Archive for the ‘1’ Category

Islamic Greeting Card

Posted: April 23, 2010 in 1

Islamic Clock

Posted: April 23, 2010 in 1

Seorang penduduk mengambil kesempatan menjala ikan di sebatang sungai yang dilimpahi banjir di Rantau Panjang baru-baru ini.

 

RANTAU PANJANG 12 Nov. – Hujan mencurah dan Sungai Golok yang melimpah membanjiri banyak kawasan di sini menyebabkan ramai yang hilang mata pencarian terutama penoreh getah.

Bagi golongan seperti mereka yang terjejas dengan perubahan musim, rezeki harus terus dicari dan sebilangan daripada mereka berusaha menangkap ikan dengan memukat, menjala dan memancing.

Apatah lagi ikan darat pada musim sebegini melonjak harganya kerana permintaan yang tinggi.

Tinjauan Utusan Malaysia di sepanjang Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas di sini mendapati banyak penduduk kampung dari pelbagai peringkat umur tidak melepaskan peluang mengambil kesempatan daripada banjir.

Seorang penoreh getah, Mat Jidin Teh, 46, berkata, aktiviti tersebut telah dilakukan sejak 10 tahun lalu setiap kali banjir berlaku.

“Tidak boleh buat kerja lain kalau banjir oleh itu saya akan bawa jala dan pancing untuk mencari ikan di sini dan menyara keluarga saya.

“Kalau rajin dan sabar, banyak ikan boleh dapat seperti baung, ikan sepat, kaloi, ikan keli dan pelbagai jenis lagi,” katanya ketika ditemui di sini baru- baru ini.

Sungai Golok sememangnya masih kaya dengan kepelbagaian jenis ikan, justeru setiap kali musim tengkujuh, ia dapat ditangkap dengan mudah dan rezeki bukan saja cukup untuk keperluan keluarga tetapi juga untuk dijual.

Seorang lagi penoreh getah, Rozaidah Sulaiman, 45 berkata, kebun getah keluarganya yang turut ditenggelami air menyebabkan dia beralih kepada aktiviti menjala ikan untuk mendapatkan wang.

“Saya tidak boleh menoreh getah waktu ini, daripada membuang masa lebih baik menjala ikan sebab boleh dijual.

“Kalau tiada orang beli pun tidak mengapa sebab saya boleh masak untuk keperluan kami di rumah,” katanya.

Selain penduduk kampung, beberapa pemuda dari daerah lain turut mengambil kesempatan datang ke sini untuk memancing.

Azman Md. Noor, 25, dari Tumpat berkata, setiap kali musim banjir dia tidak akan melepaskan peluang memancing ikan di sini kerana ia adalah hobinya.

“Memang seronok macam ni sebab tidak perlu pergi ke sungai hanya duduk di tepi jalan sambil memancing dah boleh dapat banyak ikan,” katanya.

MARAN 14 Nov. – GiatMara Pahang membelanjakan sebanyak RM5.2 juta bagi melaksanakan 32 program pembasmian kemiskinan membabitkan 960 orang miskin di negeri ini sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, kesemua program yang dijalankan berteraskan latihan untuk menjana ekonomi golongan tersebut.

Katanya, program itu menyediakan tujuh jenis kursus intensif kepada peserta selama enam hari menerusi pakej latihan, bantuan dan perkhidmatan.

‘‘Kursus yang dijalankan itu ialah membuat pakaian wanita, kek dan pastri, andaman dan solekan pengantin, sulaman manik dan labuci, fertigasi pertanian cili, ternakan ikan keli dan fotografi.

‘‘Lebih menarik, peserta bukan sahaja diberi latihan intensif dalam bidang yang dipilih tetapi juga mereka diberi peralatan dan mesin yang diperlukan secara percuma.

‘‘Oleh itu, setiap peserta dapat melaksanakan projek ekonomi keluarga itu dengan segera tanpa bertangguh sebaik sahaja tamat kursus apabila pulang ke rumah masing-masing,’’ katanya selepas majlis menutup Program Pembasmian Kemiskinan (Latihan Menjana Pendapatan) di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Indera Pahlawan Jengka 6 dekat sini hari ini.

