dalam kitab suci, Tuhan tak pilih kasih. Tuhan beri rezeki kepada budak dan orang miskin tapi apa suami-suami Mem buat?” Isteri Datuk Bendahara bersuara lantang. Terasa dadanya berdetup-detap macam bunyi rebana ditepuk-tepuk.

Pelayan muncul semula lalu mendekati mem bercoker emas lalu menghulur sebiji mangkuk kecil. Mem menggagau isi mangkuk lantas menayang beberapa biji lada ke arah isteri Datuk-Datuk. Mata pelayan terbeliak memandang gelagat mem lalu berlari pergi.

“Oh, my, my! Isteri Datuk-Datuk ini tak sayang mulut.” Mulut Mem terherot.

Muzik beralun-alun. Pemain piano, tamborin, gitar, pemukul gendang dan gamelan buat-buat tidak peduli. Semua sama sepakat: muzik itu universal. Sama macam tanah Johor yang universal menerima orang luar yang berlumba-lumba datang berdagang.

“Ha, ada cili burung, cili padi. Come on ladies, kita sental itu mulut.” Jari telunjuk Mem menuding isteri datuk-datuk yang tidak berganjak walau seinci pun bahkan menyinsing lengan baju kurung hingga ke siku. Masing- masing memasang kuda-kuda.

“Kalau berani, rapatlah!” isteri Datuk Laksamana berteriak garang. Mem berundur sederap demi sederap macam perbarisan Red Army di kota London sebelum berpaling lalu berlari di anak tangga, berdedai-dedai ke laman. Sesekali mem berpaling -cuak kalau-kalau isteri datuk-datuk terus mengejar. Petang kian suram.

Cerita tentang kelaku Mem sampai ke telinga Datuk-Datuk yang 40. Saat mentari hilang di hujung senja, mesyuarat tergempar Majlis Orang Kaya-kaya Johor pun bersidang.

“Sudah lama meja emas kita dirampas.” Bendahara mempenghulukan sidang.

“Penat datuk-nenek kita mengukir meja. Bertimbun emas di Semenanjung Emas ini digali orang-orang kita.” Wajah datuk-datuk semuram wajah Datuk Bendahara. Ladies party memberi pengajaran perit kepada anak watan yang berlembut dengan orang luar.

“Atas kenaifan menjaga meja emas dulu, mari kita ambil iktibar. Atas luka bangsa, kita ukir meja lain.” Ujar Datuk Bendahara, meja itu serupa harga diri bangsa. Setiap kali tetamu berkunjung ke istana, ke mejalah tempat dituju. Orang luar kekok duduk bersila macam orang Melayu sebab mereka memakai seluar ketat yang ‘menyampul nangka’.

Datuk Temenggung berdiri, membaca resolusi persidangan. “Tetapan pertama: jangan cepat percaya pada orang luar. Kedua: tarbiahkan orang luar agar sedar diri. Ketiga: anak-anak Johor akan diperkukuh jati dirinya.” Tetapan bulat. Semua orang kaya negeri yang pernah bergelar Ujung Medini sepakat: maruah nenek moyang wajib ditebus!

“Johor-Riau negara merdeka. Benteng ketuanan Melayu.” Pesan Datuk Bendahara, Johor mesti kekal merdeka sampai bila-bila. Biarlah orang kata orang Johor sombong sebab terlalu mempertahankan kejohorannya. Bukan sombong tetapi itulah keyakinan manusia Johor membenteng maruah kerajaannya. Isteri Datuk Bendahara terharu. Cintanya berakar pada bandar sepanjang 1,300 langkah ini. Kubu di Batu Sawar dan di Kota Seberang kukuh. Pancang kayu besar diatur rapat ke tepi sungai setinggi 40 kaki. Pagar kotanya suku jam perjalanan dari perbukitan di belakang bandar. Benteng nyata dan benteng diri mesti diperkukuh. Suaminya dan Majlis Orang Kaya Johor sudah sepakat, “Johor mesti jadi Johor.”

“Pendatang mesti ingat. Nak datang berdagang, berdaganglah. Nak menumpang senang, menumpanglah. Jangan pula tebal muka mengaku empunya negeri.” Orang luar wajib sedar di mana rumput dipijak, di situlah patut menjunjung langit kesetiaan. Tahu menghormati hak orang yang lebih berhak. “Jangan main pakai larung saja.” Persidangan tamat. Teh dan penganan dibawa pelayan. Datuk-datuk yang 40 menikmati kudapan.

“Datuk, Datuk!” Panggilan nyaring itu buat semua terdiam. Hulubalang segera menerpa ke pintu. Cahaya lampu melembak keluar dari muka pintu balai.

“Siapa?” Semua pelik, siapa yang datang malam-malam buta begini?

“Mem!” Obor bernyala di tangan Mem yang termengah-mengah berdiri di hujung tangga. Tiada gaun kembang berlian bertabur, tiada topi berhias bulu kasuari. Hanya pijama tidur membalut tubuh namun coker emas berkilau di lehernya. “Tolong, Datuk. Mem bergocoh sesama sendiri berebutkan meja emas. Suami kami keluar berdagang.”

“Oh, my, my!” isteri Datuk Bendahara menjerit kecil sambil menggeleng-geleng kepala sebelum menekup mulutnya dengan telapak tangan. Mem mengerling tajam dengan mulut herot. Datuk Bendahara dan beberapa pengiring serta mem berlalu dalam kegelapan malam. Yang tinggal hanya irama alam yang dimainkan orkestra fauna dan angin.

Kiriman-Kiriman Sebelumnya »

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.