RM54 juta latih 12,000 peserta

Posted: Mac 25, 2010 in 1

 

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

 

TEMERLOH 15 Nov. – Sebanyak RM54 juta diperuntukkan bagi melatih 12,000 peserta yang menyertai Program Basmi Kemiskinan GiatMara (PBGM) di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Meriyam Abd. Majid berkata, pihaknya menyediakan lima kursus jangka pendek bagi membantu peserta terbabit menjana pendapatan tambahan.

‘‘Ia meliputi kursus ternakan ikan keli secara komersial, kek dan pastri, fotografi, andaman, solekan pengantin dan jahitan pakaian wanita,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Program Pembasmian Kemiskinan Kursus Menjana Pendapatan Peringkat GiatMara Negeri Pahang di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah.

Kursus tiga hari itu disertai seramai 150 peserta dari seluruh Pahang.

Menurut Meriyam, selain kursus tersebut, peserta juga diberi elaun harian dan peralatan mengikut keperluan kursus masing-masing.

‘‘Tiada gunanya mereka diberikan kursus tetapi tidak dapat mempraktikkannya kerana tidak mempunyai peralatan yang diperlukan,’’ ujarnya.

BESUT 15 Nov. – Pelbagai cara dilakukan untuk menggalakkan penduduk khususnya di kampung-kampung berusaha menjana pendapatan mereka dan keluarga selain menjalankan pekerjaan seharian.

Bagi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gong Guchil, projek menternak ikan keli dalam kolam menjadi pilihan untuk menjana pendapatan baru kepada penduduknya

Kelmarin, JKKK itu melancarkan ‘Projek Ekonomi Desa’ yang disempurnakan oleh Penolong Pegawai Daerah Besut, Saidi Salleh dengan melepaskan kira-kira 1,000 ikan keli ke dalam kolam yang dibina.

Pengerusi projek, Yahya Mohamad berkata, JKKK itu telah berjaya menyiapkan 7 buah kolam konkrit selain 10 buah tangki kanvas yang bakal disiapkan untuk merealisasikan projek tersebut.

Katanya, kira-kira 40,000 ikan keli dijangka dapat diternak dalam satu-satu masa menerusi kedua-dua kaedah itu yang bakal memberikan pulangan kepada penduduk dan JKKK.

Menurutnya, JKKK membelanjakan kira-kira RM79,000 untuk membina kolam konkrit dan tangki kolam kanvas serta kemudahan yang diperlukan bagi memastikan hasil dapat diperolehi dalam tempoh empat bulan.

Yahya berkata, dalam memperbanyakkan sumber pendapatannya penduduk kampung menerusi JKKK telah melaksanakan beberapa projek lain seperti memelihara lintah, perkhidmatan katering, sewa peralatan kanopi dan kerusi meja,

”Menerusi produk berupa persembahan kumpulan muzik tradisi, Sanggar Budaya yang dianggotai oleh anak kampung telah berjaya meletakkan kumpulan muzik itu lebih dikenali damada di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan,” katanya.

Hasil gabungan semua projek itu, JKKK Gong Guchil yang mewakili negeri Terengganu sebelum ini telah muncul naib johan Pertandingan Ilham Desa peringkat Kebangsaan yang diadakan di Johor Bharu bulan lepas.

Dengan adanya projek seumpama ini diharap dapat membuka mata dan mendorong penduduk kampung supaya lebih rajin bekerja bukan sahaja untuk pendapatan seharian tetapi pandai untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.

Geran JKM bantu OKU

Posted: Mac 25, 2010 in 1

MELAKA 26 Nov. – Skim Geran Pelancaran yang diperkenalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat membolehkan golongan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini memulakan perniagaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, geran tersebut hanya boleh dipohon oleh golongan OKU yang mendapat bantuan daripada JKM.

Menurut beliau, geran tersebut bertujuan membantu OKU menceburi bidang perniagaan dan pada masa yang sama melahirkan usahawan baru daripada golongan tersebut.

”Ini adalah peluang terbaik kepada OKU untuk menceburi bidang perniagaan kerana banyak peluang boleh mereka terokai dengan adanya skim geran yang diperkenalkan oleh JKM,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Penyampaian Bantuan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Melaka Tengah dan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bukit Baru di sini semalam.

Turut hadir Penolong Kanan Pengarah JKM, Ismail Baharom, Pegawai PKMD Melaka Tengah, Syaidatul Aini Jefri dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampungku Sayang, Salim Abu.

Menurut Mohd. Ali, antara bidang keusahawanan yang boleh diterokai oleh OKU ialah menternak ikan keli, memproses makanan, membuka kedai runcit, kedai jahitan, menggunting rambut dan sebagainya.

Katanya, geran tersebut boleh dimanafatkan oleh kira-kira 10,078 OKU di negeri ini.

“Dengan adanya geran tersebut ia akan dapat memberi hak dan peluang perniagaan yang sama kepada golongan OKU agar mereka tidak terpinggir daripada sebarang bentuk bantuan yang diterima,” katanya.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan bantuan bulanan kepada 60 OKU, 11 orang menerima bantuan alat bantuan dan 20 orang pelatih PDK menerima elaun bulanan RM300 seorang.

Kesusahan dorong kejayaan

Posted: Mac 25, 2010 in 1

 

Oleh Hamizul Abdul Hamid
http://www.hamizul.com

 

AZIZAH MAAT dan Ahmad Tumin di ladang ubi kayu mereka di Kuang, Selangor.

 

DARI kejauhan saya melihat, jejeran pohonan ubi kayu menghijau menyapa kedatangan kami. Pucuk-pucuk segar hijau muda itu melambai-lambai dicumbui angin, meliuk lintuk bagai menyatakan ‘selamat datang’ ke daerah aman ini.

Dari jauh juga saya dapat melihat sepasang manusia, seorang ibu berkerudung labuh dan seorang anak lelaki berkopiah lengkap berseragam sekolah.

Itulah Azizah Maat, 44, seorang wanita separuh usia yang bagi saya nampak cemerlang wajahnya. Pada sekeping wajah beliau ada rona ceria dan ada sinar bahagia.

Dengan cekatan wanita pertengahan usia yang masih bugar itu mengayuh basikalnya sebelum membukakan palang pagar demi membolehkan kunjungan saya dan wakil media melewati perbatasan ladang ubi kayunya yang subur.

Saat kaki melangkah keluar dari perut kereta, hati saya dipagut rasa selesa. Nyaman berada dalam cempungan sebuah taman yang lapang saujana mata memandang.

Di hadapan saya ada rumah separuh batu separuh papan yang amat sederhana, manakala di kanan saya ada selautan pandangan sebuah ladang ubi kayu yang saujana terbentang.

Saya melemparkan pandangan ke kiri, ada kolam ikan bersaiz sederhana besar yang beralun tenang airnya dipuput bayu. Pokok-pokok pisang, serai dan herba ditanam mengelilinginya.

Saya bersama rakan wartawan dijemput masuk ke rumah. Kemudian Azizah bergegas meninggalkan kami buat sementara, suami beliau harus bersama dalam wawancara santai nanti. Suami beliaulah tulang belakang di sebalik keindahan ini.

Kemudian tidak lama, kami pun diperkenalkan dengan Ahmad Tumin, 56, seorang lelaki berbadan sasa. Wajahnya mempamerkan kecekalan, nada suaranya menyatakan ketegasan. Memang betul, alang-alang manusia pasti kalah mengerjakan tanah seluas 1.5 hektar itu.

Tanah yang asalnya berbanir dan berkematu, kini bersih dan subur dihuni ubi kayu. Tanah yang dahulunya tandus dan kering, kini subur dan basah dengan sumur dan kolam yang hening.

“Suami saya ini memang asalnya orang Kuang. Di sinilah dia lahir, membesar dan di sini jugalah dia memberikan baktinya. Bukan sekejap masa dihabiskan di sini, sudah 30 tahun suami saya berbudi kepada tanah ini,” kata Azizah membuka bicara.

Tutur lembutnya sedap teratur menjadi halwa telinga.

“Saya yang bangunkan kawasan ini. Dulu, semuanya hutan. Kini sudah ada ladang ubi dan kolam ikan. Dalam kolam itu, ada macam-macam ikan. Ada ikan keli, ikan tilapia, ikan kelah dan ikan lampam.

“Isteri sayalah yang rajin mengusahakannya. Kami akan tangkap ikan itu jika ada permintaan. Buat masa ini, usaha kami masih secara kecil-kecilan,” kata Ahmad.

Demi menepati maksud kedatangan, saya menyatakan kami perlu tahu kesusahan mereka. Ia akan dipaparkan sebagai iktibar kepada masyarakat dan yang lebih utama, kami mahu paparkan betapa gigihnya sepasang suami isteri ini membina keluarga.

Ini kerana, sedari awal Ustaz Masrul memaklumkan anak-anak pasangan ini boleh dikatakan semuanya berjaya.

“Benar, kami punya ramai anak. Sebelas orang semuanya. Anak pertama, Nurpaizah, 24, kini di Institut Pertanian Pulau Pinang, kedua Mohamad Fauzi, 23, (Universiti Teknologi Mara mengambil bidang perakaunan). Anak ketiga ialah Nurhayati, 22, belajar bidang perniagaan di Kolej Cybernatic, yang keempat Nurfarhana, 21, sedang mengikuti kursus perhutanan di Universiti Putra Malaysia.

“Anak kelima pula Mohamad Firdaus, 20 (Politeknik Shah Alam). Anak keenam kami Nurhidayah, 17, kini belajar di Maktab Rendah Sains Mara, Alor Gajah, Melaka.

“Anak-anak kami yang lain ialah, Nurhanisa, 15; Mohd. Fariz, 12; Mohd. Farid, 8, dan Mohd. Adib Farhan, 7, yang masing-masing belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuang dan Sekolah Kebangsaan Kuang,” kata Azizah.

Bagaimanakah puan dan suami menguruskan keluarga? Cungkil saya, dan dilanjutkan lagi, apakah saat paling meninggalkan kesan dalam sejarah hidup selama ini?

“Saya dan suami orang susah. Kekadang mengalir air mata ini mengenangkan kesusahan kami sekeluarga. Bayangkanlah, di ladang inilah usia 30 tahun kami hamburkan demi rezeki yang halal, dengan berbekalkan kudrat empat kerat tanpa sedikit pun bantuan luar,” ujar Azizah.

Tersisih

“Kami ini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Asalkan anak-anak dapat meneruskan persekolahan, itu sudah memadai,” sokong Ahmad.

Melihat kepada iras wajah Azizah, saya sudah mengagak beliau seorang wanita yang pastinya berlatar belakangkan baik-baik. Hal ini disahkan sendiri akhirnya oleh beliau, bahawa di dalam keluarganya hanya dia yang tersisih lantaran mencari alternatif sendiri dalam kehidupan.

“Sungguh pun kami susah, namun anak-anak sentiasa menjadi keutamaan. Biar kami kekeringan belanja, maklumlah anak-anak kami ramai; namun keperluan pendidikan adalah mengatasi segalanya,” kata Ahmad.

“Manalah ada kehidupan tanpa cubaan. Sebagai isteri saya merasai sendiri getirnya hidup dalam serba kekurangan membesarkan anak-anak. Belanja sekolah dan pendidikan sekarang semuanya memerlukan wang.

“Kadang-kala apabila tertekan dengan masalah, hanya kepada Allah sahajalah saya mengadu. Saya bersyukur, kerana suami saya juga amat mengerti. Beliaulah penguat semangat, beliaulah penawar duka di hati,” tambah Azizah.

Tidak cukupkah belanja harian hasil lading ubi? Bisik hati kecil saya dan ia seakan terhidu oleh si suami.

“Hasil jualan kian merosot sekarang. Ini ditambah dengan kenaikan kos barangan, termasuklah kos racun dan baja turut meningkat. Jika dahulu kami mampu untung hingga tiga sen setiap kilogram, kini untungnya sudah mengecil kepada satu sen.

“Kini saya hanya mampu membuat keuntungan bersih RM400 sebulan. Ini memang kecil berbanding segala usaha yang dicurahkan,” jelas Ahmad.

Tiadakah usaha lain?

“Itulah sebabnya kami cuba juga menternak ikan air tawar. Itu pun atas bantuan syarikat yang mengambil sebahagian tanah kami bagi pembinaan lebuh raya. Saya diberi pampasan RM30,000.

“Saya tolak wang itu dan minta diganti dengan dua kolam untuk memelihara ikan. Ini kerana, kos membina kolam ikan itu jauh lebih mahal berbanding RM30,000.

“Alhamdulillah, syarikat berkenaan nampaknya amat tahu menjaga hati kami, lalu mereka menghantar jengkaut besar membina dua kolam dan yang terharunya, wang RM30,000 itu tetap disalurkan juga kepada kami,” kata Ahmad lagi.

Bantuan anak-anak?

“Anak-anak memang ada yang menolong. Namun kami kurang galakkan, kecualilah kerja-kerja yang ringan. Kejayaan mereka di bidang pendidikan itulah yang kami harapkan.

“Alhamdulillah, setakat ini mereka memahami keadaan kami. Anak-anak sering berpada-pada dalam berbelanja. Mereka tahu mengukur baju di badan sendiri,” Azizah terus berkongsi cerita dalam kiasan penuh makna.

Namun yang paling utama bagi kedua insan ini ialah didikan agama. Kata Azizah, sedari awal setiap anaknya disemai dengan benih agama. Dengan benih iman yang disemai, mereka tidak akan hilang pedoman pada hari muka.

“Saya paling menekankan soal agama. Akhlak dan disiplin sentiasa dijaga. Solat berjemaah sentiasa diutamakan. Apabila agama dititik beratkan dalam kehidupan, mereka akan menjadi anak-anak yang bertanggung jawab.

“Mereka tahu hukum-hakam, tahu dosa-pahala dan tahu syurga-neraka,” jelas Azizah.

“Di samping itu, saya sentiasa memastikan anak-anak tidak mengabaikan segala kerja sekolah.

“Saya selalu berpesan kepada anak-anak, kita orang susah. Apabila susah, kita tiada sesiapa yang akan datang menolong melainkan diri kita sendiri,” tegas Azizah.

Alhamdulillah, keluarga Azizah dan Ahmad mula mendapat perhatian pihak Lembaga Zakat Selangor (MAIS) pada tahun 2003. Mereka dikategorikan sebagai asnaf miskin yang melayakkan mereka mendapat bantuan zakat secara menyeluruh.

Bukan sekadar bantuan kewangan dihulurkan, bahkan dana pembiayaan pendidikan anak-anak itulah yang diutamakan.

“Kami bersyukur kepada Allah SWT, LZS (MAIS) banyak membantu. Kini kami menerima RM500 wang bulanan di samping bantuan persekolahan anak-anak.

Keli berempah kian popular

Posted: Mac 25, 2010 in 1

 

Oleh LAUPA JUNUS
Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED

 

Saliza Salleh dan Mohamad azlan mohamad damin kini berbangga dengan produk ikan keli berempah yang kian mendapat sambutan.

 

PADA satu ketika, pasangan suami isteri ini menikmati makan tengah hari di sebuah restoran. Si suami mengambil ikan keli goreng untuk sebagai lauk tetapi mengeluh dengan rasa ikan yang agak hanyir dan tidak dapat memenuhi seleranya.

”Bermula dari peristiwa itu, saya mencuba untuk menghasilkan produk berasaskan ikan keli yang tidak hanyir dan mempunyai rasa yang lain, selain garam dan kunyit dijadikan bahan untuk digaulkan bersama ikan supaya ramai orang boleh menikmati rasa yang berbeza,”‘ kata Saliza Salleh menceritakan detik bermulanya beliau dan suaminya, Mohamad Azlan Mohamad Damin, 32, terlibat sebagai usahawan keli.

Saliza menceritakan, pada mulanya mereka menternak ikan keli dalam tangki gentian di belakang rumahnya di Sungai Lang, Banting, Selangor pada tahun 2008.

Melalui projek itu, sebanyak dua tong ikan segar dihasilkan berjumlah 100 kilogram (kg).

Beliau bagaimanapun berhati-berhati kerana bimbangkan ikannya tidak mendapat pasaran.

Sehubungan itu, Saliza berkata, beliau mendapatkan bantuan dan pandangan Jabatan Perikanan Daerah Kuala Langat dan antara rumusan yang dapat didapati pasaran segar ikan keli kadangkala menghadapi masalah.

Sehubungan itu, mereka mendapat satu idea untuk mempelbagaikan cara memasarkan ikan keli dengan memprosesnya terlebih dahulu menggunakan rempah dan seterusnya terhasilkan ikan keli berempah resipi sendiri.

Rempah khas itu merupakan satu keunikan dan rahsia perniagaan mereka dan ia mula mendapat perhatian sejak mula diperkenalkan secara kecil-kecilan di rumah.

”Saya menghantarnya ke rumah jiran atau rakan-rakan berhampiran untuk mencuba dan minta mereka komen,” ujarnya.

Selepas membuat keputusan untuk menceburkan diri secara serius, mereka mewujudkan jenama produk bernama Lanza Foods Frozen di bawah naungan syarikat Mizasuda Enterprise yang beroperasi dalam bidang penternakan dan pembekalan ikan keli salai berempah dan segar berempah.

Kesungguhan mereka terbukti apabila nekad melaburkan wang sendiri berjumlah RM80,000 untuk membeli mesin, mengubah suai rumah untuk dijadikan kilang memproses dan pejabat syarikat.

Usaha tersebut dibantu dengan sedikit tuah apabila rumah terbiar milik keluarga isterinya di Kampung Kelanang, Banting dijadikan kilang dan mendapat kelulusan dari pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pembabitan secara serius itu turut mendapat sokongan anak-anak tetapi Saliza dan Mohamad Azlan perlu berusaha gigih, termasuk menambah ilmu dalam bidang penternakan ikan.

Saliza menghadiri pelbagai kursus kaedah menternak yang dianjurkan Jabatan Perikanan dan dia mendapati penggunaan palet sebagai makanan sangat berfaedah.

Namun kata Saliza, beliau tidak boleh bergantung kepada bekalan ikan daripada projek sendiri kerana ia tidak mencukupi.

”Saya memerlukan ikan segar berkualiti untuk dijadikan produk ikan salai berempah dan sebab itu penggunaan makanan ikan yang baik perlu diutamakan,” ujarnya.

Menurutnya, penggunaan makanan selain pelet menghasilkan keli tidak berkualiti kerana masalah isi ikan tidak padat dan lemak yang berlebihan.

Saliza berkata, jika bunyi ‘meletup’ semasa menggoreng, ikan keli tersebut tidak berkualiti dan telah diberi makanan yang bercampur-campur.

Ikan yang memakan pelet juga mempunyai isi yang sedap dan padat.

Pada masa yang sama, mereka juga mendapatkan bekalan ikan segar daripada beberapa penternak lain yang dipastikan ikan yang dihasilkan berkualiti iaitu menggunakan pelet sebagai makanan utama ternakan ikan tersebut.

Setakat ini, syarikat tersebut memerlukan antara 100 dan 120 kilogram ikan keli segar sehari.

Dengan lapan pekerja yang terlibat dalam kerja-kerja memproses dari Isnin hingga Sabtu, syarikatnya mampu menghasilkan 200 paket ikan salai sehari berjenama Lanza Food Frozen itu.

Bagaimanapun, sasaran pengeluaran yang ditetapkan ialah 400 peket sehari iaitu bagi kedua-dua produk ikan keli segar berempah dan ikan salai berempah

Harga borong sepaket segar berempah seberat 500 gram (g) ialah RM10, manakala ikan salai berempah RM10.50 dan harga runcit ialah antara RM12 dan RM12.50 sepaket.

Ikan salai tersebut boleh dimasak kuah goreng atau masak kari dan banyak mendapat tempahan untuk majlis majlis keraian.

Sementara itu menurut Mohamed Azlan, produk seumpama itu mempunyai pasaran yang baik jika usaha-usaha mempromosi dijalankan dengan betul oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab.

Kini, atas bantuan SME Corp, syarikat terbabit sedang dalam perbincangan bersama sebuah pasar raya besar untuk membantu memasarkan produk tersebut dalam masa terdekat ini.

Produk boleh bertahan selama 14 bulan

Kata Saliza, pihaknya sedang memohon bantuan peralatan daripada Jabatan Perikanan Selangor melalui pejabat perikanan Daerah Kuala Langat antaranya, mesin menghasilkan rempah dan mesin vakum dan peralatan yang diperlukan untuk pembungkusan, dan produk mereka juga telah mendapat sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Dengan khidmat nasihat dan kursus kursus yang telah dihantar oleh Jabatan Perikanan Kuala Langat, mereka bercadang mengembangkan perusahaan tersebut termasuk menghasilkan ikan keli pekasam, ikan keli jeruk dan bebola ikan keli berempah tidak lama lagi.

Mizasuda Enterprises boleh dihubungi di talian 03-31201617 dan maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web http://www.ikan salaiberempah.com.

 

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar HAYAT SUEET

 

Perniagaan Atimas mempunyai kapasiti mengeluarkan 2,400 bungkus burger ikan sehari selain lima produk lain dengan tenaga lima orang pekerja.

 

BERMULA dengan menternak ikan keli kanvas secara kecil-kecilan, pasangan suami isteri Ami Ludin Surip dan Siti Hanim Kosnin menghadapi pelbagai jenis masalah.

“Banyak masalah yang kami hadapi semasa menternak ikan keli seperti harga makanan yang semakin meningkat selain masalah pemasaran.

“Bagi mengatasi masalah pemasaran, kami menghasilkan produk hiliran daripada ikan keli iaitu burger daripada ikan keli.

“Ketika itu kami mahu menghasilkan produk baru yang tidak pernah dikeluarkan oleh mana-mana usahawan di negara ini,” kata Siti Hanim semasa ditemui di premisnya di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Walaupun burger ikan keli enak tetapi 30 peratus pelanggan menolak apabila mendapatkan tahu bahan asasnya adalah ikan keli.

“Isi ikan keli lebih halus dan putih sesuai dijadikan pelbagai produk makanan tetapi ramai pelanggan yang menolaknya menyebabkan kami berubah menggunakan ikan laut bagi memenuhi selera pelanggan,” katanya.

Justeru pasangan ini berfikir untuk mengubah bahan asas burger daripada ikan keli kepada ikan laut.

Minat yang mendalam dengan produk makanan berasaskan ikan, Siti Hanim menghadiri pelbagai kursus penghasilan produk ikan anjuran Jabatan Perikanan di Chendering, Terengganu dan kursus inovasi di Perak.

Selepas menamatkan kursus, Siti Hanim yang juga Pengurus Perniagaan Atimas menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama dua tahun bagi mendapatkan maklum balas pelanggan mengenai burger ikan.

“Dalam tempoh berkenaan saya mengedarkan burger ikan Atimas ke gerai-gerai burger berhampiran dan mendapatkan maklum balas bagi meningkatkan lagi kualiti bagi menepati selera pelanggan,” katanya.

Setelah burger ikannya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan dan pengusaha gerai burger, Siti Hanim menyewa sebuah premis di Taman Putra Perdana, Puchong bagi melancarkan operasinya.

Di sana, beliau membesarkan lagi perniagaan dengan menghasilkan pelbagai jenis produk berasaskan ikan seperti otak-otak, popia otak-otak, sata, popia sata dan pulut panggang.

Dalam menjalankan perniagaan, Siti Hanim dibantu agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bagi analisis nutrisi pemakanan, Perniagaan Atimas menggunakan khidmat nasihat Jabatan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).

Sehingga kini, Perniagaan Atimas yang merupakan anak angkat Jabatan Perikanan menerima bantuan dalam bentuk geran sebanyak RM50 ribu.

Buat masa ini, jelas Siti Hanim, beliau berusaha mendapatkan bantuan daripada pelbagai agensi bagi memenuhi pesanan pelanggan dari China dan Afrika bagi produk burger ikan.

Bagi memenuhi pasaran China yang memerlukan lebih 9,000 karton atau empat kontena burger menjelang awal tahun depan, Ami Ludin perlu memastikan bekalan mencukupi.

Justeru beliau akan membesarkan operasi kilangnya dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin menggalakkan.

Mempunyai lima orang pekerja sepenuh masa, Perniagaan Atimas mempunyai kapasiti mengeluarkan 2,400 bungkus burger sehari selain lima produk lain.

Mendapat bekalan ikan dari Pasar Borong Selayang, Siti Hanim menggunakan ikan selayang dan tamban dalam burger dan kebanyakan produknya.

Pelan pemasaran yang teratur dan rasa produk yang enak menyebabkan produk Atimas mudah mendapat pasaran.

Selain itu kehadiran agen-agen di sekitar Lembah Kelang menjadikan produk Atimas mula dikenali ramai di kalangan pengguna.

“Kami mempunyai agen-agen di sekitar Selangor seperti Banting dan Hulu Langat, Kelang dan Puchong serta di Seremban, Negeri Sembilan.

“Selain menggunakan agen, terdapat juga pelanggan yang datang membeli terus daripada premis kami,” katanya.

Bercerita mengenai perancangan masa depan, Siti Hanim berkata, beliau bercadang menghasilkan produk baru setiap dua bulan.

Antara produk yang bakal dihasilkan adalah sosej ikan, nuget ikan, bebola ikan dan kek ikan bersalut.

Beliau juga akan menghasilkan burger dan produk ikan lain menggunakan ikan keli seperti bebola ikan dan kek ikan yang memerlukan ikan isi putih.

Bagi mereka yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk Atimas bolehlah melayari laman blog http:atimasburger.blogspot.com atau hubungi Ami Ludin di 016-229 2592.